Salad nenas ala Thai ini diinspirasikan dari resipi 'Thai pineapple salad' hasil perkongsian resipi dari laman sesawang 'lazycatkitchen'.
Nenas yang saya gunakan ialah nenas yang diberi oleh ibu saudara saya ketika dia datang melawat ke rumah tempoh hari. Rasanya manis sekali. Sebahagiannya saya jadikan snek diet, kisar & simpan di ruangan sejuk beku & jadikan bahan untuk membuat salad.
Bahan-bahan yang saya gunakan ialah nenas, timun Jepun (lebihan membuat somtam tempoh hari), kubis, tomato ceri, bawang besar, suhun (dalam simpanan yang sudah lama tidak digunakan), daun ketumbar & daun bawang. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus bersama dengan sedikit emping cili. Rasa masam & manis dari nenas, pedas dari cili padi & rasa umami dari udang kering menjadikan rasa salad ini sangat sedap. Kalian harus cuba buat salad ini sendiri di rumah.
Salad yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.
Selamat mencuba 🙂.
Salad Nenas Ala Thai
Bahan-bahan:
4 ulas bawang putih*
4 biji cili padi*
¼ cawan udang kering (sangai)*
2 sdb jus limau nipis*
2 sdb sos ikan*
2 sdb madu*
1½ cawan nenas**
½ cawan (½ batang saiz panjang) timun Jepun (sagat/ hiris)**
½ cawan kubis (hiris)**
½ cawan (50 g) suhun (celur, bilas & tapis)**
1 labu bawang besar (sagat/ hiris)**
¼ cawan (10 biji) tomato ceri (belah dua)**
¼ cawan (1 pokok) daun ketumbar**
¼ cawan (1 pokok) daun bawang**
1 sdb emping cili (pilihan)
2 sdb kacang tanah (goreng & tumbuk)
Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor)/ pengisar. Kisar sehingga hancur. Ketepikan.
- Oleskan sedikit minyak masak pada pan/ pemanggang. Panggang (grill) potongan nenas selama 3-4 minit setiap belah/ sehingga mendapat kesan memanggang pada nenas.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk.
- Tuangkan sos (salad dressing) ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan **. Gaul sekata sehingga kesemua bahan bersalut dengan sos.
- Akhir sekali, taburkan dengan emping cili & kacang tanah hancur. Sedia untuk dihidangkan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan