D-230
Salad Nenas ala Thai dengan Ayam Bakar Madu Ala Thai (Air Fryer)
Ini menu saya selepas 'berpuasa' OMAD + IF selama 18 jam. Salad nenas yang saya sediakan ini diinspirasikan dari resipi 'Thai pineapple salad' hasil perkongsian resipi dari laman sesawang 'lazycatkitchen'.
Bahan-bahan yang saya gunakan ialah nenas, timun Jepun (lebihan membuat somtam tempoh hari), kubis, tomato ceri, bawang besar, suhun (dalam simpanan yang sudah lama tidak digunakan), daun ketumbar & daun bawang. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus bersama dengan sedikit emping cili. Insya-Allah, jika panjang umur saya akan kongsikan resipi lengkap salad nenas ala Thai versi saya yang sesuai dijadikan menu untuk berdiet.
Ayam bakar madu ala Thai pula, saya bakar dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit. Saya pernah kongsikan resipi bahan perapannya sebelum ini di profil saya dalam fail bertajuk 2025.
Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air dengan perahan limau nipis.
Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan