Isnin, 20 Januari 2025

Salad Ayam, Timun & Jagung Berkrim


Resipi salad ayam, timun & jagung berkrim ini lebih kurang sama sahaja dengan resipi salad timun berkrim yang saya pernah kongsikan sebelum ini. Cuma kali ini, resipinya lebih terperinci serta saya tambahkan isi jagung & lebihkan penggunaan lada hitam supaya rasanya lebih pedas.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam yang telah dibakar, timun Jepun, isi jagung, tomato ceri & bawang besar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan mayonis, yogurt asli, madu, mustard kuning, jus lemon, bawang putih, lada hitam, emping cili & daun bawang.

Saya bakar ayam dengan menggunakan 'air fryer'. Selepas itu, saya potong isinya menjadi ketulan kecil. Jika suka, boleh juga sekiranya hendak carikkan sahaja isi ayam tersebut. Dalam resipi ini, saya guna isi jagung sejuk beku kerana lebih mudah untuk saya merancang perbelanjaan serta menyimpan lebihannya mengikut resipi yang saya akan sediakan pada masa yang lain.

Salad yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Salad Ayam, Timun & Jagung Berkrim

Bahan-bahan:

1 ketul dada ayam
½ sdb minyak masak/ minyak zaitun*
¼ sdt lada hitam*
¼ sdt garam*

½ cawan (125 g) mayonis**
½ cawan (125 g) yogurt asli/ yogurt Greek**
1 sdb madu**
2 sdt mustard kuning (pilihan)**
2 sdb jus limau nipis/ lemon**
1 sdb bawang putih (cincang)**
1 sdb serbuk lada hitam kasar**
1 sdb emping cili (pilihan)**
1 pokok daun bawang/ kucai/ parsli (hiris)**

1½ cawan timun Jepun (hiris/ sagat)***
1 cawan isi jagung***
½ cawan (20 biji) tomato ceri (belah dua)***
1 labu bawang besar (hiris/ sagat)***

Cara Penyediaan:
- Lumurkan dada ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *. Bakar dengan menggunakan 'air fryer'/ ketuhar pada suhu 200°C selama 20 minit/ sehingga ayam masak sepenuhnya. Selepas itu, sejukkan ayam tersebut & potong isinya menjadi ketulan kecil. Ketepikan.
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sebati. Ketepikan.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda *** & isi ayam ke dalam mangkuk yang sesuai.
- Tuangkan 'salad dressing' ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan ***. Gaul sehingga kesemua bahan bersalut sekata. Sedia untuk dihidangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan