Selasa, 28 Januari 2025

D-245: Salad Jagung & Barli dengan Ayam Goreng Berempah (Air Fryer)


D-245

Salad Jagung & Barli dengan Ayam Goreng Berempah (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' IF selama 20 jam. Kali ini, resipi salad yang saya sediakan dihasilkan dari lebihan sayur-sayuran (leftover) yang saya gunakan untuk membuat salad. Saya juga tambahkan barli yang sudah lama dibeli tetapi masih belum digunakan.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah barli yang telah direbus, isi jagung sejuk beku, tomato ceri, lada benggala, bawang besar, daun ketumbar & daun pudina. Saya perasakan salad ini dengan campuran sedikit minyak sayuran, jus limau, madu & lada hitam.

Saya juga goreng ayam goreng berempah dengan menggunakan air fryer. saya goreng ayam yang telah diperap dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit & saya masukkan rempah perapan pada 5 minit terakhir.

Bagi karbohidratnya pula, saya masih minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air rebusan barli.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Sabtu, 25 Januari 2025

D-242: Salad Ayam Vietnam dengan Ayam Goreng Pandan (Air Fryer)


D-242

Salad Ayam Vietnam dengan Ayam Goreng Pandan (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' IF selama 20 jam. Kali ini, resipi salad yang saya sediakan diinspirasi dari perkongsian resipi oleh Thea’s Kitchen. Tetapi, seperti biasa, saya olah semula resipinya mengikut selera saya & bersesuaian dengan diri saya yang masih berdiet. Thank you so much, sister. 1 cup per serving is not enough & I can't wait to eat the leftover for my next meal 😍.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam rebus, 2 jenis kubis, lobak merah, bawang besar, daun kesum, daun pudina, daun ketumbar & daun bawang. Untuk sos nuoc cam pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula perang/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah hancur yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus.

Hari ini, saya rajin. Saya balut ayam yang telah diperap dengan daun pandan sebelum menggorengnya dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25-30 minit.

Bagi karbohidratnya pula, saya masih minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air kosong.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Rabu, 22 Januari 2025

D-239: Kerabu Telur Dadar Ala Thai dengan Ayam Goreng Pandan (Air Fryer)


D-239

Kerabu Telur Dadar Ala Thai dengan Ayam Goreng Pandan (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' IF selama 16 jam. Menu yang saya sediakan lebih kurang sama sahaja dengan resipi kerabu telur dadar ala Thai yang saya pernah kongsikan pada tahun lepas. Resipinya ada di sini (https://www.facebook.com/share/p/19u3KqVPHi/) Cuma, kali ini, resipinya lebih terperinci & saya tambahkan lebih sayur-sayuran supaya sesuai untuk dijadikan menu untuk saya berdiet.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah telur, lobak merah, tomato, kacang panjang, bawang besar & daun ketumbar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, akar ketumbar, udang kering, limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan emping cili supaya kelihatan lebih menarik & kacang tanah hancur yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus.

Saya juga goreng ayam goreng pandan tanpa dibalut dengan daun pandan. Sesungguhnya, hari ini, seorang Noor Ashikin sangat malas untuk bersiap memakai baju berlengan panjang & menyarung tudung untuk mengambil daun pandan di halaman rumah 😅. Saya goreng ayam ini dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit.

Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air kosong.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Isnin, 20 Januari 2025

Salad Ayam, Timun & Jagung Berkrim


Resipi salad ayam, timun & jagung berkrim ini lebih kurang sama sahaja dengan resipi salad timun berkrim yang saya pernah kongsikan sebelum ini. Cuma kali ini, resipinya lebih terperinci serta saya tambahkan isi jagung & lebihkan penggunaan lada hitam supaya rasanya lebih pedas.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam yang telah dibakar, timun Jepun, isi jagung, tomato ceri & bawang besar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan mayonis, yogurt asli, madu, mustard kuning, jus lemon, bawang putih, lada hitam, emping cili & daun bawang.

Saya bakar ayam dengan menggunakan 'air fryer'. Selepas itu, saya potong isinya menjadi ketulan kecil. Jika suka, boleh juga sekiranya hendak carikkan sahaja isi ayam tersebut. Dalam resipi ini, saya guna isi jagung sejuk beku kerana lebih mudah untuk saya merancang perbelanjaan serta menyimpan lebihannya mengikut resipi yang saya akan sediakan pada masa yang lain.

Salad yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Salad Ayam, Timun & Jagung Berkrim

Bahan-bahan:

1 ketul dada ayam
½ sdb minyak masak/ minyak zaitun*
¼ sdt lada hitam*
¼ sdt garam*

½ cawan (125 g) mayonis**
½ cawan (125 g) yogurt asli/ yogurt Greek**
1 sdb madu**
2 sdt mustard kuning (pilihan)**
2 sdb jus limau nipis/ lemon**
1 sdb bawang putih (cincang)**
1 sdb serbuk lada hitam kasar**
1 sdb emping cili (pilihan)**
1 pokok daun bawang/ kucai/ parsli (hiris)**

1½ cawan timun Jepun (hiris/ sagat)***
1 cawan isi jagung***
½ cawan (20 biji) tomato ceri (belah dua)***
1 labu bawang besar (hiris/ sagat)***

Cara Penyediaan:
- Lumurkan dada ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *. Bakar dengan menggunakan 'air fryer'/ ketuhar pada suhu 200°C selama 20 minit/ sehingga ayam masak sepenuhnya. Selepas itu, sejukkan ayam tersebut & potong isinya menjadi ketulan kecil. Ketepikan.
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sebati. Ketepikan.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda *** & isi ayam ke dalam mangkuk yang sesuai.
- Tuangkan 'salad dressing' ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan ***. Gaul sehingga kesemua bahan bersalut sekata. Sedia untuk dihidangkan.

Ahad, 19 Januari 2025

D-236: Salad Ayam & Timun Berkrim dengan Ayam Goreng Ketumbar (Air Fryer)


D-236

Salad Ayam & Timun Berkrim dengan Ayam Goreng Ketumbar (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' OMAD + IF hampir 20 jam. Terlajak puasa pula hari ini sebab tadi, saya keluar membeli barangan dapur. Resipi salad timun ini sama sahaja dengan resipi salad timun yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Cuma saya tambahkan isi jagung & lebihkan penggunaan lada hitam supaya rasanya lebih pedas.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam yang telah dibakar, timun Jepun, isi jagung, tomato ceri & bawang besar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan mayonis, yogurt asli, madu, mustard kuning, jus lemon, bawang putih, lada hitam, emping cili & daun bawang.

Ayam goreng ketumbar pula, saya goreng dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit. Saya pernah kongsikan resipi bahan perapannya sebelum ini di profil saya dalam fail bertajuk 2025.

Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air kosong.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Jumaat, 17 Januari 2025

Salad Ayam & Saderi


Kali ini, salad yang saya hasilkan diinspirasi dari resipi AI yang sering keluar di 'wall' saya. Saya olah semula resipinya dari resipi asal mengikut citarasa saya. Salad ini bukanlah versi berkrim seperti resipi salad timun yang saya pernah kongsikan sebelum ini. Ianya cuma salad yang kaya dengan protein & seimbang dengan rasa masam serta sedikit manis dari bahan-bahan yang digunakan.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam yang telah direbus, saderi, bawang besar, kranberi kering & daun bawang. Untuk 'salad dressing', saya gunakan mayonis, jus lemon, mustard kuning & emping cili.

Penggunaan kranberi kering boleh digantikan dengan buah-buahan kering yang lain seperti kismis, aprikot kering, beri biru kering & lain-lain. Jika suka, boleh tambahkan kekacang seperti kacang pecan, walnut, badam & lain-lain yang sesuai mengikut kegemaran.

Salad yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Salad Ayam & Saderi

Bahan-bahan:

½ cawan (125 g) mayonis*
1 sdb jus lemon/ limau*
1 sdt mustard kuning*
1 sdb emping cili*

1½ cawan isi ayam rebus (carik)**
1½ cawan saderi (potong kecil)**
1 labu bawang besar (hiris)**
¼ cawan kranberi kering (cincang)**
¼ cawan daun bawang/ parsli/ dill (hiris)**

Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam mangkuk. Kacau sehingga sebati. Ketepikan.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk yang sesuai.
- Tuangkan 'salad dressing' ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan **. Gaul sehingga kesemua bahan bersalut sekata. Sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 16 Januari 2025

D-233: Salad Ayam & Saderi dengan Ayam Goreng Berempah (Air Fryer)


D-233

Salad Ayam & Saderi dengan Ayam Goreng Berempah (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' OMAD + IF selama 18 jam. Kali ini, salad yang saya hasilkan diinspirasi dari resipi AI yang sering keluar di 'wall' saya. Saya olah semula resipinya dari resipi asal mengikut citarasa saya. Salad ini bukanlah versi berkrim. Ianya cuma salad yang kaya dengan protein & seimbang dengan rasa masam serta sedikit manis dari bahan-bahan yang digunakan.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah isi ayam yang telah direbus, saderi, bawang besar, kranberi kering & daun bawang. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan mayonis, jus lemon, mustard kuning & emping cili.

Ini kali pertama saya buat ayam goreng berempah dengan menggunakan air fryer. Yeay. Alhamdulillah, menjadi. Saya cuma perlukan sedikit kerajinan & 'effort' untuk menghasilkan ayam goreng berempah versi air fryer yang lebih sihat, sedap & tidak hangit rempahnya. saya goreng ayam yang telah diperap dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit & saya masukkan rempah perapan pada 5 minit terakhir. Saya pernah kongsikan resipi bahan perapannya sebelum ini di profil saya dalam fail bertajuk 2025.

Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air dengan perahan limau nipis.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Selasa, 14 Januari 2025

Salad Nenas Ala Thai


Salad nenas ala Thai ini diinspirasikan dari resipi 'Thai pineapple salad' hasil perkongsian resipi dari laman sesawang 'lazycatkitchen'.

Nenas yang saya gunakan ialah nenas yang diberi oleh ibu saudara saya ketika dia datang melawat ke rumah tempoh hari. Rasanya manis sekali. Sebahagiannya saya jadikan snek diet, kisar & simpan di ruangan sejuk beku & jadikan bahan untuk membuat salad.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah nenas, timun Jepun (lebihan membuat somtam tempoh hari), kubis, tomato ceri, bawang besar, suhun (dalam simpanan yang sudah lama tidak digunakan), daun ketumbar & daun bawang. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus bersama dengan sedikit emping cili. Rasa masam & manis dari nenas, pedas dari cili padi & rasa umami dari udang kering menjadikan rasa salad ini sangat sedap. Kalian harus cuba buat salad ini sendiri di rumah.

Salad yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Salad Nenas Ala Thai

Bahan-bahan:

4 ulas bawang putih*
4 biji cili padi*
¼ cawan udang kering (sangai)*
2 sdb jus limau nipis*
2 sdb sos ikan*
2 sdb madu*

1½ cawan nenas**
½ cawan (½ batang saiz panjang) timun Jepun (sagat/ hiris)**
½ cawan kubis (hiris)**
½ cawan (50 g) suhun (celur, bilas & tapis)**
1 labu bawang besar (sagat/ hiris)**
¼ cawan (10 biji) tomato ceri (belah dua)**
¼ cawan (1 pokok) daun ketumbar**
¼ cawan (1 pokok) daun bawang**

1 sdb emping cili (pilihan)
2 sdb kacang tanah (goreng & tumbuk)

Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor)/ pengisar. Kisar sehingga hancur. Ketepikan.
- Oleskan sedikit minyak masak pada pan/ pemanggang. Panggang (grill) potongan nenas selama 3-4 minit setiap belah/ sehingga mendapat kesan memanggang pada nenas.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk.
- Tuangkan sos (salad dressing) ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan **. Gaul sekata sehingga kesemua bahan bersalut dengan sos.
- Akhir sekali, taburkan dengan emping cili & kacang tanah hancur. Sedia untuk dihidangkan.

Isnin, 13 Januari 2025

D-230: Salad Nenas ala Thai dengan Ayam Bakar Madu Ala Thai (Air Fryer)


D-230

Salad Nenas ala Thai dengan Ayam Bakar Madu Ala Thai (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' OMAD + IF selama 18 jam. Salad nenas yang saya sediakan ini diinspirasikan dari resipi 'Thai pineapple salad' hasil perkongsian resipi dari laman sesawang 'lazycatkitchen'.

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah nenas, timun Jepun (lebihan membuat somtam tempoh hari), kubis, tomato ceri, bawang besar, suhun (dalam simpanan yang sudah lama tidak digunakan), daun ketumbar & daun bawang. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus bersama dengan sedikit emping cili. Insya-Allah, jika panjang umur saya akan kongsikan resipi lengkap salad nenas ala Thai versi saya yang sesuai dijadikan menu untuk berdiet.

Ayam bakar madu ala Thai pula, saya bakar dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit. Saya pernah kongsikan resipi bahan perapannya sebelum ini di profil saya dalam fail bertajuk 2025.

Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air dengan perahan limau nipis.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Sabtu, 11 Januari 2025

Somtam Lobak Merah & Timun


Menu ini saya sediakan untuk 'berbuka' IF setelah 20 jam saya berjaya lakukan semalam. Somtam lobak merah & timun ini diinspirasikan dari resipi somtam lobak merah hasil perkongsian daripada Marion Grasby (Marion's Kitchen).

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah lobak merah, timun Jepun, kacang panjang, tomato ceri & daun ketumbar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah hancur yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus.

Somtam yang saya sediakan ini sesuai dijadikan sebagai menu untuk saya berdiet & menurunkan berat badan. Namun begitu, sekiranya kalian tidak yakin & merasakan menu ini tidak berkesan untuk menurunkan berat badan diri sendiri, kalian bolehlah mengolahnya semula mengikut citarasa masing-masing. Bagi yang tidak berdiet, kalian juga boleh cuba untuk sediakan menu ini sebagai juadah untuk dinikmati bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Somtam Lobak Merah & Timun

Bahan-bahan:

4 ulas bawang putih*
4 biji cili padi*
¼ cawan udang kering (sangai)*
2 sdb jus limau nipis*
2 sdb sos ikan*
2 sdb madu*

1½ cawan (1 batang) lobak merah (parut/ hiris)**
1½ cawan (1½ batang saiz panjang) timun Jepun (parut/ hiris)**
½ cawan (5 urat) kacang panjang (potong 1 inci)**
½ cawan (20 biji) tomato ceri (belah dua)**
¼ cawan (1 pokok) daun ketumbar (hiris)**

2 sdb kacang tanah (goreng & tumbuk)

Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor)/ pengisar. Kisar sehingga hancur. Ketepikan.
- Masukkan pula bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk.
- Tuangkan sos (salad dressing) ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan **. Gaul sekata sehingga kesemua bahan bersalut dengan sos.
- Akhir sekali, taburkan dengan kacang tanah hancur. Sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 10 Januari 2025

D-227: Somtam Lobak Merah & Timun dengan Ayam Bakar Madu Ala Thai (Air Fryer)


D-227

Somtam Lobak Merah & Timun dengan Ayam Bakar Madu Ala Thai (Air Fryer)

Ini menu saya selepas 'berpuasa' OMAD + IF selama 20 jam (saya mula lebih awal dari selalu pada lewat petang semalam). Somtam lobak merah & timun yang saya sediakan ini diinspirasikan dari resipi somtam lobak merah hasil perkongsian daripada Marion Grasby (Marion's Kitchen).

Bahan-bahan yang saya gunakan ialah lobak merah, timun Jepun, kacang panjang, tomato ceri & daun ketumbar. Untuk sosnya (salad dressing) pula, saya gunakan bawang putih, cili padi, udang kering, jus limau nipis, sos ikan & madu (menggantikan gula Thai/ gula merah). Akhir sekali, saya taburkan dengan kacang tanah yang telah digoreng dengan menggunakan air fryer & dikisar separa halus. Insya-Allah, esok saya akan kongsikan resipi lengkap somtam lobak merah & timun versi saya yang sesuai dijadikan menu untuk berdiet.

Ayam bakar madu ala Thai pula, saya bakar dalam air fryer pada suhu 200°C selama 25 minit. Saya pernah kongsikan resipi bahan perapannya sebelum ini.

Bagi karbohidratnya pula, saya minum & makan air rendaman oat. Saya rendamkan 1 cawan rolled oat dengan 1 L air kosong & biarkan semalaman dalam peti sejuk. Akhir sekali, saya minum 1 L air dengan perahan limau nipis.

Nota: Pola pemakanan ini berkesan dengan saya untuk menurunkan berat badan. Jangan ikut sekiranya kalian tidak yakin & tidak berkesan dengan diri sendiri.

Khamis, 9 Januari 2025

Perapan Ayam Goreng/ Bakar


Sudah lama rasanya saya tidak berkongsi resipi di sini. Hari ini, saya hendak berkongsi resipi perapan ayam yang sesuai digunakan ketika sedang berdiet serta dapat memudahkan kerja memasak seharian & juga ketika di bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.

Bagi yang sedang berdiet, saya cadangkan supaya mengambil ½-1 sdb bahan perapan untuk memerap 1 ketul ayam. Setelah diperap, ayam tersebut bolehlah dibakar/ digoreng dengan menggunakan 'air fryer' atau ketuhar. Jika menggunakan 'air fryer', boleh bakar/ goreng pada suhu 200°C selama 20-25 minit/ sehingga masak sepenuhnya. Manakala, jika mahu membakar ayam dengan menggunakan ketuhar, boleh bakar pada suhu 200°C selama 25-30 minit/ sehingga masak sepenuhnya.

Semua resipi ini merupakan 'keeper recipe' saya yang diolah semula supaya sesuai untuk saya makan ketika berdiet. Jika kalian tidak berdiet, kalian juga boleh cuba resipi ini & sesuaikan rasanya mengikut selera masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.

Perapan Ayam Goreng/ Bakar


Resipi ini, saya peroleh dari perkongsian seorang pempengaruh dari Thailand yang berkongsi resipinya di IG. Resipi asalnya menggunakan isi ayam & kemudiannya dicucuk pada lidi sebelum dibakar seperti sate.

Ayam Bakar Madu Ala Thai

Bahan-bahan:

4-6 ulas bawang putih*
2-3 akar daun ketumbar*
1 sdb serbuk lada hitam*
1 sdb serbuk cili*
1 sdb kicap*
1 sdb sos tiram*
2 sdb madu*
2 sdb gula Thai/ gula perang/ gula merah*
1-1½ sdt garam*
4 sdb minyak masak*
Beberapa titis pewarna merah (pilihan)*

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.

Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Resipi ini, saya olah semula dari resipi ayam pandan oleh Aunty Kak Wan (Citarasawan). Resipi asalnya menggunakan isi ayam & kemudiannya dibalut dengan daun pandan sebelum digoreng dalam minyak yang banyak. Jika menggunakan seketul bahagian ayam, saya cadangkan supaya ayam tersebut dibalut juga dengan daun pandan untuk mendapatkan aroma ayam pandan setelah digoreng.

Ayam Pandan

Bahan-bahan:
4-6 ulas bawang putih*
2-3 batang serai*
1-1½ sdb biji ketumbar*
1-1½ sdb serbuk lada putih*
1-1½ sdt gula Thai/ gula perang* (saya guna madu)
1-1½ sdt garam*
2-3 sdb santan*
½ sdb minyak bijan*
4 sdb minyak masak*

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.

Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.
- Balut ayam dengan daun pandan sebelum digoreng.

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Bagi memudahkan kerja, kalian boleh pilih untuk kisarkan sekali daun kari bersama dengan bahan-bahan perapan yang lain.

Ayam Goreng Berempah

Bahan-bahan:

1 labu bawang besar*
4-6 ulas bawang putih*
2-3 tangkai daun kari (pilihan)*
2 inci halia*
2-3 hiris lengkuas*
4-6 batang serai*
2 sdb biji ketumbar*
1 sdb jintan manis*
1-1½ sdt garam
1 biji telur (pilihan)*
8-12 sdb minyak masak*
4-6 sdb tepung beras**
2 sdb serbuk kari ayam**
2 sdb serbuk cili**
2 sdb serbuk kunyit**

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan yang bertanda **. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.

Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1-1½ ekor/ 12-18 ketul potongan ayam.
- Masukkan daun kari ketika menggoreng ayam untuk menaikkan aroma ayam goreng berempah.

-----------------------------------------------------------------------------------------------


Saya pernah kongsikan resipi ini tidak lama dahulu. Kali ini, saya olah semula resipinya dengan menambah sedikit serbuk lada putih.

Ayam Goreng Ketumbar

Bahan-bahan:
4-6 sdb biji ketumbar (sangai)*
1 labu bawang besar*
4-6 ulas bawang putih*
1 sdb serbuk lada putih*
1-1½ sdt garam*
8-12 sdb minyak masak*
4-6 sdb tepung beras**

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan yang bertanda **. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.

Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.