29-11-2024. Happy birthday, my only lil sis 🎂.
Jika sebelum ini, saya kongsikan resipi mufin labu, kali ini, saya hendak berkongsi resipi mufin coklat pula. Mesti ramai yang gemar pencuci mulut yang berasaskan coklat ini. Secara peribadi, saya lebih gemar makan mufin berbanding kek cawan pada hari-hari biasa kerana ia lebih ringkas (tanpa krim), kos penyediaannya yang lebih murah & lebih mudah untuk disediakan.
Resipi asal mufin coklat ini saya rujuk daripada perkongsian resipi 'Double Chocolate Chip Muffin' oleh Che Nom. Terima kasih, Che Nom kerana berkongsi resipi bukan sahaja dalam sukatan cawan malah terdapat juga dalam sukatan metrik. Tetapi, seperti biasa saya mesti buat sedikit perubahan terhadap resipi asal supaya lebih sesuai dengan citarasa saya. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati & sememangnya resipi ini boleh dijadikan sebagai resipi asas mufin & menjadi 'keeper recipe' saya.
Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada peniaga kek & pastri yang kreatif serta tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Shahrir Shamim. Terima kasih kerana telah berkongsi tip & juga saiz kertas cawan yang sesuai digunakan bagi mendapatkan 'straight cut cupcake'. Saya cuba aplikasikannya untuk membuat mufin. Ini merupakan percubaan saya untuk kali kedua selepas membuat mufin labu tempoh hari. Alhamdulillah, memang menjadi & saya berpuas hati. Tiada lagi mufin berbentuk 'cendawan' yang terhasil & membuatkan saya 'sakit' mata melihatnya. Saya berjaya menghasilkan 'almost straight cut muffin'. Sebenarnya, saya masih belum jumpa cawan kertas mufin & cawan mufin solo yang benar-benar ngam ukurannya. Mungkin itulah sebabnya saya hanya dapat menghasilkan 'almost straight cut muffin' & bukannya 'straight cut muffin'.
Saya gemar rupa mufin yang kelihatan rustik & mempunyai permukaan yang merekah. Berbeza dengan kek cawan, saya lebih gemar dengan rupanya yang licin, tidak membukit & tidak merekah. Berbalik pada resipi mufin coklat ini, rasanya tidak terlalu manis & seimbang dengan jumlah cip coklat yang digunakan serta menepati citarasa saya. Selain cip coklat, saya juga letakkan sedikit badam cincang pada permukaan mufin. Resipi ini menghasilkan mufin yang agak banyak. Kalian boleh cuba buat untuk dinikmati bersama rakan-rakan & keluarga tersayang. Ia juga boleh dijadikan salah satu idea pencuci mulut yang boleh disediakan untuk jamuan, 'potluck' & 'dessert table' serta boleh juga dijadikan salah satu hasil jualan memandangkan ianya mudah untuk disediakan & kos untuk menghasilkannya lebih murah.
Selamat mencuba 🙂.
Loaded Double Chocolate Muffins
Bahan-bahan (20 biji mufin dengan menggunakan cawan kertas mufin berukuran 4.5 cm x 3.5 cm (No. 10) & cawan mufin solo berukuran 5.0 cm x 3.5 cm (saiz L)):
250 ml (1 cawan) susu*
2 sdb jus lemon*
2 sdb jus lemon*
125 ml (½ cawan) minyak sayuran/ mentega cair**
120 g telur/ 2 biji telur (A/B)**
1 sdt esen vanila**
200 g (1 cawan) gula kastor (saya guna 170 g)**
275 g (1¾ cawan) tepung gandum***
25 g (4 sdb) serbuk koko***
1 sdt serbuk penaik***
1 sdt soda bikarbonat***
150-300 g (½-1 cawan) cip coklat (saya guna 1 cawan)****
Cip coklat secukupnya
Badam cincang secukupnya
Cara Penyediaan:
- Campurkan bahan-bahan yang bertanda *. Kacau & biarkan seketika selama 5-10 minit.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk. Kacau dengan menggunakan 'whisk' sehingga sebati.
- Ayak bahan-bahan yang bertanda *** ke dalam mangkuk bahan cecair. Kaup balik sehingga sebati.
- Masukkan pula cip coklat. Kaup balik perlahan-lahan sehingga sebati.
- Masukkan adunan mufin ke dalam cawan kertas mufin sehingga memenuhi ¾ dari isipadunya (saya isi hampir penuh).
- Taburkan badam cincang & cip coklat ke atas adunan mufin.
- Bakar adunan mufin pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit/ sehingga masak sepenuhnya di rak tengah oven.
Nota:
- Saya bakar adunan mufin pada suhu 170°C (merujuk pada termometer oven) selama 25 minit.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan