Sabtu, 16 November 2024

Ayam Pedas Manis (Sweet Chilli Chicken)


Sebenarnya, hari ini saya bercadang untuk melukis beberapa pola blaus & baju raya. Tapi, sedang elok saya hendak mencari nota yang disimpan di Facebook, terlintas pula resipi 'Sweet Chilli Chicken' di 'story' Khin's Kitchen. Terus saya lupakan apa yang saya hendak cari & pergi menonton 'reels', membaca resipi di laman sesawang Khin's Kitchen serta menyalin resipi dalam nota di telefon saya.

Resipinya mudah. Kesemua bahan ada di dapur saya. Apa lagi. Terus saya keluarkan isi ayam bahagian 'thigh' yang telah saya asingkan untuk dinyahbeku. Sementara itu, sempatlah saya membuang masa lagi dengan mencari & membaca asal-usul & resipi 'tourtière landaise' setelah menonton rancangan masakan French Gourmet with Justin Schofield di saluran 709. Terliur saya melihat chef & tetamunya makan pie yang kelihatan begitu 'flaky' yang dibeli di 'farmers market' di kawasan selatan Perancis. Tetapi, pie yang dijual di 'farmers market' di sana adalah tidak halal kerana mengandungi alkohol.


Berbalik pada resipi ini, saya namakan dia dalam Bahasa Melayu, 'Ayam Pedas Manis'. Kalau letak nama 'Ayam Cili Manis' macam tak berapa sedap pula. Semestinya, ia merupakan satu lagi resipi yang harus disimpan & dicuba sekiranya tiada idea untuk memasak isi ayam seperti dada ayam. Rasanya cukup seimbang dengan sedikit pedas dari emping cili serta masam, manis & melekit dari sos cili yang digunakan. Saya makan begitu sahaja bersama dengan sedikit kimchi. Cukuplah hidangan berat untuk saya pada hari ini memandangkan saya tidak membuat apa-apa kerja selain dari menyiram pokok, menyidai pakaian, memvakum rumah & membaca.

Resipi di bawah adalah versi yang telah saya olah mengikut citarasa saya. Jika ingin membaca resipi asal, bolehlah cari di laman sesawang Khin's Kitchen. Thank you, Khin's Kitchen for the recipe 💖.

Selamat mencuba 🙂.


Ayam Pedas Manis (Sweet Chilli Chicken)

Bahan-bahan:
500 g isi ayam bahagian dada/ 'thigh' (potong dadu)
1 sdt serbuk lada putih*
1 sdb kicap masin*
1 biji telur*

½-1 cawan tepung jagung

4 ulas bawang putih (cincang)
1 sdb emping cili

6 sdb sos cili
2 sdb kicap masin
1 sdb gula
½ cawan air
½ sdb tepung jagung + ¼ cawan air (bancuh)

Bijan putih (pilihan)
Daun bawang (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Gaulkan ketulan isi ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *.
- Masukkan ketulan ayam dalam tepung jagung. Pastikan setiap ketul isi ayam bersalut sekata dengan tepung.
- Goreng isi ayam sehingga masak sepenuhnya. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak masak di dalam pan/ kuali. Tumis bawang putih sehingga naik bau. Kemudian, masukkan emping cili. Kacau rata.
- Masukkan pula sos cili, kicap, gula & air. Kacau sehingga campuran bahan-bahan sos mendidih.
- Masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau lagi & biarkan sos memekat.
- Selepas itu, tutup api & masukkan ketulan ayam goreng. Gaul rata.
- Taburkan dengan bijan & hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan. 


Nota:
- Boleh juga goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 15 minit/ sehingga masak.
- Boleh tambah/ kurangkan penggunaan emping cili mengikut tahap kepedasan kesukaan masing-masing.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan