Selasa, 12 November 2024

Talam Keladi Berlauk Udang dengan Sos Cili & Sos Kicap Taucu


Hari ini, saya nak kongsikan resipi kuih talam keladi berlauk udang dengan sos cili & sos kicap taucu yang saya buat tempoh hari untuk kakak saya yang mengidam. Dia telah menyatakan hasratnya awal-awal lagi iaitu sebulan sebelum dia balik & berjumpa dengan saya. Katanya dia teringin untuk makan kuih talam keladi berlauk yang saya pernah buat suatu ketika dahulu. Sebenarnya, saya pun sudah lama sangat tak buat kuih ini. Kuih talam ini juga sangat sukar untuk dijumpai & dijual di mana-mana melainkan jika berhasrat untuk membeli seloyang daripada pembuat kuih talam.

Resipi ini merupakan hasil olahan resipi kuih talam berlauk yang saya pernah kongsikan ketika bulan Ramadan semasa PKP pada bulan April 2020 dahulu & telah mendapat maklum balas yang baik daripada rakan-rakan media sosial yang telah mencuba. Resipi asalnya pula adalah dari buku Kuih Talam Langkah Demi Langkah oleh Pn. Noraini Zakaria yang saya beli suatu ketika dahulu (2017).

Resipi asalnya dibuat dalam loyang tetapi saya menggunakan acuan lompang supaya lebih mudah untuk semua orang di rumah saya ambil & makan. Kali ini, saya masukkan kesemua inti/ lauk yang disediakan ke dalam adunan tepung kerana saya mahu cepat untuk menyiapkan kuih talam ini (rujuk nota 👇🏻).

Bagi resipi sos cili, saya hanya olah semula resipi sos cili nasi ayam yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Cuma, kali ini saya tambahkan sedikit larutan tepung jagung supaya sosnya lebih pekat.

Bagi resipi sos kicap taucu pula, saya rujuk & olah semula resipi sos kicap yang dikongsikan oleh Puan Kak Wan (Citarasawan).

Resipi ini menghasilkan potongan/ bilangan kuih yang banyak & menggunakan loyang 10x10x2 inci (60-64 biji acuan lompang kecil). Jika rakan-rakan mahu membuat sedikit sahaja, bolehlah buat ½ dari resipi ini & menggunakan loyang 7x7x2 inci (30-32 biji acuan lompang kecil).

Kuih talam ini merupakan kuih talam 'savoury'. Rasanya memang agak tawar & sangat sedap jika dimakan bersama dengan 2 jenis sos yang disediakan. Percayalah. Selepas makan 1-2 ketul, pasti rasa tidak cukup & ingin memakannya lagi ☺️.

Buat kakak & rakan-rakan serta rakan-rakan media sosial, there you go. Inilah resipi penuh kuih talam keladi berlauk udang yang saya tunjuk tempoh hari. Selepas ini, bolehlah kalian cuba buat sendiri. Buat rakan-rakan yang teringin hendak membeli & makan kuih ini hasil daripada air tangan saya, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi hajat kalian. Insya-Allah, bukan sekarang tetapi mungkin suatu hari nanti jika panjang umur, saya akan cuba untuk buatkan 💖.

Selamat mencuba 🙂.


Talam Keladi Berlauk Udang dengan Sos Cili & Sos Kicap Taucu

Bahan-bahan (60-64 biji acuan lompang kecil/ Loyang 10x10x2 inci):
INTI/ LAUK UDANG

2 sdb minyak masak
2 sdb udang kering (cincang/ tumbuk)
400 g (2 cawan) udang (cincang kasar)
2 tangkai cili merah (hiris)*
½ cawan hirisan daun sup* + ekstra
½ cawan hirisan daun bawang* + ekstra
⅔ cawan bawang goreng (dari 10 ulas bawang kecil)* + ekstra

ADUNAN TEPUNG
400 g (2 cawan) keladi yang telah dikupas kulit (potong dadu)
1250 ml (5 cawan) santan sederhana pekat
300 g (2 cawan) tepung beras**
60 g (6 sdb) tepung jagung**
60 g (6 sdb) tepung gandum**
2 sdt garam**

SOS CILI
5 biji cili merah***
5 biji cili padi merah***
1 cawan air***
¼ cawan gula perang****
Secubit garam****
1-2 biji limau nipis (ambil jusnya)****
1½-2 sdb tepung jagung + ½ cawan air (bancuh)

SOS KICAP TAUCU
2 sdb taucu*****
1 cawan air*****
¼ cawan gula perang******
2 sdb kicap masin******
2 sdb kicap manis******
1 sdb tepung jagung + ¼ cawan air (bancuh)


CARA PENYEDIAAN:
- INTI/ LAUK: Panaskan sedikit minyak masak. Goreng udang kering & isi udang sehingga isi udang bertukar warna kemerahan. Tapis & buang air yang terhasil (jika ada).
- Campurkan udang yang telah digoreng dengan bahan-bahan yang bertanda *. Ketepikan.
- ADUNAN TEPUNG: Kupas keladi. Potong kepada ketulan kecil. Kukus/ rebus sehingga empuk. Ketepikan.
- Panaskan santan sehingga suam (tidak perlu sehingga mendidih). Ketepikan.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** & santan yang masih suam ke dalam mangkuk. Kacau rata dengan menggunakan 'whisk'. Tapis adunan tepung sekiranya masih terdapat ketulan tepung yang tidak larut.
- Masukkan keladi yang telah direbus & inti/lauk ke dalam adunan tepung yang telah disediakan. Kacau rata.
- Oleskan acuan lompang dengan sedikit minyak masak.
- Masukkan 3-4 sudu besar adunan kuih ke dalam setiap acuan.
- Kukus selama 20 minit.
- Setelah masak, sejukkan kuih selama +-1½-2 jam.
- Keluarkan kuih dari acuan. Taburkan hirisan daun sup & daun bawang serta bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan dengan sos kegemaran.
- SOS CILI: Kisar bahan-bahan yang bertanda ***.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda ****. Masak sehingga mendidih & hilang bau cili.
- Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati & mendidih sekali lagi.
- Tapiskan sos cili & sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).
- SOS KICAP TAUCU: Kisar bahan-bahan yang bertanda *****.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda ******. Masak sehingga mendidih.
- Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati & mendidih sekali lagi.
- Tapiskan sos kicap taucu & sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).


NOTA:
- Boleh juga masukkan ½ dari inti/ lauk yang telah disediakan ke dalam adunan tepung. Selepas adunan dikukus sehingga ¾ masak, taburkan baki inti ke atas kuih & teruskan mengukus sehingga kuih masak sepenuhnya.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan