MASAK MERAH. Inilah salah satu menu kegemaran saya yang telah menjadikan saya seorang yang gemuk sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa 😅. Tetapi, saya cuma gemar 2 jenis masak merah sahaja iaitu ayam masak merah & ikan bawal masak merah yang dimasak oleh almarhum emak saya, Saerah & emak penjaga saya, Jamilah Milah. Masakan mereka berdua boleh membuatkan saya bertambah nasi 2-3 kali tidak kira pada waktu makan tengahari, makan malam atau bersahur ketika saya kanak-kanak sehingga remaja.
Sebenarnya, sudah beberapa minggu saya teringin hendak makan ayam masak merah seperti almarhum emak masak suatu ketika dahulu. Walaupun saya tidak pernah berpeluang belajar memasak dengan almarhum emak, tetapi saya masih ingat semua nostalgia ketika bersama dengannya lebih 14 tahun dahulu termasuk rasa masakan yang pernah dimasaknya.
Sejak dari tahun 2014, setelah saya mula ada keinginan untuk belajar memasak, saya banyak meluangkan masa melayari blog-blog masakan & membeli serta membaca majalah seperti SAJI & RASA. Jika saya terjumpa & terbaca resipi ayam masak merah, saya pasti akan cuba untuk masak. Sudah pasti ada yang tidak menjadi kerana pada ketika itu, saya masih tidak tahu & tidak cekap untuk memasak. Istilah "masak cili sehingga pecah minyak" pun saya tidak tahu bagaimana rupanya. Tapi, semakin lama hasil masakan saya bertambah baik & akhirnya pada tahun 2018, saya berjaya memasak ayam masak merah dengan rasa yang lebih kurang seperti almarhum emak pernah masak.
Kini, seperti biasa, ayamnya saya goreng dengan menggunakan 'air fryer'. Tidak seperti almarhum emak yang menggoreng dengan menggunakan minyak yang banyak.
Selain itu, saya juga sediakan sayur masak lemak kubis. Selain kubis, saya masukkan lobak merah, suun & fucuk. Sebelum ini, saya pernah gagal memasak hidangan yang menggunakan suun. Jika hidangannya berkuah, kuahnya pasti tersejat & menjadi kering. Rupa-rupanya, teknik memasak saya yang salah. Tapi, dengan kesalahan itu, saya terus mencari & membaca bagaimana cara untuk membetulkannya. Kini, semuanya baik-baik sahaja & saya sudah tahu untuk memasak suun tanpa gagal.
Baiklah. 2 menu ini sahaja yang sempat saya sediakan pada hari ini memandangkan saya masih belum sihat sepenuhnya. 'By hook or by crook', saya tetap kena memasak sebab saya lapar, % protein saya masih rendah, saya perlukan tenaga untuk bersenam & saya hanya mahu makan makanan yang dimasak di rumah.
Selamat mencuba 🙂.
Ayam Masak Merah Stail Almarhum Emak
Bahan-bahan:
½ ekor (4-6 ketul) ayam
½ sdb serbuk kunyit*
1 sdt garam*
2 sdb minyak masak*
½ sdb serbuk kunyit*
1 sdt garam*
2 sdb minyak masak*
6 ulas bawang kecil/ 1½ labu bawang besar**
3 ulas bawang putih**
1 inci halia**
10-15 tangkai cili kering (buang biji & rebus)**
1 batang serai (ketuk)
Air secukupnya
2 sdb sos cili
2 sdb sos tomato
Sedikit air asam jawa
1 labu bawang besar (hiris ½ bulat)
Sedikit hirisan daun sup/ daun bawang (pilihan)
Cara Penyediaan:
- Gaulkan ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *.
- Goreng ayam sehingga separuh masak/ masak sepenuhnya mengikut kesukaan masing-masing.
- Panaskan minyak masak secukupnya di dalam kuali. Masukkan bahan-bahan ** yang telah dikisar & serai.
- Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan gula secukupnya semasa proses menumis. Ulang langkah yang sama 3-5 kali dengan menambah sedikit air pada setiap kali ulangan supaya cili cukup masak & warna sambal menjadi cantik (merah gelap).
- Masukkan ayam yang telah digoreng, sos cili, sos tomato & sedikit air asam jawa. Gaul rata. Biarkan seketika supaya ayam sebati dengan sambal. Perasakan dengan garam secukupnya. Tambahkan air asam jawa/ air biasa sekiranya sambal terlalu kering.
- Masukkan pula hirisan bawang besar & daun sup. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
- Saya goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 20 minit.
Masak Lemak Kubis
Bahan-bahan:
1 labu bawang besar*
1 sdb ikan bilis*
750 ml (3 cawan) santan cair (500 ml (2 cawan) air + 250 ml (1 cawan) santan pekat)
1 batang lobak merah (potong kepada potongan baton)
300 g kubis
1 helai daun kunyit (pilihan)
Sedikit (sejemput) suun (rendam terlebih dahulu)
2-3 keping fucuk (rendam terlebih dahulu)
1 biji cili merah (hiris)
Cara Penyediaan:
- Masukkan bahan-bahan * yang telah dikisar, santan cair & lobak merah ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dengan api sederhana supaya santan tidak pecah minyak.
- Masukkan pula kubis & daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya.
- Akhir sekali, masukkan suun & fucuk yang telah ditus serta hirisan cili merah. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.
Nota (Cara memasak suun):
- Jangan letak suun terlalu banyak.
- Rendam suun terlebih dahulu & tuskan sebelum dimasukkan dalam masakan.
- Gunakan cecair lebih dari kebiasaan. Contoh: Kebiasaannya untuk 250 g - 300 g sayur, saya gunakan 500 ml santan. Tetapi, jika ingin tambah suun, saya jadikan penggunaan santan kepada 750 ml.
- Masukkan suun pada langkah terakhir & kacau seketika sekitar 10-20 saat. Tutup api & biarkan suun terus masak sendiri dalam periuk yang panas.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan