Sudah lama rasanya saya tidak berkongsi resipi di sini. Hari ini, saya hendak berkongsi resipi perapan ayam yang sesuai digunakan ketika sedang berdiet serta dapat memudahkan kerja memasak seharian & juga ketika di bulan Ramadan yang bakal tiba tidak lama lagi.
Bagi yang sedang berdiet, saya cadangkan supaya mengambil ½-1 sdb bahan perapan untuk memerap 1 ketul ayam. Setelah diperap, ayam tersebut bolehlah dibakar/ digoreng dengan menggunakan 'air fryer' atau ketuhar. Jika menggunakan 'air fryer', boleh bakar/ goreng pada suhu 200°C selama 20-25 minit/ sehingga masak sepenuhnya. Manakala, jika mahu membakar ayam dengan menggunakan ketuhar, boleh bakar pada suhu 200°C selama 25-30 minit/ sehingga masak sepenuhnya.
Semua resipi ini merupakan 'keeper recipe' saya yang diolah semula supaya sesuai untuk saya makan ketika berdiet. Jika kalian tidak berdiet, kalian juga boleh cuba resipi ini & sesuaikan rasanya mengikut selera masing-masing.
Selamat mencuba 🙂.
Perapan Ayam Goreng/ Bakar
Resipi ini, saya peroleh dari perkongsian seorang pempengaruh dari Thailand yang berkongsi resipinya di IG. Resipi asalnya menggunakan isi ayam & kemudiannya dicucuk pada lidi sebelum dibakar seperti sate.
Ayam Bakar Madu Ala Thai
Bahan-bahan:
4-6 ulas bawang putih*
2-3 akar daun ketumbar*
1 sdb serbuk lada hitam*
1 sdb serbuk cili*
1 sdb kicap*
1 sdb sos tiram*
2 sdb madu*
2 sdb gula Thai/ gula perang/ gula merah*
1-1½ sdt garam*
4 sdb minyak masak*
Beberapa titis pewarna merah (pilihan)*
Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.
Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Resipi ini, saya olah semula dari resipi ayam pandan oleh Aunty Kak Wan (Citarasawan). Resipi asalnya menggunakan isi ayam & kemudiannya dibalut dengan daun pandan sebelum digoreng dalam minyak yang banyak. Jika menggunakan seketul bahagian ayam, saya cadangkan supaya ayam tersebut dibalut juga dengan daun pandan untuk mendapatkan aroma ayam pandan setelah digoreng.
Ayam Pandan
Bahan-bahan:
4-6 ulas bawang putih*
2-3 batang serai*
1-1½ sdb biji ketumbar*
1-1½ sdb serbuk lada putih*
1-1½ sdt gula Thai/ gula perang* (saya guna madu)
1-1½ sdt garam*
2-3 sdb santan*
½ sdb minyak bijan*
4 sdb minyak masak*
Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.
Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.
- Balut ayam dengan daun pandan sebelum digoreng.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Bagi memudahkan kerja, kalian boleh pilih untuk kisarkan sekali daun kari bersama dengan bahan-bahan perapan yang lain.
Ayam Goreng Berempah
Bahan-bahan:
1 labu bawang besar*
4-6 ulas bawang putih*
2-3 tangkai daun kari (pilihan)*
2 inci halia*
2-3 hiris lengkuas*
4-6 batang serai*
2 sdb biji ketumbar*
1 sdb jintan manis*
1-1½ sdt garam
1 biji telur (pilihan)*
8-12 sdb minyak masak*
4-6 sdb tepung beras**
2 sdb serbuk kari ayam**
2 sdb serbuk cili**
2 sdb serbuk kunyit**
Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan-bahan yang bertanda **. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.
Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1-1½ ekor/ 12-18 ketul potongan ayam.
- Masukkan daun kari ketika menggoreng ayam untuk menaikkan aroma ayam goreng berempah.
-----------------------------------------------------------------------------------------------
Saya pernah kongsikan resipi ini tidak lama dahulu. Kali ini, saya olah semula resipinya dengan menambah sedikit serbuk lada putih.
Ayam Goreng Ketumbar
Bahan-bahan:
4-6 sdb biji ketumbar (sangai)*
1 labu bawang besar*
4-6 ulas bawang putih*
1 sdb serbuk lada putih*
1-1½ sdt garam*
8-12 sdb minyak masak*
4-6 sdb tepung beras**
Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan menggunakan pemproses makanan (food processor)/ pengisar.
- Masukkan bahan kisar ke dalam mangkuk yang mengandungi bahan yang bertanda **. Gaul sehingga sebati.
- Masukkan bahan perapan ke dalam bekas bertutup & simpan pada bahagian sejuk beku. Nyahbeku bahan perapan sebelum digunakan.
Nota:
- Resipi ini cukup untuk 1 ekor/ 8-12 ketul potongan ayam.