Khamis, 1 Mei 2025

Kek 'Marble' Coklat Pandan


Thank you, Sifu Enne & Sifu Jeannie 💖

Saya panggil mereka berdua sifu kerana mereka gemar berkongsi resipi & tips membuat kek serta sering memperlihatkan hasil 'baking' yang kelihatan 'almost perfect' di mata saya. Saya rasa sangat seronok apabila dapat berkawan dengan komuniti yang mempunyai minat yang sama serta tidak lokek berkongsi ilmu & idea walaupun hanya kenal di media sosial.

Saya buat kek ini hujung minggu yang lalu untuk dijadikan buah tangan buat rakan baru saya di media sosial yang telah menjemput saya ke rumah terbuka yang dianjurkannya. Orangnya sangat peramah & membuatkan saya tidak kekok ketika berada di sana walaupun baru pertama kali bertemu di luar media sosial.


Resipi kek ini sebenarnya hampir sama dengan resipi kek mentega yang lain. Cuma saya olah semula resipi asal yang merupakan ‘keeper recipe’ saya supaya sesuai untuk menghasilkan dua biji kek 'loaf' yang bersaiz 7x3x3 inci. Satu untuk saya & satu lagi untuk dijadikan buah tangan. Saya hanya menggunakan serbuk koko & enapan pandan sebagai bahan perisa & pewarna untuk kek ini. Seperti biasa, saya berpuas hati dengan rasa & warna yang terhasil. Cuma, saya tersalah menggunakan pisau yang betul untuk memotong kek ketika keadaannya masih sejuk. Itulah sebabnya potongan kek saya kelihatan tidak kemas & 'menyakitkan mata'.

Rekahan yang terhasil pada permukaan kek ini tidak terhasil secara semulajadi. Saya tunjukkan cara saya melakukannya di dalam video yang telah saya muat naik semalam. Saya suka melihat rekahan tersebut. Ianya kemas & tidak senget benget. Langkah ini tidaklah wajib untuk dibuat & terpulang kepada minat serta citarasa masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Kek 'Marble' Coklat Pandan

Bahan-bahan (2 buah loyang 'loaf' yang berkuran 7x3x3 inci):

300 g mentega tanpa garam
200 gula kastor

300 g telur (tanpa kulit)/ 5 biji telur (A)

260 g tepung kek
2½ sdt serbuk penaik
½ sdt garam halus

5 sdb susu penuh krim

20 g tepung kek
2½ sdb enapan pandan

20 g serbuk koko
2½ sdb susu penuh krim

Cara Penyediaan:
- Sediakan 2 buah loyang 'loaf' yang berukuran 7'x3'x3'. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160°C/170°C.
- Pukul mentega & gula kastor dengan kelajuan paling tinggi selama 5-7 minit/ sehingga warnanya pucat & berkrim dengan menggunakan pengadun tangan (hand mixer).
- Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.
- Masukkan bahan kering (ayak) - cecair - bahan kering (ayak). Pukul dengan kelajuan paling rendah sehingga sebati/ boleh juga menggunakan spatula.
- Bahagikan adunan kek kepada 2 bahagian.
- Masukkan tepung kek & enapan pandan pada 1 bahagian & masukkan pula serbuk koko & susu penuh krim pada 1 bahagian lagi. Kaup balik sehingga sebati.
- Masukkan adunan kek secara berselang seli ke dalam loyang. Lorek adunan kek untuk menghasilkan efek 'marble'.
- Bakar adunan kek pada suhu 160°C/ 170°C selama 50-55 minit/ sehingga kek masak, api atas & bawah (tutup kipas) di rak tengah ketuhar. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar & kelar (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).
- Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.


Nota:
- Saya bakar kek pada suhu 165-170°C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Dalam resipi ini, saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan