Sabtu, 10 Mei 2025

Bingka Pandan Mini


Saya masih mempunyai sedikit baki enapan pandan dan mentega dari projek membuat kek 'marble' pandan coklat yang saya buat sebelum ini. Jika dibiarkan terlalu lama di dalam peti sejuk, nanti rosak pula enapan pandan tersebut. Jadi saya buatlah bengkang atau bingka pandan kerana kesemua bahan yang diperlukan memang sudah ada di rumah.

Seperti biasa, saya guna resipi bingka pandan yang pernah saya kongsikan sebelum ini dan sememangnya merupakan 'keeper recipe' saya. Cuma kali ini, saya olah semula resipi tersebut untuk mengurangkan lagi penggunaan gula (150 g - 125 g - 110 g) mengikut peratus yang telah saya tetapkan untuk membuat pencuci mulut, kek dan kuih-muih untuk diri sendiri.

Kali ini, saya buat bingka pandan versi mini kerana tidak perlu menunggu ia sejuk lebih lama seperti bingka yang dibuat dalam loyang besar. Rupanya sangat cantik ketika sedang dibakar. Kesemuanya naik tegak seperti ‘soufflé’. Seperti biasa, bagi saya rasanya sedap dan kena dengan selera serta cita rasa saya kerana saya memang sukakan rasa asli daripada penggunaan daun pandan. Jika kalian ingin mencuba resipi ini tetapi tidak mempunyai enapan pandan, boleh saja guna jus pandan sebagai gantian.

Selamat mencuba 🙂.


Bingka Pandan Mini

Bahan-bahan (20-24 biji):

80 g (⅓ cawan) mentega/ marjerin yang telah dicairkan 
180 g telur tanpa kulit/ 3 biji telur A
80 ml (⅓ cawan) enapan pandan (jika tiada, gantikan dengan air kisaran daun pandan yang telah ditapis)
600 ml (2½ cawan) santan sederhana pekat
110 g (½ cawan) gula pasir (tambah lagi jika gemarkan kuih yang manis)

230 g (1½ cawan) tepung gandum

Bijan putih secukupnya


Cara Penyediaan:
- Sediakan mangkuk yang sesuai. Masukkan mentega yang telah dicairkan, telur, enapan pandan, santan & gula pasir. Kacau adunan sehingga sebati.
- Masukkan pula tepung gandum. Kacau adunan sehingga sebati.
- Tapiskan adunan.
- Oles acuan mufin dengan mentega.
- Masukkan bijan putih ke dalam setiap lubang acuan.
- Panaskan acuan di dalam ketuhar pada suhu 170°C-180°C (tutup kipas) selama 2-3 minit.
- Selepas itu, tuang adunan bingka ke dalam setiap lubang acuan sehingga penuh.
- Bakar pada suhu 170°C-180°C dengan menggunakan api atas & bawah (tutup kipas) selama 40 minit.
- Sejukkan bingka terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
- Dalam resipi ini, saya timbang & sukat bahan-bahan yang digunakan dengan menggunakan sukatan metrik.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan