Kek pisang pandan yang saya buat ini diinspirasikan dari kek pisang pandan yang dijual di kedai 'dessert' milik Sis Izzah Muhammad Nor Firdaus Luloh. Sebenarnya, sudah lama saya teringin, tertarik dan 'curious' dengan kek tersebut.
Saya olah semula resipi asas kek pisang yang merupakan 'keeper recipe' saya sejak tahun 2019. Resipi asalnya telah dikongsikan secara umum oleh Kak Mariana Zainal & bukannya resipi PJJ beliau.
Dalam resipi ini, saya kurangkan sedikit penggunaan gula mengikut 'percentage' yang telah saya tetapkan untuk diri sendiri (saya masih mengamalkan gaya hidup sihat tetapi ingin menikmati kesemua jenis makanan seperti biasa) dan tambahkan enapan pandan yang masih berbaki dari projek membuat kek sempena hari raya tempoh hari. Saya sangat sukakan warna hijau asli yang terhasil. Kombinasi rasa pisang yang menyerlah dan rasa pandan yang tidak keterlaluan menjadi keistimewaan kek ini. Baunya sangat wangi ketika dibakar di dalam ketuhar. Akhirnya, terjawab juga persoalan saya tentang rasa kek pisang pandan ini.
Jika tiada loyang bundt, kalian juga boleh gunakan loyang biasa (rujuk resipi penuh di bawah 👇🏻). Selepas keluarkan kek dari loyang, saya biarkan kek sejuk & set selama setengah hari untuk melihat perubahan warna pada bahagian luar kek yang akan menjadi semakin gelap & cantik. Sebagai peminat kek pisang, 1 potong memang tidak cukup. Alhamdulillah. Saya masih boleh mengawal diri dari makan secara berlebihan 😅. Peminat & peniaga kek pisang wajib cuba resipi ini. Mana tahu, ianya boleh dijadikan sumber pendapatan buat kalian.
Selamat mencuba 🙂.
Kek Pisang Pandan 'Blender'
Bahan-bahan (Loyang bundt berkapasiti 10 cawan/ loyang 8"x8"x2"/ Loyang 7"x7"x3"):
225 g (1½ cawan) tepung gandum
1 sdt serbuk penaik
1 sdt soda bikarbonat
½ sdt garam halus
240 g telur (tanpa kulit)/ 4 biji telur (A)
250 ml (1 cawan) minyak sayuran
2-3 sdb enapan pandan
170 g (⅔ cawan) gula pasir
280-300 g (+-1 cawan) pisang yang telah dilecek
Cara Penyediaan:
- Ayak tepung gandum, serbuk penaik, soda bikarbonat & garam halus.
- Gris loyang dengan 'cake pan release' sehingga sekata.
- Masukkan telur, minyak sayuran, enapan pandan & gula pasir ke dalam pengisar. Kisar selama 4 hingga 6 minit pada kelajuan paling tinggi.
- Masukkan pula pisang yang telah dilecek & kisar lagi selama 30 saat pada kelajuan paling tinggi.
- Tuang bahan kisar ke dalam mangkuk yang berisi bahan kering secara bertahap. Kaup balik adunan sehingga sebati.
- Masukkan adunan kek ke dalam loyang. Hentak perlahan beberapa kali untuk membuang gelembung udara.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150°C-160°C dengan menggunakan api atas & bawah (tutup kipas) selama 45-60 minit.
- Setelah kek masak, keluarkan kek dari loyang. Sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong.
Nota:
- Saya bakar pada suhu 150°C selama 50 minit di rak kedua dari bawah.
- Saya menggunakan sukatan metrik untuk menimbang & menyukat bahan-bahan yang digunakan.
- Saya bakar pada suhu 150°C selama 50 minit di rak kedua dari bawah.
- Saya menggunakan sukatan metrik untuk menimbang & menyukat bahan-bahan yang digunakan.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan