Rabu, 10 Julai 2024

Sup Ayam Tumis Darat


C O M F O R T  F O O D

Sup ayam. Salah satu makanan kegemaran saya sejak dari kecil. Dapat makan berkali-kali dalam sebulan pun tak ada masalah. Kalau makan, mesti makan stail nasi banjir (nasi dalam kuah sup). Dalam sup tu pula, wajib kena letak kentang & lobak merah yang banyak. Masa kecil, almarhum mak & mak penjaga yang masakkan. Sekarang ni, nak makan kena la masak sendiri 🙂.

Saya banyak belajar memasak dari blog blogger-blogger masakan lebih kurang 10 tahun lalu. Tak sempat nak belajar apa-apa pun dengan almarhum mak sebab dia 'pergi' masa saya masih di universiti 😢.

Sebelum ni, kalau nak masak sup ayam, saya mesti masak versi yang kena guna rempah sup. Tapi, selepas tengok cara masak sup ayam tumis darat di YouTube Kak Yan, saya pun cubalah masak. Alamak. Kenapa rasa versi yang ni lebih sedap. Lepas pada tu, terus saya tinggalkan resipi sup ayam yang menggunakan rempah sup & akan masak versi tumis darat sahaja.

Resipinya sangat mudah. Tapi, kalau nak dapatkan kuah yang jernih kena rajin sikit untuk buang keladak (scum) dari rebusan ayam. Baiklah. Saya kongsikan resipi sup ayam tumis darat cara saya.

Selamat mencuba 🙂.


Sup Ayam Tumis Darat 

Bahan-bahan:

1 L air
½ ekor/ 4-5 ketul ayam
1 sup bunjut 
2 inci halia

½ sdb serbuk lada putih/ lada hitam
4 biji kentang (potong baji)
1 batang lobak merah (potong baji)

4 biji bawang kecil (hiris)
2 ulas bawang putih (hiris)
½ batang kulit kayu manis
1 kuntum bunga lawang
2 biji buah pelaga

Daun sup
Daun bawang 
Bawang goreng

Cara Penyediaan:
- Masukkan air, ayam, sup bunjut & halia ke dalam periuk.
- Rebus ayam. Buang keladak yang terhasil dengan menggunakan penapis sehingga berpuas hati.
- Selepas itu, bolehlah masukkan serbuk lada putih/ lada hitam, kentang & lobak merah. Biarkan kentang & lobak merah empuk serta ayam masak sepenuhnya. Perasakan dengan garam secukupnya.
- Di dalam kuali yang lain, panaskan sedikit minyak masak. Tumis bawang kecil, bawang putih & rempah 3 sekawan sehingga bawang bertukar keperangan.
- Curahkan bahan yang ditumis ke dalam periuk. Tutup periuk serta merta buat seketika.
- Akhir sekali, taburkan daun sup, daun bawang & bawang goreng ke dalam sup ayam. Sedia untuk dihidangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan