Khamis, 4 Julai 2024

Ayam Goreng Kunyit & Sambal Belacan


S E L F  I M P R O V E M E N T

Seronoknya apabila dapat belajar & memahami sesuatu benda yang baru. Saya baru belajar untuk mngedit gambar di aplikasi Lightroom. Gambar ayam goreng kunyit ni merupakan hasil pertama gambar yang saya edit dengan menggunakan aplikasi tersebut. Saya agak berpuas hati & masih banyak ruang untuk saya perbaiki lagi 🙂.

Ayam goreng kunyit ni, saya masak dengan menggunakan 'air fryer' sahaja. Tapi, kalau nak goreng dengan menggunakan kuali di dapur pun boleh. Dipersilakan. Begitu juga dengan sambal belacan. Saya kisar kering kesemuanya dengan menggunakan pemproses makanan. Tapi, kalau nak tumbuk dengan menggunakan lesung batu pun boleh. Saya tak guna lesung batu sebab tak suka bunyi bising & ada alergi dengan biji cili. Kalau biji cili terpelanting terkena kulit saya, nanti gatal 😅.

Selamat mencuba ❤️.

Ayam Goreng Kunyit & Sambal Belacan

Ayam Goreng Kunyit

Bahan-bahan:
2 ketul (250-300 g) dada ayam (potong kepada potongan 'bite size' 
1 sdb tepung beras*
½ sdb serbuk kunyit*
½ sdb serbuk kari ayam & daging (pilihan)*
½ sdb serbuk cili*
1 sdt garam*
2 sdb minyak masak*
4-5 tangkai kacang panjang (potong 1½ inci)
1 batang lobak merah (potong 1½ inci)
½ biji bawang kuning (hiris)

Cara Penyediaan:
- Gaul potongan ayam dengan bahan-bahan yang bertanda*. Goreng ke dalam 'air fryer' pada suhu 200°C selama 15 minit.
- Gaul potongan kacang panjang & lobak merah serta hirisan bawang dengan lebihan bahan perapan ayam. Goreng ke dalam 'air fryer' pada suhu 200°C selama 5 minit.
- Sedia untuk dihidangkan.

Sambal Belacan

Bahan-bahan:
5 batang cili merah
3-5 biji cili padi 
1 sdb belacan bakar
1½ sdt gula pasir
1 biji limau nipis/ 3 biji limau kasturi

Cara Penyediaan:
- Kisar kesemua bahan kecuali limau nipis dengan menggunakan pemproses makanan.
- Perah limau nipis ke dalam bahan kisar & gaul sehingga sekata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Jika menggunakan limau kasturi, boleh ambil sedikit kulitnya tanpa biji & kisarkan bersama dengan bahan-bahan sambal yang lain.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan