Dah tiba musim 'dia', kan. Saya juga turut tidak melepaskan peluang seperti rakyat Malaysia yang lain untuk menikmati menu berasaskan durian walaupun sedang berdiet 😅.
Seingat saya, ini kali pertama saya masak kuah durian/ serawa durian. Kebiasaannya, saya cuma makan buahnya sahaja. Tapi, tahun ini saya tak boleh nak makan banyak kerana masih menjalani program diet yang 'strict' oleh diri sendiri. Buah durian pun saya cuma boleh makan 3 ulas. Kuah durian ini pula saya hanya makan ½ cawan (8 sudu besar) sahaja. Selebihnya saya simpan di dalam peti ais. Biarlah orang lain di rumah ni yang habiskan 😁.
Terima kasih Kak Ana, Mariana Zainal yang telah berkongsi resipi kuah durian yang sangat lengkap sehinggakan berapa ulas durian dan kepekatan santan yang perlu digunakan turut dinyatakan. Tapi, macam biasa, saya rujuk resipi, olah & masak mengikut citarasa saya ❤️.
Kuah durian ni boleh dinikmati bersama roti, kuih serabai, lempeng atau kuih jala. Saya suka makan ketika ianya sejuk dari peti ais. Sesiapa yang sudah lama mengenali saya pasti tahu kegemaran saya ialah makan makanan yang sejuk & tidak suka makan makanan yang panas 😅.
Baiklah. Ada masa lagi untuk kalian mencari & membeli durian kegemaran. Nanti, bolehlah cuba untuk buat kuah durian ni & nikmatinya bersama keluarga tersayang. Kalau buat lebih, bolehlah sedekahkan kepada rakan-rakan & jiran tetangga 👌🏻.
Selamat mencuba 🙂.
Kuah Durian/ Serawa Durian
Bahan-bahan:
15-20 ulas isi durian (saya guna 20 ulas durian bersaiz kecil)
100 g (½ cawan) gula perang
½ sdt garam halus
1 L santan sederhana pekat (saya guna 500 ml santan kotak + 500 ml air)
2 helai daun pandan (simpul)
Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan ke dalam periuk. Masak sehingga kuah mendidih dengan api sederhana. Jangan lupa untuk kacau selalu. Sedia untuk dihidangkan.
Nota:
- Saya menggunakan durian kampung yang bersaiz kecil.
- Separuh dari isi durian yang saya gunakan, saya masukkan sekali bersama dengan bijinya (saya ikut cara almarhum mak saya masak).
- Gula perang boleh digantikan dengan gula merah/ gula Melaka/ gula kabung/ gula nisan. Kurangkan sukatan gula jika menggunakan gula pasir.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan