Selasa, 16 Julai 2024

Masak Lemak Cili Padi Ayam & Pucuk Chaya


Semalam saya 'update' perkembangan program penurunan berat badan yang saya sedang jalani. Ya, memang betul. Berat saya sudah turun 10 kg dalam masa 48 hari dengan mengamalkan program yang santai & berdisiplin. Hari ni, dia turun lagi lebih 500 g mungkin disebabkan saya berpuasa sepanjang 2 hari ni 😅. Saya juga dapat beberapa soalan yang sebenarnya saya nak masukkan ke dalam penulisan saya selepas berjaya mendapat berat yang diidamkan nanti. Tapi, peluang tu mungkin akan tiba lambat lagi, lebih kurang 100 hari lagi. Jadi, kalau ada kelapangan, saya cuba jawab secara ringkas apa-apa persoalan di media sosial saya. Saya pun bukanlah seorang yang professional & baru pertama kali cuba untuk berdiet serta mengamalkan gaya hidup sihat 🙂.

Hari ni, saya masak masak lemak cili padi ayam dengan pucuk daun chaya (daun ajinomoto) sebagai menu berbuka puasa. Pada mulanya, saya bercadang nak masak dengan kentang sahaja tapi memandangkan pokok chaya saya dah terlalu rimbun & saya terpaksa pangkas daunnya, saya tukar dengan menggantikan kentang dengan pucuk daun chaya. Sayang pula kalau nak buang daunnya begitu saja.

Sebelum ni, saya cuma makan pucuk daun chaya sebagai ulam. Ini kali pertama saya cuba masak daunnya. Sejujurnya saya tak tahu cara nak mengendalikannya. Kalau tersalah masak nanti, mungkin lauk saya jadi tak sedap/ sakit perut/ gatal lelangit/ gatal tekak selepas makan. Jadi, saya ikut cara saya menyediakan masak lemak cili padi pucuk ubi kayu. Saya celur daunnya terlebih dahulu.

Hasilnya baik, boleh dimakan & tidak mengubah rasa terhadap kuah masak lemak cili padi saya ni. Nanti, anda bolehlah cuba resipi ni. Tapi, kalau tak ada pucuk daun chaya, boleh gantikan saja dengan pucuk ubi kayu.

Selamat mencuba 🙂.

Masak Lemak Cili Padi Ayam & Pucuk Chaya

Bahan-bahan:
100-200 g pucuk chaya (daun ajinomoto)
6 inci kunyit*
30 biji cili padi*
Sedikit air*
1 batang serai (ketuk)
½ ekor/ 4-5 ketul ayam
1 keping asam gelugur
3 cawan (750 ml) santan sederhana pekat
Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Didihkan air. Celur pucuk chaya.
- Selepas itu, tapis & bilas pucuk chaya dengan air paip.
- Perah pucuk chaya yang telah dibilas & potong daunnya supaya mudah untuk dimakan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan sedikit air.
- Masukkan bahan kisar, serai, ayam & asam gelugur ke dalam kuali. Masak seketika sehingga hilang bau cili & air ayam kering.
- Masukkan pula pucuk chaya yang telah dicelur & santan. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih & ayam masak sepenuhnya. Kacau sesekali supaya santan tidak pecah & berketul. Perasakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan