Jumaat, 29 November 2024

Loaded Double Chocolate Muffins


29-11-2024. Happy birthday, my only lil sis πŸŽ‚.

Jika sebelum ini, saya kongsikan resipi mufin labu, kali ini, saya hendak berkongsi resipi mufin coklat pula. Mesti ramai yang gemar pencuci mulut yang berasaskan coklat ini. Secara peribadi, saya lebih gemar makan mufin berbanding kek cawan pada hari-hari biasa kerana ia lebih ringkas (tanpa krim), kos penyediaannya yang lebih murah & lebih mudah untuk disediakan.

Resipi asal mufin coklat ini saya rujuk daripada perkongsian resipi 'Double Chocolate Chip Muffin' oleh Che Nom. Terima kasih, Che Nom kerana berkongsi resipi bukan sahaja dalam sukatan cawan malah terdapat juga dalam sukatan metrik. Tetapi, seperti biasa saya mesti buat sedikit perubahan terhadap resipi asal supaya lebih sesuai dengan citarasa saya. Secara keseluruhannya, saya berpuas hati & sememangnya resipi ini boleh dijadikan sebagai resipi asas mufin & menjadi 'keeper recipe' saya.

Selain itu, saya juga ingin berterima kasih kepada peniaga kek & pastri yang kreatif serta tidak lokek untuk berkongsi ilmu, Shahrir Shamim. Terima kasih kerana telah berkongsi tip & juga saiz kertas cawan yang sesuai digunakan bagi mendapatkan 'straight cut cupcake'. Saya cuba aplikasikannya untuk membuat mufin. Ini merupakan percubaan saya untuk kali kedua selepas membuat mufin labu tempoh hari. Alhamdulillah, memang menjadi & saya berpuas hati. Tiada lagi mufin berbentuk 'cendawan' yang terhasil & membuatkan saya 'sakit' mata melihatnya. Saya berjaya menghasilkan 'almost straight cut muffin'. Sebenarnya, saya masih belum jumpa cawan kertas mufin & cawan mufin solo yang benar-benar ngam ukurannya. Mungkin itulah sebabnya saya hanya dapat menghasilkan 'almost straight cut muffin' & bukannya 'straight cut muffin'.


Saya gemar rupa mufin yang kelihatan rustik & mempunyai permukaan yang merekah. Berbeza dengan kek cawan, saya lebih gemar dengan rupanya yang licin, tidak membukit & tidak merekah. Berbalik pada resipi mufin coklat ini, rasanya tidak terlalu manis & seimbang dengan jumlah cip coklat yang digunakan serta menepati citarasa saya. Selain cip coklat, saya juga letakkan sedikit badam cincang pada permukaan mufin. Resipi ini menghasilkan mufin yang agak banyak. Kalian boleh cuba buat untuk dinikmati bersama rakan-rakan & keluarga tersayang. Ia juga boleh dijadikan salah satu idea pencuci mulut yang boleh disediakan untuk jamuan, 'potluck' & 'dessert table' serta boleh juga dijadikan salah satu hasil jualan memandangkan ianya mudah untuk disediakan & kos untuk menghasilkannya lebih murah.

Selamat mencuba πŸ™‚.


Loaded Double Chocolate Muffins

Bahan-bahan (20 biji mufin dengan menggunakan cawan kertas mufin berukuran 4.5 cm x 3.5 cm (No. 10) & cawan mufin solo berukuran 5.0 cm x 3.5 cm (saiz L)):
250 ml (1 cawan) susu*
2 sdb jus lemon*

125 ml (½ cawan) minyak sayuran/ mentega cair**
120 g telur/ 2 biji telur (A/B)**
1 sdt esen vanila**
200 g (1 cawan) gula kastor (saya guna 170 g)**

275 g (1¾ cawan) tepung gandum***
25 g (4 sdb) serbuk koko***
1 sdt serbuk penaik***
1 sdt soda bikarbonat***

150-300 g (½-1 cawan) cip coklat (saya guna 1 cawan)****

Cip coklat secukupnya 
Badam cincang secukupnya

Cara Penyediaan:
- Campurkan bahan-bahan yang bertanda *. Kacau & biarkan seketika selama 5-10 minit.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk. Kacau dengan menggunakan 'whisk' sehingga sebati.
- Ayak bahan-bahan yang bertanda *** ke dalam mangkuk bahan cecair. Kaup balik sehingga sebati.
- Masukkan pula cip coklat. Kaup balik perlahan-lahan sehingga sebati.
- Masukkan adunan mufin ke dalam cawan kertas mufin sehingga memenuhi ¾ dari isipadunya (saya isi hampir penuh).
- Taburkan badam cincang & cip coklat ke atas adunan mufin.
- Bakar adunan mufin pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit/ sehingga masak sepenuhnya di rak tengah oven.

Nota:
- Saya bakar adunan mufin pada suhu 170°C (merujuk pada termometer oven) selama 25 minit.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.

Khamis, 21 November 2024

Pumpkin Muffins with Streusel Topping


Bulan lepas, saya beli labu yang bersaiz agak besar dengan berat hampir 1 kg. Sebahagiannya saya masak manakala sebahagiannya lagi saya rebus & kisar untuk dijadikan puri kemudian saya bekukan.

Musim luruh di hemisfera utara & resipi pencuci mulut berasaskan labu yang sering muncul di media sosial daripada pempengaruh dari barat membuatkan saya mendapat ilham untuk membuat mufin labu. Saya letakkan 'streusel' & masukkan serbuk kayu manis dalam mufin ini. Puas hati saya dapat makan pencuci mulut yang mengandungi kulit kayu manis yang begitu terasa apabila memakannya.

Saya gemar rupa mufin yang kelihatan rustik & mempunyai permukaan yang merekah. Berbeza dengan kek cawan, saya lebih gemar dengan rupanya yang licin, tidak membukit & tidak merekah.


Resipi ini tidak terlalu manis serta menepati citarasa saya & menghasilkan mufin yang agak banyak. Kalian bolehlah cuba buat & menikmatinya bersama dengan keluarga tersayang.

Selamat mencuba πŸ™‚.


Pumpkin Muffins with Streusel Topping

Bahan-bahan (16 biji mufin dengan menggunakan cawan kertas mufin berukuran 4.5 cm x 3.5 cm (No. 10)):
STREUSEL 
20 g (3½ sdb) oat*
20 g (2 sdb) tepung gandum*
20 g (2 sdb) gula perang*
20 g (2 sdb) mentega sejuk dari peti ais*
1 sdt serbuk kayu manis*

125 ml (½ cawan) minyak sayuran/ mentega cair**
300 g (1 cawan) puri labu**
120 g telur tanpa kulit / 2 biji telur A/B**
1 sdt esen vanila**
250 g (1½ cawan) gula perang (saya guna 220 g) **

300 g (2 cawan) tepung gandum***
1 sdt serbuk penaik***
1 sdt soda bikarbonat***
1½ sdt serbuk kayu manis***

Cara Penyediaan:
- 'STREUSEL': Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor).
- Kisar sekejap-sekejap (pulse) sebanyak 7-10 detik.
- ADUNAN MUFIN: Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** ke dalam mangkuk. Kacau dengan menggunakan 'whisk' sehingga sebati.
- Ayak bahan-bahan yang bertanda *** ke dalam mangkuk bahan cecair. Kaup balik dengan menggunakan spatula sehingga sebati.
- Masukkan adunan mufin ke dalam cawan kertas mufin sehingga memenuhi ⅔-¾ dari isipadunya.
- Taburkan 'streusel' ke atas adunan mufin.
- Bakar adunan mufin pada suhu 170°C-180°C selama 20-25 minit/ sehingga masak sepenuhnya di rak tengah oven.

Nota:
- 'Streusel' juga boleh disediakan dengan meramas mentega sejuk bersama dengan bahan-bahan lain sehingga peroi.
- Saya bakar adunan mufin pada suhu 170°C (merujuk pada termometer oven) selama 25 minit.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.

Sabtu, 16 November 2024

Ayam Pedas Manis (Sweet Chilli Chicken)


Sebenarnya, hari ini saya bercadang untuk melukis beberapa pola blaus & baju raya. Tapi, sedang elok saya hendak mencari nota yang disimpan di Facebook, terlintas pula resipi 'Sweet Chilli Chicken' di 'story' Khin's Kitchen. Terus saya lupakan apa yang saya hendak cari & pergi menonton 'reels', membaca resipi di laman sesawang Khin's Kitchen serta menyalin resipi dalam nota di telefon saya.

Resipinya mudah. Kesemua bahan ada di dapur saya. Apa lagi. Terus saya keluarkan isi ayam bahagian 'thigh' yang telah saya asingkan untuk dinyahbeku. Sementara itu, sempatlah saya membuang masa lagi dengan mencari & membaca asal-usul & resipi 'tourtière landaise' setelah menonton rancangan masakan French Gourmet with Justin Schofield di saluran 709. Terliur saya melihat chef & tetamunya makan pie yang kelihatan begitu 'flaky' yang dibeli di 'farmers market' di kawasan selatan Perancis. Tetapi, pie yang dijual di 'farmers market' di sana adalah tidak halal kerana mengandungi alkohol.


Berbalik pada resipi ini, saya namakan dia dalam Bahasa Melayu, 'Ayam Pedas Manis'. Kalau letak nama 'Ayam Cili Manis' macam tak berapa sedap pula. Semestinya, ia merupakan satu lagi resipi yang harus disimpan & dicuba sekiranya tiada idea untuk memasak isi ayam seperti dada ayam. Rasanya cukup seimbang dengan sedikit pedas dari emping cili serta masam, manis & melekit dari sos cili yang digunakan. Saya makan begitu sahaja bersama dengan sedikit kimchi. Cukuplah hidangan berat untuk saya pada hari ini memandangkan saya tidak membuat apa-apa kerja selain dari menyiram pokok, menyidai pakaian, memvakum rumah & membaca.

Resipi di bawah adalah versi yang telah saya olah mengikut citarasa saya. Jika ingin membaca resipi asal, bolehlah cari di laman sesawang Khin's Kitchen. Thank you, Khin's Kitchen for the recipe πŸ’–.

Selamat mencuba πŸ™‚.


Ayam Pedas Manis (Sweet Chilli Chicken)

Bahan-bahan:
500 g isi ayam bahagian dada/ 'thigh' (potong dadu)
1 sdt serbuk lada putih*
1 sdb kicap masin*
1 biji telur*

½-1 cawan tepung jagung

4 ulas bawang putih (cincang)
1 sdb emping cili

6 sdb sos cili
2 sdb kicap masin
1 sdb gula
½ cawan air
½ sdb tepung jagung + ¼ cawan air (bancuh)

Bijan putih (pilihan)
Daun bawang (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Gaulkan ketulan isi ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *.
- Masukkan ketulan ayam dalam tepung jagung. Pastikan setiap ketul isi ayam bersalut sekata dengan tepung.
- Goreng isi ayam sehingga masak sepenuhnya. Ketepikan.
- Panaskan sedikit minyak masak di dalam pan/ kuali. Tumis bawang putih sehingga naik bau. Kemudian, masukkan emping cili. Kacau rata.
- Masukkan pula sos cili, kicap, gula & air. Kacau sehingga campuran bahan-bahan sos mendidih.
- Masukkan bancuhan tepung jagung. Kacau lagi & biarkan sos memekat.
- Selepas itu, tutup api & masukkan ketulan ayam goreng. Gaul rata.
- Taburkan dengan bijan & hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan. 


Nota:
- Boleh juga goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 15 minit/ sehingga masak.
- Boleh tambah/ kurangkan penggunaan emping cili mengikut tahap kepedasan kesukaan masing-masing.

Khamis, 14 November 2024

Ayam Masak Merah & Masak Lemak Kubis


MASAK MERAH. Inilah salah satu menu kegemaran saya yang telah menjadikan saya seorang yang gemuk sejak dari zaman kanak-kanak sehingga dewasa πŸ˜…. Tetapi, saya cuma gemar 2 jenis masak merah sahaja iaitu ayam masak merah & ikan bawal masak merah yang dimasak oleh almarhum emak saya, Saerah & emak penjaga saya, Jamilah Milah. Masakan mereka berdua boleh membuatkan saya bertambah nasi 2-3 kali tidak kira pada waktu makan tengahari, makan malam atau bersahur ketika saya kanak-kanak sehingga remaja.

Sebenarnya, sudah beberapa minggu saya teringin hendak makan ayam masak merah seperti almarhum emak masak suatu ketika dahulu. Walaupun saya tidak pernah berpeluang belajar memasak dengan almarhum emak, tetapi saya masih ingat semua nostalgia ketika bersama dengannya lebih 14 tahun dahulu termasuk rasa masakan yang pernah dimasaknya.

Sejak dari tahun 2014, setelah saya mula ada keinginan untuk belajar memasak, saya banyak meluangkan masa melayari blog-blog masakan & membeli serta membaca majalah seperti SAJI & RASA. Jika saya terjumpa & terbaca resipi ayam masak merah, saya pasti akan cuba untuk masak. Sudah pasti ada yang tidak menjadi kerana pada ketika itu, saya masih tidak tahu & tidak cekap untuk memasak. Istilah "masak cili sehingga pecah minyak" pun saya tidak tahu bagaimana rupanya. Tapi, semakin lama hasil masakan saya bertambah baik & akhirnya pada tahun 2018, saya berjaya memasak ayam masak merah dengan rasa yang lebih kurang seperti almarhum emak pernah masak.

Kini, seperti biasa, ayamnya saya goreng dengan menggunakan 'air fryer'. Tidak seperti almarhum emak yang menggoreng dengan menggunakan minyak yang banyak.

Selain itu, saya juga sediakan sayur masak lemak kubis. Selain kubis, saya masukkan lobak merah, suun & fucuk. Sebelum ini, saya pernah gagal memasak hidangan yang menggunakan suun. Jika hidangannya berkuah, kuahnya pasti tersejat & menjadi kering. Rupa-rupanya, teknik memasak saya yang salah. Tapi, dengan kesalahan itu, saya terus mencari & membaca bagaimana cara untuk membetulkannya. Kini, semuanya baik-baik sahaja & saya sudah tahu untuk memasak suun tanpa gagal.

Baiklah. 2 menu ini sahaja yang sempat saya sediakan pada hari ini memandangkan saya masih belum sihat sepenuhnya. 'By hook or by crook', saya tetap kena memasak sebab saya lapar, % protein saya masih rendah, saya perlukan tenaga untuk bersenam & saya hanya mahu makan makanan yang dimasak di rumah.


Selamat mencuba πŸ™‚.


Ayam Masak Merah Stail Almarhum Emak

Bahan-bahan:
½ ekor (4-6 ketul) ayam
½ sdb serbuk kunyit*
1 sdt garam*
2 sdb minyak masak*

6 ulas bawang kecil/ 1½ labu bawang besar**
3 ulas bawang putih**
1 inci halia**
10-15 tangkai cili kering (buang biji & rebus)**

1 batang serai (ketuk)
Air secukupnya

2 sdb sos cili 
2 sdb sos tomato
Sedikit air asam jawa 
1 labu bawang besar (hiris ½ bulat)
Sedikit hirisan daun sup/ daun bawang (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Gaulkan ayam dengan bahan-bahan yang bertanda *.
- Goreng ayam sehingga separuh masak/ masak sepenuhnya mengikut kesukaan masing-masing.
- Panaskan minyak masak secukupnya di  dalam kuali. Masukkan bahan-bahan ** yang telah dikisar & serai.
- Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Masukkan gula secukupnya semasa proses menumis. Ulang langkah yang sama 3-5 kali dengan menambah sedikit air pada setiap kali ulangan supaya cili cukup masak & warna sambal menjadi cantik (merah gelap).
- Masukkan ayam yang telah digoreng, sos cili, sos tomato & sedikit air asam jawa. Gaul rata. Biarkan seketika supaya ayam sebati dengan sambal. Perasakan dengan garam secukupnya. Tambahkan air asam jawa/ air biasa sekiranya sambal terlalu kering.
- Masukkan pula hirisan bawang besar & daun sup. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Saya goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 20 minit.


Masak Lemak Kubis

Bahan-bahan:

1 labu bawang besar* 
1 sdb ikan bilis*

750 ml (3 cawan) santan cair (500 ml (2 cawan) air + 250 ml (1 cawan) santan pekat)
1 batang lobak merah (potong kepada potongan baton)
300 g kubis
1 helai daun kunyit (pilihan)
Sedikit (sejemput) suun (rendam terlebih dahulu)
2-3 keping fucuk (rendam terlebih dahulu)
1 biji cili merah (hiris) 

Cara Penyediaan:
- Masukkan bahan-bahan * yang telah dikisar,  santan cair & lobak merah ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih dengan api sederhana supaya santan tidak pecah minyak.
- Masukkan pula kubis & daun kunyit. Perasakan dengan garam secukupnya.
- Akhir sekali, masukkan suun & fucuk yang telah ditus serta hirisan cili merah. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota (Cara memasak suun):
- Jangan letak suun terlalu banyak.
- Rendam suun terlebih dahulu & tuskan sebelum dimasukkan dalam masakan.
- Gunakan cecair lebih dari kebiasaan. Contoh: Kebiasaannya untuk 250 g - 300 g sayur, saya gunakan 500 ml santan. Tetapi, jika ingin tambah suun, saya jadikan penggunaan santan kepada 750 ml.
- Masukkan suun pada langkah terakhir & kacau seketika sekitar 10-20 saat. Tutup api & biarkan suun terus masak sendiri dalam periuk yang panas.

Selasa, 12 November 2024

Talam Keladi Berlauk Udang dengan Sos Cili & Sos Kicap Taucu


Hari ini, saya nak kongsikan resipi kuih talam keladi berlauk udang dengan sos cili & sos kicap taucu yang saya buat tempoh hari untuk kakak saya yang mengidam. Dia telah menyatakan hasratnya awal-awal lagi iaitu sebulan sebelum dia balik & berjumpa dengan saya. Katanya dia teringin untuk makan kuih talam keladi berlauk yang saya pernah buat suatu ketika dahulu. Sebenarnya, saya pun sudah lama sangat tak buat kuih ini. Kuih talam ini juga sangat sukar untuk dijumpai & dijual di mana-mana melainkan jika berhasrat untuk membeli seloyang daripada pembuat kuih talam.

Resipi ini merupakan hasil olahan resipi kuih talam berlauk yang saya pernah kongsikan ketika bulan Ramadan semasa PKP pada bulan April 2020 dahulu & telah mendapat maklum balas yang baik daripada rakan-rakan media sosial yang telah mencuba. Resipi asalnya pula adalah dari buku Kuih Talam Langkah Demi Langkah oleh Pn. Noraini Zakaria yang saya beli suatu ketika dahulu (2017).

Resipi asalnya dibuat dalam loyang tetapi saya menggunakan acuan lompang supaya lebih mudah untuk semua orang di rumah saya ambil & makan. Kali ini, saya masukkan kesemua inti/ lauk yang disediakan ke dalam adunan tepung kerana saya mahu cepat untuk menyiapkan kuih talam ini (rujuk nota πŸ‘‡πŸ»).

Bagi resipi sos cili, saya hanya olah semula resipi sos cili nasi ayam yang pernah saya kongsikan sebelum ini. Cuma, kali ini saya tambahkan sedikit larutan tepung jagung supaya sosnya lebih pekat.

Bagi resipi sos kicap taucu pula, saya rujuk & olah semula resipi sos kicap yang dikongsikan oleh Puan Kak Wan (Citarasawan).

Resipi ini menghasilkan potongan/ bilangan kuih yang banyak & menggunakan loyang 10x10x2 inci (60-64 biji acuan lompang kecil). Jika rakan-rakan mahu membuat sedikit sahaja, bolehlah buat ½ dari resipi ini & menggunakan loyang 7x7x2 inci (30-32 biji acuan lompang kecil).

Kuih talam ini merupakan kuih talam 'savoury'. Rasanya memang agak tawar & sangat sedap jika dimakan bersama dengan 2 jenis sos yang disediakan. Percayalah. Selepas makan 1-2 ketul, pasti rasa tidak cukup & ingin memakannya lagi ☺️.

Buat kakak & rakan-rakan serta rakan-rakan media sosial, there you go. Inilah resipi penuh kuih talam keladi berlauk udang yang saya tunjuk tempoh hari. Selepas ini, bolehlah kalian cuba buat sendiri. Buat rakan-rakan yang teringin hendak membeli & makan kuih ini hasil daripada air tangan saya, saya memohon maaf kerana tidak dapat memenuhi hajat kalian. Insya-Allah, bukan sekarang tetapi mungkin suatu hari nanti jika panjang umur, saya akan cuba untuk buatkan πŸ’–.

Selamat mencuba πŸ™‚.


Talam Keladi Berlauk Udang dengan Sos Cili & Sos Kicap Taucu

Bahan-bahan (60-64 biji acuan lompang kecil/ Loyang 10x10x2 inci):
INTI/ LAUK UDANG

2 sdb minyak masak
2 sdb udang kering (cincang/ tumbuk)
400 g (2 cawan) udang (cincang kasar)
2 tangkai cili merah (hiris)*
½ cawan hirisan daun sup* + ekstra
½ cawan hirisan daun bawang* + ekstra
⅔ cawan bawang goreng (dari 10 ulas bawang kecil)* + ekstra

ADUNAN TEPUNG
400 g (2 cawan) keladi yang telah dikupas kulit (potong dadu)
1250 ml (5 cawan) santan sederhana pekat
300 g (2 cawan) tepung beras**
60 g (6 sdb) tepung jagung**
60 g (6 sdb) tepung gandum**
2 sdt garam**

SOS CILI
5 biji cili merah***
5 biji cili padi merah***
1 cawan air***
¼ cawan gula perang****
Secubit garam****
1-2 biji limau nipis (ambil jusnya)****
1½-2 sdb tepung jagung + ½ cawan air (bancuh)

SOS KICAP TAUCU
2 sdb taucu*****
1 cawan air*****
¼ cawan gula perang******
2 sdb kicap masin******
2 sdb kicap manis******
1 sdb tepung jagung + ¼ cawan air (bancuh)


CARA PENYEDIAAN:
- INTI/ LAUK: Panaskan sedikit minyak masak. Goreng udang kering & isi udang sehingga isi udang bertukar warna kemerahan. Tapis & buang air yang terhasil (jika ada).
- Campurkan udang yang telah digoreng dengan bahan-bahan yang bertanda *. Ketepikan.
- ADUNAN TEPUNG: Kupas keladi. Potong kepada ketulan kecil. Kukus/ rebus sehingga empuk. Ketepikan.
- Panaskan santan sehingga suam (tidak perlu sehingga mendidih). Ketepikan.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** & santan yang masih suam ke dalam mangkuk. Kacau rata dengan menggunakan 'whisk'. Tapis adunan tepung sekiranya masih terdapat ketulan tepung yang tidak larut.
- Masukkan keladi yang telah direbus & inti/lauk ke dalam adunan tepung yang telah disediakan. Kacau rata.
- Oleskan acuan lompang dengan sedikit minyak masak.
- Masukkan 3-4 sudu besar adunan kuih ke dalam setiap acuan.
- Kukus selama 20 minit.
- Setelah masak, sejukkan kuih selama +-1½-2 jam.
- Keluarkan kuih dari acuan. Taburkan hirisan daun sup & daun bawang serta bawang goreng. Sedia untuk dihidangkan dengan sos kegemaran.
- SOS CILI: Kisar bahan-bahan yang bertanda ***.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda ****. Masak sehingga mendidih & hilang bau cili.
- Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati & mendidih sekali lagi.
- Tapiskan sos cili & sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).
- SOS KICAP TAUCU: Kisar bahan-bahan yang bertanda *****.
- Masukkan bahan kisar ke dalam periuk bersama dengan bahan-bahan yang bertanda ******. Masak sehingga mendidih.
- Masukkan pula bancuhan tepung jagung. Kacau sos sehingga sebati & mendidih sekali lagi.
- Tapiskan sos kicap taucu & sejukkan (sos akan menjadi lebih pekat setelah sejuk).


NOTA:
- Boleh juga masukkan ½ dari inti/ lauk yang telah disediakan ke dalam adunan tepung. Selepas adunan dikukus sehingga ¾ masak, taburkan baki inti ke atas kuih & teruskan mengukus sehingga kuih masak sepenuhnya.

Khamis, 7 November 2024

Nasi Goreng Cina


Tempoh hari, ada seseorang yang bertanya tentang cara untuk memasak nasi goreng Cina yang sedap dalam group ini. Ada pelbagai jawapan yang diberikan termasuk yang membantu & tidak membantu πŸ˜…. Saya turut kongsikan cara saya di ruangan komen posting tersebut.

Saya gemar menonton rancangan memasak di saluran AFN & menonton video masakan di YouTube. Boleh dikatakan setiap resipi nasi goreng Cina yang dikongsikan berbeza mengikut cara yang diamalkan oleh setiap keluarga. Berdasarkan pemerhatian saya, apa-apa resipi pun boleh menghasilkan nasi goreng Cina yang sedap asalkan mempunyai 3 bahan ini iaitu serbuk lada putih, minyak bijan & daun bawang.

Saya kongsikan resipi nasi goreng Cina cara saya. Terpulang untuk masukkan apa-apa protein & sayur kegemaran di dalamnya. Hari ini, saya hanya menggunakan dada ayam &  telur untuk protein & sayur campur (mixed vegetables) untuk sayurnya.

Selamat mencuba πŸ™‚.

Nasi Goreng Cina

Bahan-bahan:
2 cawan beras
2 cawan air
2 sdb kicap cair

8 ulas bawang putih* 
1 pokok daun bawang (bahagian putih)*

1-2 ketul dada ayam/ 10-15 ekor udang
2-3 biji telur
2 cawan sayur campur/ apa-apa sayur kegemaran
½ sdb serbuk lada putih
1 sdb minyak bijan
Daun bawang (bahagian hijau)

Cara Penyediaan:
- Masukkan beras yang telah dicuci & air ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi sudah masak, sejukkan, gemburkan & gaul dengan kicap cair.
- Kisar kering/ tumbuk kasar/ cincang bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga garing.
- Masukkan ayam yang telah dipotong. Biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.
- Tolak ayam ke tepi kuali. Masukkan telur. Biarkan seketika. Tolak tarik telur dengan menggunakan sudip perlahan-lahan untuk dijadikan telur hancur.
- Masukkan nasi & sayur campur. Kacau rata & masak sehingga nasi kering.
- Masukkan pula serbuk lada putih. Kacau rata. Perasakan dengan garam secukupnya.
- Akhir sekali, renjiskan dengan minyak bijan. Kacau sekejap. Tutup api. Taburkan dengan  hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Boleh gunakan baki nasi yang telah disimpan semalaman.

Ahad, 3 November 2024

Ayam Pad Kra Pao


Menu yang selalu saya masak setiap kali daun selasih Thai yang saya tanam sedang merimbun. Satu lagi, sebab ianya mudah untuk disediakan. Disebabkan hari ni, 'hari malas' saya, isi ayamnya pun saya kisar kasar sahaja dengan menggunakan pemproses makanan. Resipinya sama sahaja dengan resipi yang saya pernah kongsikan sebelum ni. Cukuplah 1 menu sahaja untuk saya tambahkan lagi protein dalam badan pada hari ni sebelum mula bersenam sebentar lagi.

Selamat mencuba πŸ™‚.

Ayam Pad Kra Pao

Bahan-bahan:

3 ulas bawang putih*
3 biji cili padi*
1 batang cili merah*

150-200 g isi ayam/ 1 ketul dada ayam

1 sdt serbuk lada putih**
1 sdb sos tiram**
1 sdb sos ikan**
1 sdb kicap cair**
1 sdb kicap manis**
½ cawan daun selasih Thai

Cara Penyediaan:
- Kisar kering bahan-bahan yang bertanda *.
- Cincang/ kisar/ potong isi ayam kepada ketulan kecil.
- Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga naik bau & garing.
- Masukkan ayam yang telah dikisar. Biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda **. Kacau rata.
- Akhir sekali, masukkan daun selasih Thai. Kacau seketika. Sedia untuk dihidangkan.