Khamis, 22 Mei 2025

Salad Epal Berkrim


Baiklah. Kali ini, saya ingin berkongsi resipi 'sweet salad' atau salad buah-buahan yang saya sering jadikan snek ketika berdiet tempoh hari.

Saya suka makan pai epal dan menggemari rasa kulit kayu manis. Namun begitu, saya tidak boleh menikmati pai epal dengan kerap semasa berdiet. Jadi, saya reka resipi salad buah-buahan yang menggunakan epal kerana ia merupakan antara buah yang paling kerap saya makan pada ketika itu. Resipi ini sebenarnya hanyalah resipi campak-campak sahaja namun saya olah semula supaya menjadi satu resipi yang lengkap dengan sukatan. Sehingga ke hari ini, inilah salah satu cara saya menikmati epal di rumah.


Sekiranya kalian ingin mencuba resipi ini dan masih berdiet, bolehlah gantikan emping kelapa Hawaii dengan kelapa parut kering (desiccated coconut).

Penggunaan kacang tanah goreng yang dikisar sehingga menjadi serbuk halus dan bertekstur seperti pasir (sandy texture) menjadikan rasa salad ini lebih lemak berkrim.

Selamat mencuba ☺️.


Salad Epal Berkrim

Bahan-bahan:

½ cawan (125 g) yogurt asli 
¼ cawan (60 g) mayonis
½ sdt serbuk kulit kayu manis 
½ sdt pes vanila

1 cawan (1 biji) epal merah 
1 cawan (1 biji) epal hijau 
1 cawan lobak merah 
¼ cawan kismis
¼ cawan emping kelapa Hawaii

Serbuk kacang tanah goreng (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Bilas hirisan epal yang telah direndam dalam air garam. Sementara menyediakan bahan-bahan yang lain, saya rendam hirisan epal dalam air garam untuk mengelakkannya menjadi lebam.
- Sediakan mangkuk. Masukkan yogurt asli, mayonis, serbuk kulit kayu manis & pes vanila. Gaul sehingga sebati.
- Dalam mangkuk yang lain, masukkan hirisan epal yang telah dibilas, hirisan lobak merah, kismis, emping kelapa & sos salad (salad dressing). Gaul sehingga sekata.
- Taburkan dengan serbuk kacang tanah yang telah digoreng untuk menjadikan rasa salad ini lebih lemak berkrim. Sedia untuk dinikmati.


Nota:
- Boleh gantikan penggunaan yogurt asli & pes vanila dengan yogurt berperisa vanila.



Isnin, 19 Mei 2025

Salad Timun, Kimchi & Tuna Berkrim


Minggu ini, saya memilih untuk makan secara 'eat clean' dengan memperbanyakkan pengambilan sayur-sayuran & buah-buahan. Jadi, saya buatlah salad yang sememangnya sudah menjadi makanan kegemaran saya sejak setahun yang lalu iaitu ketika sepanjang perjalanan menurunkan berat badan.

Setiap 2 bulan, saya akan buat kimchi dalam kuantiti yang banyak. Salah satu menu yang saya sering buat dengan menggunakan kimchi ialah dengan mencampurkannya dengan bahan-bahan yang lain untuk dijadikan salad. Resipinya mudah & hampir sama dengan resipi salad versi berkrim saya yang lain.

Saya menggunakan gochugaru yang kasar kerana tidak terlalu pedas, mempunyai rasa yang unik & dapat menghasilkan warna merah asli yang cantik kepada makanan.


Salad Timun, Kimchi & Tuna Berkrim

Bahan-bahan:

¼ cawan (60 g) yogurt asli
¼ cawan (60 g) mayonis 
1 sdb jus lemon
1 sdb madu
½ sdb minyak bijan 
1 ulas bawang putih
1 sdb gochugaru

1½ cawan (+-375 g) timun Jepun (1½ batang timun Jepun yang panjang)
½ cawan kimchi
½ cawan bawang kuning (1 labu bawang kuning yang bersaiz sederhana)
1 tin tuna dalam minyak sayuran (tapis)

Daun bawang secukupnya
1sdb bijan putih (sangai)

Cara Penyediaan:
- Sediakan mangkuk. Masukkan yogurt asli, mayonis, jus lemon, madu, minyak bijan, bawang putih & gochugaru. Gaul sehingga sebati.
- Dalam mangkuk yang lain, masukkan timun, kimchi, bawang kuning, tuna & sos salad. Gaul sehingga sekata.
- Masukkan pula daun bawang & bijan putih. Gaul sehingga sekata.
- Taburkan dengan lebih banyak bijan. Biarkan seketika & sedia untuk dinikmati.


Sabtu, 10 Mei 2025

Bingka Pandan Mini


Saya masih mempunyai sedikit baki enapan pandan dan mentega dari projek membuat kek 'marble' pandan coklat yang saya buat sebelum ini. Jika dibiarkan terlalu lama di dalam peti sejuk, nanti rosak pula enapan pandan tersebut. Jadi saya buatlah bengkang atau bingka pandan kerana kesemua bahan yang diperlukan memang sudah ada di rumah.

Seperti biasa, saya guna resipi bingka pandan yang pernah saya kongsikan sebelum ini dan sememangnya merupakan 'keeper recipe' saya. Cuma kali ini, saya olah semula resipi tersebut untuk mengurangkan lagi penggunaan gula (150 g - 125 g - 110 g) mengikut peratus yang telah saya tetapkan untuk membuat pencuci mulut, kek dan kuih-muih untuk diri sendiri.

Kali ini, saya buat bingka pandan versi mini kerana tidak perlu menunggu ia sejuk lebih lama seperti bingka yang dibuat dalam loyang besar. Rupanya sangat cantik ketika sedang dibakar. Kesemuanya naik tegak seperti ‘soufflé’. Seperti biasa, bagi saya rasanya sedap dan kena dengan selera serta cita rasa saya kerana saya memang sukakan rasa asli daripada penggunaan daun pandan. Jika kalian ingin mencuba resipi ini tetapi tidak mempunyai enapan pandan, boleh saja guna jus pandan sebagai gantian.

Selamat mencuba 🙂.


Bingka Pandan Mini

Bahan-bahan (20-24 biji):

80 g (⅓ cawan) mentega/ marjerin yang telah dicairkan 
180 g telur tanpa kulit/ 3 biji telur A
80 ml (⅓ cawan) enapan pandan (jika tiada, gantikan dengan air kisaran daun pandan yang telah ditapis)
600 ml (2½ cawan) santan sederhana pekat
110 g (½ cawan) gula pasir (tambah lagi jika gemarkan kuih yang manis)

230 g (1½ cawan) tepung gandum

Bijan putih secukupnya


Cara Penyediaan:
- Sediakan mangkuk yang sesuai. Masukkan mentega yang telah dicairkan, telur, enapan pandan, santan & gula pasir. Kacau adunan sehingga sebati.
- Masukkan pula tepung gandum. Kacau adunan sehingga sebati.
- Tapiskan adunan.
- Oles acuan mufin dengan mentega.
- Masukkan bijan putih ke dalam setiap lubang acuan.
- Panaskan acuan di dalam ketuhar pada suhu 170°C-180°C (tutup kipas) selama 2-3 minit.
- Selepas itu, tuang adunan bingka ke dalam setiap lubang acuan sehingga penuh.
- Bakar pada suhu 170°C-180°C dengan menggunakan api atas & bawah (tutup kipas) selama 40 minit.
- Sejukkan bingka terlebih dahulu sebelum dikeluarkan dari acuan. Sedia untuk dihidangkan.


Nota:
- Dalam resipi ini, saya timbang & sukat bahan-bahan yang digunakan dengan menggunakan sukatan metrik.

Sabtu, 3 Mei 2025

Salad Timun & Tuna Berkrim


Salad. Makanan kegemaran saya ketika berdiet dalam masa setahun, sejak tahun lepas. Kini, walaupun pola pemakanan saya sudah kembali normal, sesekali saya akan buat & makan salad terutama ketika malas memasak & merasakan ada kenaikan berat badan.

Saya ada pelbagai resipi salad timun. Salah satunya versi yang menggunakan tuna yang merupakan 'top tier' salad kegemaran saya (sebab ada ikan 🤩).

Kali ini, saya menggunakan herba dil kerana pokok dil yang saya tanam hidup sangat subur di halaman rumah. Jika kalian ingin cuba resipi ini, kalian boleh gantikan dil dengan daun bawang, kucai atau daun herba yang lain mengikut kegemaran masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Salad Timun & Tuna Berkrim

Bahan-bahan:

¼ cawan (60 g) yogurt asli
¼ cawan (60 g) mayonis 
1 sdb jus lemon
1 sdb madu
1 ulas bawang putih
1 sdb emping cili
½ sdb daun dil

2 cawan (+-500 g) timun Jepun (2 batang timun Jepun yang panjang)
½ cawan bawang besar (1 labu bawang besar yang bersaiz sederhana)
1 tin tuna dalam minyak sayuran (tapis)

Daun dil secukupnya (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Sediakan mangkuk. Masukkan yogurt asli, mayonis, jus lemon, madu, bawang putih, emping cili & daun dil. Gaul sehingga sebati.


- Dalam mangkuk yang lain, masukkan timun, bawang besar, tuna & sos salad. Gaul sehingga sekata.


- Taburkan dengan lebihan hirisan daun dil. Biarkan seketika & sedia untuk dinikmati.

Khamis, 1 Mei 2025

Kek 'Marble' Coklat Pandan


Thank you, Sifu Enne & Sifu Jeannie 💖

Saya panggil mereka berdua sifu kerana mereka gemar berkongsi resipi & tips membuat kek serta sering memperlihatkan hasil 'baking' yang kelihatan 'almost perfect' di mata saya. Saya rasa sangat seronok apabila dapat berkawan dengan komuniti yang mempunyai minat yang sama serta tidak lokek berkongsi ilmu & idea walaupun hanya kenal di media sosial.

Saya buat kek ini hujung minggu yang lalu untuk dijadikan buah tangan buat rakan baru saya di media sosial yang telah menjemput saya ke rumah terbuka yang dianjurkannya. Orangnya sangat peramah & membuatkan saya tidak kekok ketika berada di sana walaupun baru pertama kali bertemu di luar media sosial.


Resipi kek ini sebenarnya hampir sama dengan resipi kek mentega yang lain. Cuma saya olah semula resipi asal yang merupakan ‘keeper recipe’ saya supaya sesuai untuk menghasilkan dua biji kek 'loaf' yang bersaiz 7x3x3 inci. Satu untuk saya & satu lagi untuk dijadikan buah tangan. Saya hanya menggunakan serbuk koko & enapan pandan sebagai bahan perisa & pewarna untuk kek ini. Seperti biasa, saya berpuas hati dengan rasa & warna yang terhasil. Cuma, saya tersalah menggunakan pisau yang betul untuk memotong kek ketika keadaannya masih sejuk. Itulah sebabnya potongan kek saya kelihatan tidak kemas & 'menyakitkan mata'.

Rekahan yang terhasil pada permukaan kek ini tidak terhasil secara semulajadi. Saya tunjukkan cara saya melakukannya di dalam video yang telah saya muat naik semalam. Saya suka melihat rekahan tersebut. Ianya kemas & tidak senget benget. Langkah ini tidaklah wajib untuk dibuat & terpulang kepada minat serta citarasa masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Kek 'Marble' Coklat Pandan

Bahan-bahan (2 buah loyang 'loaf' yang berkuran 7x3x3 inci):

300 g mentega tanpa garam
200 gula kastor

300 g telur (tanpa kulit)/ 5 biji telur (A)

260 g tepung kek
2½ sdt serbuk penaik
½ sdt garam halus

5 sdb susu penuh krim

20 g tepung kek
2½ sdb enapan pandan

20 g serbuk koko
2½ sdb susu penuh krim

Cara Penyediaan:
- Sediakan 2 buah loyang 'loaf' yang berukuran 7'x3'x3'. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160°C/170°C.
- Pukul mentega & gula kastor dengan kelajuan paling tinggi selama 5-7 minit/ sehingga warnanya pucat & berkrim dengan menggunakan pengadun tangan (hand mixer).
- Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.
- Masukkan bahan kering (ayak) - cecair - bahan kering (ayak). Pukul dengan kelajuan paling rendah sehingga sebati/ boleh juga menggunakan spatula.
- Bahagikan adunan kek kepada 2 bahagian.
- Masukkan tepung kek & enapan pandan pada 1 bahagian & masukkan pula serbuk koko & susu penuh krim pada 1 bahagian lagi. Kaup balik sehingga sebati.
- Masukkan adunan kek secara berselang seli ke dalam loyang. Lorek adunan kek untuk menghasilkan efek 'marble'.
- Bakar adunan kek pada suhu 160°C/ 170°C selama 50-55 minit/ sehingga kek masak, api atas & bawah (tutup kipas) di rak tengah ketuhar. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar & kelar (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).
- Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.


Nota:
- Saya bakar kek pada suhu 165-170°C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Dalam resipi ini, saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.

Kek Pisang Pandan 'Blender'


Kek pisang pandan yang saya buat ini diinspirasikan dari kek pisang pandan yang dijual di kedai 'dessert' milik Sis Izzah Muhammad Nor Firdaus Luloh. Sebenarnya, sudah lama saya teringin, tertarik dan 'curious' dengan kek tersebut.

Saya olah semula resipi asas kek pisang yang merupakan 'keeper recipe' saya sejak tahun 2019. Resipi asalnya telah dikongsikan secara umum oleh Kak Mariana Zainal & bukannya resipi PJJ beliau.


Dalam resipi ini, saya kurangkan sedikit penggunaan gula mengikut 'percentage' yang telah saya tetapkan untuk diri sendiri (saya masih mengamalkan gaya hidup sihat tetapi ingin menikmati kesemua jenis makanan seperti biasa) dan tambahkan enapan pandan yang masih berbaki dari projek membuat kek sempena hari raya tempoh hari. Saya sangat sukakan warna hijau asli yang terhasil. Kombinasi rasa pisang yang menyerlah dan rasa pandan yang tidak keterlaluan menjadi keistimewaan kek ini. Baunya sangat wangi ketika dibakar di dalam ketuhar. Akhirnya, terjawab juga persoalan saya tentang rasa kek pisang pandan ini.

Jika tiada loyang bundt, kalian juga boleh gunakan loyang biasa (rujuk resipi penuh di bawah 👇🏻). Selepas keluarkan kek dari loyang, saya biarkan kek sejuk & set selama setengah hari untuk melihat perubahan warna pada bahagian luar kek yang akan menjadi semakin gelap & cantik. Sebagai peminat kek pisang, 1 potong memang tidak cukup. Alhamdulillah. Saya masih boleh mengawal diri dari makan secara berlebihan 😅. Peminat & peniaga kek pisang wajib cuba resipi ini. Mana tahu, ianya boleh dijadikan sumber pendapatan buat kalian.

Selamat mencuba 🙂.


Kek Pisang Pandan 'Blender'

Bahan-bahan (Loyang bundt berkapasiti 10 cawan/ loyang 8"x8"x2"/ Loyang 7"x7"x3"):
225 g (1½ cawan) tepung gandum
1 sdt serbuk penaik
1 sdt soda bikarbonat
½ sdt garam halus

240 g telur (tanpa kulit)/ 4 biji telur (A)
250 ml (1 cawan) minyak sayuran
2-3 sdb enapan pandan
170 g (⅔ cawan) gula pasir

280-300 g (+-1 cawan) pisang yang telah dilecek

Cara Penyediaan:
- Ayak tepung gandum, serbuk penaik, soda bikarbonat & garam halus.
- Gris loyang dengan 'cake pan release' sehingga sekata.
- Masukkan telur, minyak sayuran, enapan pandan & gula pasir ke dalam pengisar. Kisar selama 4 hingga 6 minit pada kelajuan paling tinggi.
- Masukkan pula pisang yang telah dilecek & kisar lagi selama 30 saat pada kelajuan paling tinggi.
- Tuang bahan kisar ke dalam mangkuk yang berisi bahan kering secara bertahap. Kaup balik adunan sehingga sebati.
- Masukkan adunan kek ke dalam loyang. Hentak perlahan beberapa kali untuk membuang gelembung udara.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150°C-160°C dengan menggunakan api atas & bawah (tutup kipas) selama 45-60 minit.
- Setelah kek masak, keluarkan kek dari loyang. Sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong.


Nota:
- Saya bakar pada suhu 150°C selama 50 minit di rak kedua dari bawah.
- Saya menggunakan sukatan metrik untuk menimbang & menyukat bahan-bahan yang digunakan.

Jumaat, 18 April 2025

Puding Jagung


Hujung minggu yang lalu, saya buat puding jagung. Banyak betul stok jagung dalam tin yang masih belum digunakan. Inilah jadinya apabila mudah terpengaruh untuk mencuba resipi-resipi yang dikongsikan oleh orang lain tetapi belum tentu saya membuatnya.

Saya tidak begitu gemar puding jagung yang hanya menggunakan tepung kastard sebagai bahan asas untuk menjadikannya kental. Jadi, setiap kali saya buat puding jagung, saya akan buat versi yang menggunakan serbuk agar-agar & lebihkan penggunaan cecair. Sesekali, saya masukkan juga beberapa sudu besar tepung kastard ke dalam adunan puding untuk mendapatkan tekstur puding yang boleh dipotong.


Saya kongsikan resipi puding jagung yang telah diolah semula agar rasanya tidak terlalu manis tetapi tetap sedap, lemak & berkrim.

Selamat mencuba 🙂.


Puding Jagung
Bahan-bahan (18-20 bekas berkapasiti 100 ml):
10 g serbuk agar-agar*
½ cawan (120 g) gula pasir*
¼ sdt garam halus*
1 tin (425 g) jagung manis ala krim*
750 ml (3 cawan) air*
250 ml (1 cawan) susu cair*
250 ml (1 cawan) santan*

Beberapa titis pewarna makanan kuning (pilihan)

Kernel jagung manis secukupnya (pilihan)


Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan yang bertanda * ke dalam periuk. Kacau sehingga sebati.
- Masak atas api sederhana. Sesekali, kacau adunan puding supaya tidak hangit.
- Jika suka, tambah beberapa titis pewarna kuning. Kacau rata.
- Teruskan memasak hingga larutan puding mendidih.
- Setelah larutan puding suam, tuangkan ke dalam bekas yang sesuai bersama dengan kernel jagung manis (jika suka).
- Buang buih pada permukaan puding.
- Biarkan puding sejuk & set sepenuhnya sebelum dihidangkan.

Jumaat, 21 Februari 2025

Minyak Cili (Chilli Oil)


Tahun lalu, saya pernah kongsikan resipi minyak cili. Tetapi, ketika itu, saya menggunakan cili kering yang disangai & dikisar sehingga menjadi emping cili.
Memandangkan saya sedang sibuk, kali ini, saya hanya menggunakan emping cili yang dijual di pasar raya. Resipinya tetap sama dengan resipi yang saya pernah kongsikan sebelum ini.


Resipi minyak cili versi saya merupakan versi yang ringkas. Pada pendapat saya, minyak cili ini bukanlah berfungsi seperti sambal tumis. Ianya hanya untuk menambah kepedasan kepada makanan yang tidak pedas/ kurang pedas. Oleh itu, minyak cili yang saya buat ini tidak mempunyai rasa masin & manis yang keterlaluan. Kalian boleh guna resipi ini untuk membuat minyak cili sendiri & olah semula mengikut selera & citarasa masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Minyak Cili (Chilli Oil)

Bahan-bahan:
75 g cili kering/ emping cili 
25 g bawang kecil 
25 g bawang putih 
25 g udang kering (rendam sekejap) 
450 g minyak masak
1 sdt gula
1 sdt garam

Cara Penyediaan:


Isnin, 10 Februari 2025

Creamy, Tangy & Zesty Cucumber Salad


Tahun lalu, saya pernah kongsikan resipi salad timun ini. Kali ini, saya kongsikan sekali video cara saya membuatnya.
Sejak kebelakangan ini, saya suka makan salad & kerabu. Maklumlah, sehingga ke hari ini, saya masih lagi berdiet & sangat sibuk dengan tugasan harian. Maka, kedua-dua menu ini dapat menjimatkan masa saya untuk menyediakan makanan yang berkhasiat & sesuai untuk diri sendiri pada ketika ini.


Resipi ini menghasilkan kuantiti salad yang banyak. Saya menggunakan 6 batang timun Jepun yang bersaiz sederhana. Saya juga menggunakan lada hitam & emping cili untuk menghasilkan salad yang pedas. Kalian boleh olah & cuba resipi ini mengikut citarasa masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Creamy, Tangy & Zesty Cucumber Salad

Bahan-bahan:
6 sdb (100 g) yogurt asli
6 sdb (100 g) mayonis
2 sdb jus limau nipis
1 sdb madu
1 sdb bawang putih
1 pokok daun bawang
½ sdb serbuk lada hitam kasar (pilihan)
½ sdb emping cili (pilihan)

3 cawan timun Jepun
1 labu bawang besar

Cara Penyediaan:


Rabu, 5 Februari 2025

Salad Timun, Lobak Merah & Tuna Berkrim


Kali ini, resipi salad yang saya sediakan diinspirasi dari perkongsian resipi rakan seperjuangan saya di Facebook, Nurha Muhammad yang sama-sama masih berdiet & juga resipi dari laman sesawang 'essenparadise'. Saya gabung & olah semula kedua-dua resipi yang telah dikongsikan & hasilnya, jadilah resipi salad timun, lobak merah & tuna berkrim versi saya.

Resipi salad yang saya kongsikan ini menghasilkan lebih kurang 4 bekas yang berisipadu 250 ml. Rasanya sangat sedap & berkrim hasil dari penggunaan krim keju, yogurt & tuna dalam tin. Walaupun rasanya sedap, saya tetap kena beringat & makan mengikut kuantiti yang diperlukan setiap kali waktu makan.

Salad ini rasanya pedas. Kalian boleh olah & cuba resipi ini mengikut citarasa masing-masing.

Selamat mencuba 🙂.


Salad Timun, Lobak Merah & Tuna Berkrim

Bahan-bahan:

6 sdb (90 g) krim keju
6 sdb (90 g) yogurt asli/ yogurt Greek
1 tin (185 g) kepingan tuna dalam minyak sayuran
1 sdb bawang putih
1 sdb madu
1½ sdb jus limau nipis/ lemon
1 sdb serbuk lada hitam kasar
1 sdb emping cili (pilihan)
1 pokok daun bawang

1½ cawan timun
1½ cawan lobak merah
1 labu bawang besar

Cara Penyediaan: