Khamis, 17 Oktober 2024

Repui (Streusel/ Crumble) Kacang Pecan


Sedikit pesanan. Jadilah manusia yang berilmu. Ambillah sedikit masa setiap hari untuk membaca buku/ suratkhabar/ website/ jurnal/ penulisan berilmiah. Boleh juga menonton video/ rancangan yang bermanfaat serta memberi faedah & mengambil tahu mengenai sesuatu yang baru walaupun bukan dalam bidangnya. Biarlah pengetahuan yang kita perolehi seimbang dalam bab dunia & akhirat. Jangan sampai semua perkara yang terjadi di dunia ini dikatakan propaganda. Terutama buat wanita. Biarlah tidak cantik di mata manusia, asalkan ilmu penuh di dada. Janganlah semata-mata jadi wanita yang cantik bak puteri & bidadari di mata manusia, tetapi naif & kosong. Tingkatkan martabat diri kita dengan menjadi manusia yang berilmu 💖.

Baiklah. Hari ni, saya nak kongsikan satu benda dalam kategori makanan yang boleh diletakkan di atas permukaan kek serta dapat memberi rasa & tekstur yang berbeza, terutamanya untuk kek yang dipanggil 'tea cake' atau 'coffee cake' & juga mufin.

STREUSEL pun dia, CRUMBLE pun dia & dalam Bahasa Melayu dipanggil REPUI.

Ini merupakan kali pertama saya hendak membuat kek yang mempunya repui di permukaannya. 2-3 hari saya mencari resipi di Google & YouTube. Macam-macam sukatan bahan yang saya jumpa & ada yang menghasilkan repui yang ekstra manis. Sedang saya runsing mencari resipi repui yang terbaik & kena dengan selera, satu hari, saya terbaca satu 'posting' di group MAHN. 'Posting' tu berkongsi resipi repui. Bila saya baca, sukatan bahan-bahan yang digunakan agak meyakinkan & saya banyak bertanya kepada individu yang berkongsi resipinya sebelum mencuba. Jadi, inilah hasilnya. Saya suka dengan resipi yang dikongsikan. This recipe gonna be my keeper recipe! Terima kasih, Pn. Sabarina Saad.

Repui (streusel/ crumble) yang saya buat ni, mengandungi kacang pecan. Jika tidak suka/ mahu tukar pada penggunaan kacang yang lain/ mahu tambahkan sedikit serbuk kayu manis/ mahu menggunakan resipi yang original tanpa kekacang, boleh sahaja. Ikutlah selera & kreativiti masing-masing. Resipi ini cukup untuk digunakan bagi menutup keseluruhan permukaan atas kek yang bersaiz 7-8 inci.

Selamat mencuba 🙂.

Repui (Streusel/ Crumble) Kacang Pecan

Bahan-bahan:
50 g (½ cawan) kacang pecan panggang 
50 g (⅓ cawan) tepung gandum
50 g (¼ cawan) gula perang
50 g (3½ sdb) mentega sejuk dari peti ais

Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan ke dalam pemproses makanan (food processor). Kisar sekejap-sekejap (pulse) sebanyak 7-10 detik.
- Simpan repui ke dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk. Sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Nota:
- Repui ini boleh juga disediakan dengan meramas mentega sejuk bersama dengan bahan-bahan lain sehingga sebati.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan