Jumaat, 30 Ogos 2024

Nasi Goreng Cili Kering


Saya 'craving' nak makan sesuatu yang 'simple' & pedas. Jadi, malam ni saya masaklah nasi goreng cili kering. Diet boleh makan nasi goreng? Kalau ikut cara saya, tak ada pantang larang. Makanlah apa sahaja, yang penting ambil secara berpada-pada 👍🏻.

Beberapa minggu lepas, kawan lama saya, merangkap 'roommate' saya & juga merupakan rakan sekuliah saya sepanjang 4 tahun di universiti bertanyakan kepada saya di WhatsApp, "Ikin. Kau masak banyak-banyak ni siapa yang makan?". Jawapannya, sayalah yang makan. Kadang-kadang adik saya pun tumpang sekaki jika menu yang saya masak tu kena dengan selera dia. Benar. Kadang-kadang, saya boleh jadi cerewet tapi saya seorang yang tak memilih dalam bab makan. Walaupun makanan yang dibeli tak sedap & tak menepati selera, saya tetap akan makan sampai habis, licin. Jika masak di rumah, kebiasaannya saya akan masak dalam kuantiti yang agak banyak (4-5 hidangan) & simpan lebihan makanan di dalam peti sejuk. Bila hendak makan, saya cuma panaskan sahaja. Walaupun saya gemar memasak, kadang-kala saya malas untuk ke dapur untuk menyediakan makanan untuk diri sendiri. Dalam sebulan, saya hanya akan masuk dapur untuk memasak sekitar 6-8 kali sahaja. Selain itu, saya dapat menjimatkan gas, air, elektrik & bahan mentah yang digunakan. Begitulah cara hidup saya, 'simple' sahaja. Lagipun, saya bukan hidup untuk makan. Saya makan untuk hidup ☺️.

Berbalik semula pada kisah nasi goreng cili kering yang pedas ni. Memandangkan bahan masakan di rumah sudah banyak yang telah habis, saya cuma masukkan telur sebagai sumber protein di dalamnya. Rasanya agak pedas. Saya kongsikan sekali resipi nasi goreng cili kering versi saya. Jika tak makan pedas, boleh kurangkan penggunaan cili kering. Seronoknya dapat makan nasi tapi saya kena sentiasa beringat supaya tidak terlebih makan 😅.

Selamat mencuba 🙂.

Nasi Goreng Cili Kering

Bahan-bahan (4-5 hidangan):

2 pot beras
2 pot air
2 sdb sos ikan

1 biji bawang besar*
8 ulas bawang putih*
15-20 tangkai cili kering (buang biji)*
2 sdb ikan bilis*
4 biji telur

Ikan bilis goreng
Bawang goreng
Daun sup/ daun bawang

Cara Penyediaan:
- Masukkan beras yang telah dicuci & air ke dalam periuk nasi. Masak nasi seperti biasa. Apabila nasi sudah masak, sejukkan, gemburkan & gaulkan dengan sos ikan.
- Kisar kering/ tumbuk kasar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga garing.
- Masukkan telur. Biarkan telur masak & hancurkan.
- Masukkan pula nasi. Gaul rata & masak sehingga nasi kering. Perasakan dengan garam (jika perlu).
- Tutup api. Taburkan dengan ikan bilis goreng, bawang goreng & hirisan daun bawang. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Boleh gunakan baki nasi yang telah disimpan semalaman.
- Air fryer: Ikan bilis goreng - 200°C, 10 minit.
- Air fryer: Bawang goreng - 120°C, 15 minit (balik-balikkan setiap 5 minit).

Tiada ulasan:

Catat Ulasan