Masih dalam musim duriankan? Nanti, bolehlah cuba buat bingka durian. Sebelum ni, saya dah kongsikan satu resipi pencuci mulut yang menggunakan durian juga 👇🏻.
Syukur, alhamdulillah. Murahnya rezeki tahun ini. Dari mula-mula masuk musim durian tempoh hari sampailah semalam, bila saya & adik teringin & sudah bercadang nak membeli durian, ada sahaja sahabat yang memberi secara percuma. Bukan sahaja durian. Rambutan, manggis & buah dokong pun ada. Tapi, untuk durian, saya simpan isinya bagi kegunaan pada masa akan datang.
Resipi bingka durian ini, diinspirasikan dari perkongsian resipi oleh Pn. Shalieya Danish. Ada 1 kelainan dalam resipi beliau berbanding dengan resipi bingka durian yang pernah saya buat sebelum ini iaitu menggunakan campuran tepung gandum & tepung kastard. Saya juga menggunakan serbuk kunyit sebagai pewarna kuning untuk bingka ini. Rasanya pastilah sedap dengan rasa durian & semestinya kurang
manis.
Kebiasaannya, saya akan olah & buat pengiraan semula untuk setiap resipi yang saya kongsikan supaya isipadu adunan ngam dengan isipadu loyang yang saya gunakan. Memang itulah perangai saya. Jika boleh, semua benda saya suka kelihatan sama, seragam & 'standard'. Untuk resipi ini, adunan akan naik sampai ke permukaan loyang ketika dalam proses pembakaran namun tidak melimpah & akan turun (mendap) apabila telah sejuk (rujuk gambar).
Jika masih ada stok isi durian, bolehlah cuba buat bingka durian ni. Kalau buat banyak, bolehlah berkongsi rezeki dengan keluarga, rakan-rakan & jiran tetangga 🫰🏻.
Selamat mencuba 🙂.
Bingka Durian
Bahan-bahan (Loyang 7x7x2 inci):
80 g (⅓ cawan) marjerin
200 ml (¾ cawan + 1 sdb) santan*
200 ml (¾ cawan + 1 sdb) susu cair*
250-300 g (1 cawan) isi durian*
3 biji telur*
105 g (½ cawan) gula pasir* (jika suka kuih yang manis, boleh masukkan 130 g gula pasir)
½ sdt garam halus*
150 g (1 cawan) tepung gandum**
75 g (½ cawan) tepung kastard**
Sedikit pewarna kuning (jika perlu. Saya guna ½ sdt serbuk kunyit)**
Bijan putih & hitam secukupnya
Marjerin secukupnya
Cara Penyediaan:
- Cairkan marjerin.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam mangkuk. Kacau dengan whisk sehingga sebati.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda ** & marjerin yang telah dicairkan ke dalam adunan cecair. Kacau dengan whisk sehingga sebati.
- Oleskan marjerin di sekeliling loyang. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Tuang adunan ke dalam loyang.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150°C-160°C, api atas & bawah selama 70 minit/ sehingga kuih masak.
- Selepas 10 minit pertama, taburkan bijan ke atas bingka. Teruskan membakar sehingga masak. Pada 10 minit terakhir, ubah ketetapan ketuhar dengan menggunakan api atas sahaja bagi mendapatkan permukaan yang garing.
- Setelah bingka masak & masih panas, oleskan dengan sedikit marjerin pada permukaannya.
- Biarkan bingka seketika di dalam ketuhar yang direnggangkan sedikit pintunya. Tujuannya supaya permukaan bingka tidak terlalu 'jatuh'/ berkawah/ mendap.
- Sejukkan bingka (2-4 jam) sebelum dipotong & dihidangkan.
Nota:
- Boleh sediakan adunan bingka dengan mengisar kesemua bahan *, ** & marjerin cair menggunakan pengisar makanan.
- Boleh gantikan penggunaan susu cair dengan santan.
- Dalam resipi ini, saya menyukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.