Kalau orang lain sibuk mencuba buat NY soft cookies, Thai royal cake, Thai milk bun & lain-lain dessert yang sedang viral, saya pula tengah sibuk nak mencuba buat bermacam-macam loaf cake seperti yang sering ditunjukkan oleh mereka yang saya gelar 'sifu' di dalam satu baking community group.
Setelah hampir setahun tak membuat kek, minggu lepas, saya cuba buat pandan coconut loaf cake dengan menggunakan 100% pati pandan asli yang saya buat sendiri. Hasilnya memuaskan & saya sempat berkongsi gambar di dalam group tersebut serta mendapat feedback yang positif dari 'sifu' & warga group yang lain. Tapi, ada beberapa perkara yang saya masih tidak berpuas hati & saya cuba buat lagi pada malam Sabtu yang lalu. Percubaan kali kedua ini lebih memuaskan hati saya. Warna hijau semulajadi kek yang terhasil lebih menyerlah, crumbs yang lebih perang terhasil pada bahagian luar kek & kek yang merekah pada bahagian atas membuatkan saya sangat teruja dengan hasil kali ini. Itulah kriteria yang saya mahukan untuk loaf cake yang cantik di mata saya. Tapi, untuk kek yang lain, saya tak suka jika hasilnya mempunyai bahagian yang merekah 😅.
Saya pernah kongsikan resipi pandan coconut loaf cake ini atau namanya dalam Bahasa Melayu, kek lof pandan kelapa ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2021 yang lalu. Tapi, ketika itu saya buat menggunakan resipi penuh & menggunakan bundt tin. Bagi menghasilkan loaf cake pula, saya hanya perlu menggunakan ½ dari resipi asal. Resipi ini merupakan 'keeper recipe' saya untuk membuat kek mentega. Jika pandai membuat olahan, bermacam-macam jenis kek mentega dapat dihasilkan. Kek ini kurang manis (sesuai dengan selera saya), moist & baunya wangi dengan penggunaan mentega serta 100% pati pandan asli.
Selamat mencuba ❤️.
Kek Lof Pandan Kelapa (Pandan Coconut Loaf Cake)
Bahan-bahan (Loyang 7x3x3 inci):
125 g mentega
100 g gula kastor (saya guna 90 g)
120 g telur/ 2 biji telur A
125 g tepung kek (ayak)
1 sdt serbuk penaik (ayak)
30 g (2 sdb) santan
30 g (2 sdb) pati/ mendapan jus pandan
20 g (4 sdb) emping kelapa Hawaii (Hawaiian coconut flakes)
Cara Penyediaan:
- Sediakan loyang berukuran 7x3x3 inci. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160°C/ 170°C.
- Pukul mentega & gula kastor sehingga warnanya pucat & berkrim dengan menggunakan 'mixer'.
- Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.
- Masukkan bahan kering - cecair - bahan kering - cecair - bahan kering. Kaup balik dengan spatula sehingga adunan sebati & tidak berketul.
- Tuang adunan kek ke dalam loyang yang telah desediakan. Ratakan adunan.
- Hentak loyang 2-3 kali & bakar adunan kek pada suhu 160°C/ 170°C selama 50-55 minit/ sehingga kek masak pada rak tengah. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar & toreh (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).
- Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.
Nota:
- Saya bakar kek pada suhu 165-170°C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan