Khamis, 19 September 2024

Soft Cookies


Cadangnya semalam saya nak buat soft cookies ni. Tapi pagi semalam kucing kesayangan saya mati. Elok lepas saya habis bersenam, tengok dia dah nazak. 45 minit kemudian, terus dia 'pergi' meninggalkan saya buat selama-lamanya 😭. Seharian saya menangis sampai sakit kepala. Masa tengah tulis posting ni pun, saya masih menangis teringatkan Coco yang nakal, suka mengekor ke mana saja saya pergi, mengusik, berborak & bergaduh dengan saya. Sampai sekarang saya rasa masih ternampak kelibat Coco apabila saya ke ruang tamu, bilik tidur, bilik air & dapur. Sunyinya hari ni, tak dapat dengar suara Coco yang lantang mengiau. Semoga kita bertemu lagi di akhirat kelak. I'll always love & remember you, Coco 💖.

Baiklah. Hari ni, saya cuba buat soft cookies buat pertama kalinya. I need cookies to cure my sadness 🥺. Resipinya saya rujuk resipi hasil perkongsian Tuan Adriana Arissa. Thank you, teacher. Resipi teacher memang tak pernah mengecewakan. Cuma, ada beberapa bahan yang saya ubah seperti penggunaan tepung. Saya gantikan tepung gandum & tepung jagung kepada tepung kek. Saya juga gantikan penggunaan gula pasir kepada gula kastor. Sukatan soda bikarbonat pun saya tambah lagi ¼ sudu teh & saya timbang setiap doh biskut dengan berat 60 g setiap satu.

Resepi ni 'just nice' untuk soft cookies kegemaran saya. Teksturnya rangup diluar dan 'chewy' di dalam. Insya-Allah, nanti saya nak cuba 'create' resipi untuk perisa yang lain pula 😋.


Jadi, kepada ibu & ayah, masih sempat lagi untuk salin resipi ni & cuba buat bersama dengan anak-anak tersayang di rumah sempena cuti sekolah yang masih bersisa beberapa hari saja lagi 🫰🏻.

Selamat mencuba 🙂.


Soft Cookies

Bahan-bahan (10-12 keping biskut):

125 g (½ cawan) mentega bergaram
60 g (¼ cawan) gula kastor
80 g (½ cawan) gula perang 
1 biji telur A/B
1 sdt esen vanila (saya guna creamy vanilla)
225 g (1½ cawan) tepung kek 
½ sdt soda bikarbonat
¼ sdt serbuk penaik
150 g coklat gelap/ coklat susu/ cip coklat/ kekacang


Cara Penyediaan:
- Cairkan mentega di dalam 'pan' dengan api sederhana. Biar seketika sehingga sejuk.
- Masukkan mentega cair ke dalam gula kastor & gula perang. Kacau sehingga sebati. 
- Masukkan pula telur & esen vanila. Kacau sehingga sebati dengan menggunakan 'whisk' sehingga adunan mencapai 'ribbon stage'.
 - Masukkan bahan-bahan kering (tepung kek, soda bikarbonat & serbuk penaik) ke dalam bahan basah. Kaup balik sehingga sebati dengan menggunakan spatula.
- Masukkan coklat gelap ke dalam adunan biskut. Kaup balik sehingga sekata.
- Bahagikan adunan biskut kepada beberapa bahagian. Bulatkan.
- Sejukkan adunan biskut di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1½ jam.
- Setelah adunan direhatkan, bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170°C-180°C, api atas & bawah (buka kipas) selama 15-20 minit atau sehingga sekitar biskut bertukar keperangan.
- Apabila biskut telah dibakar dengan sempurna, keluarkan dari ketuhar & biarkan seketika sebelum dialihkan ke 'wire rack'.

Nota:
- Berat ideal doh setiap biskut boleh ditimbang di antara 50-60 g setiap satu. Saya bahagikan setiap doh dengan berat 60 g setiap satu & saya dapat 10 keping biskut dengan menggunakan resipi ini.
- Saya bakar biskut pada suhu 180°C, api atas & bawah (buka kipas) selama 15 minit. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan