Agar-agar santan pandan dari 100% daun pandan.
Perisa pandan. Salah satu perisa 'rumput' kegemaran saya selain matcha & pudina.
Tapi, saya agak cerewet dengan makanan berperisa pandan. Saya boleh tahu jika makanan itu dibuat dengan menggunakan 100% daun pandan/ ½ daun pandan & ½ perisa pandan/ 100% perisa pandan. Begitu juga dengan warna. Untuk setiap resipi saya, saya memang tak akan menggunakan sebarang perisa & pewarna untuk makanan berperisa pandan kerana saya mahu menikmati rasa semulajadinya & gemarkan warnanya yang asal.
Saya buat agar-agar santan pandan ni sebab saya yang mahu makan. I need sugar 😅. Disebabkan saya sedang berdiet & tiada pantang larang terhadap makanan yang saya makan, saya kurangkan sukatan gula untuk agar-agar ni. Rasanya lebih tawar dari rasa buah-buahan. Sehari, saya hanya makan 1 potong sahaja.
Secara keseluruhannya, saya gembira dengan hasilnya & sangat teruja melihat warna hijau yang terhasil. Pada mulanya saya ingatkan agar-agar saya tak menjadi seperti yang saya bayang & harapkan. Selepas melihat perkongsian di internet, kebanyakan yang membuat agar-agar ini dengan menggunakan 100% daun pandan asli pasti akan menghasilkan lapisan yang berwarna jernih pada bahagian yang tidak 'berlumut'. Rupa-rupanya ada cara supaya boleh menghasilkan warna hijau pada bahagian tersebut tanpa perlu menambah pewarna makanan tambahan. Saya juga gemar untuk hasilkan kesan 'lumut' yang halus seperti dalam gambar di bawah berbanding 'lumut' yang kasar.
Sebelum ni, saya pernah buat agar-agar santan versi gula merah. Boleh klik 'link' di bawah 👇🏻 untuk membaca resipinya.
Selamat mencuba 🙂.
Agar-agar Santan Pandan
Bahan-bahan (Acuan berkapasiti 1 L):
250 ml (1 cawan) air + 80 g (11 helai) daun pandan
10 g serbuk agar-agar
100-150 g (½-⅔ cawan) gula pasir (saya guna 100 g)
¼ sdt garam
500 ml (2 cawan) air
250 ml (1 cawan) santan
1 biji telur
Cara Penyediaan:
- Masukkan air & daun pandan ke dalam pengisar. Kisar & tapis daun pandan. Ambil jusnya sahaja.
- Masukkan serbuk agar-agar, gula pasir, garam & air ke dalam periuk. Masak sehingga agar-agar & gula larut.
- Masukkan pula santan & telur yang telah dikocok terlebih dahulu ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih & membuak-buak.
- Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan 'lumut' yang halus.
- Masukkan jus pandan. Biarkan sehingga mendidih seketika.
- Tutup api. Masukkan larutan agar-agar ke dalam acuan.
- Sejukkan seketika & masukkan ke dalam peti sejuk. Biarkan agar-agar mengeras beberapa jam sebelum dihidangkan.
Nota:
- Kacau larutan agar-agar dengan kerap jika mahu menghasilkan kesan 'lumut' yang halus.
- Pakai periuk yang lebih besar dari kuantiti cecair yang digunakan supaya larutan agar-agar tidak melimpah keluar ketika mendidih.
- Saya menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.