Isnin, 16 Disember 2024

Ayam Goreng Mamak Air Fryer


Saya telah berjaya hilangkan 25 kg seperti sasaran awal yang saya buat. Tetapi, saya masih perlu untuk kawal pengambilan makanan untuk melengkapkan lagi 2 sasaran tambahan yang saya buat semasa sedang berdiet. Dalam masa terdekat, saya tiada 'dateline' yang dikejar. 'Just go with the flow' sama seperti ketika saya berdiet sebelum ini. Jadi, saya lupakan seketika menu telur dadar 'air fryer' & salad sayur-sayuran yang saya makan sepanjang minggu lepas. Tak sangka, resipi telur dadar 'air fryer' yang saya kongsikan tempoh hari, mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Threads yang sedang berdiet seperti saya. Semoga bermanfaat & dapat membantu kalian untuk menurunkan berat badan sambil menikmati makanan yang enak.

Hari ini, saya makan ayam goreng mamak & semestinya digoreng dengan menggunakan 'air fryer'. Banyak ketul juga yang saya makan ketika berbuka puasa tadi.

Alhamdulillah untuk rezeki pada hari ini.
Saya kongsikan sekali lagi resipi ayam goreng mamak versi saya walaupun sudah banyak kali saya kongsikan sebelum ini di media sosial. Semoga dapat membantu kalian untuk menyediakannya sendiri di rumah & makan sepuas-puasnya bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Ayam Goreng Mamak Air Fryer

Bahan-bahan:

4-6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
1 sdb ketumbar*
1 sdb jintan putih*
1 sdb jintan manis*
1 biji telur*
4-6 sdb minyak masak*

½ cawan tepung beras**
2 sdb serbuk kari ayam**
2 sdb serbuk cili** 
1 sdb serbuk kunyit**
2 sdt garam**

1 ekor/ 8-12 ketul ayam

2-3 tangkai daun kari
Beberapa titik pewarna makanan merah (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam pengisar/ pemproses makanan (food processor) & kisar sehingga hancur.
- Tuang bahan kisar ke dalam bahan-bahan yang bertanda **. Kacau sehingga sebati & masukkan kesemuanya ke dalam bekas ayam.
- Masukkan juga daun kari & titiskan beberapa titis pewarna merah (jika suka). Gaul rata & perap sekurang-kurangnya 1 jam (saya perap semalaman).
- Goreng ayam seperti biasa dalam minyak yang panas sehingga masak pada bahagian luar & dalamnya. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Saya goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 20-25 minit/ sehingga masak. Balik-balikkan ayam setiap 7-10 minit.

Tiada ulasan:

Catat Ulasan