Ahad, 27 Oktober 2024

Ayam Goreng Ketumbar & Sos Pencicah Ala Thai


Hari ni, merupakan hari yang sibuk untuk saya sejak dari pagi lagi. Jadi, saya hanya sediakan hidangan yang mudah sahaja untuk makan malam. Ayam goreng ketumbar yang diinspirasikan dari perkongsian resipi oleh Che Sayang Kitchen. Manakala, sos pencicah ala Thai pula diinspirasikan dari perkongsian resipi oleh aunty kak_t68. Terima kasih kedua-duanya. Tapi macam biasa, saya mesti derhaka dengan resipi yang dikongsikan 😅.

Disebabkan saya tak tahu untuk menggoreng ayam secara 'deep fry' (pecah rahsia 😅. Ya. Saya tak tahu menggoreng apa-apa ayam goreng baik ayam yang digaul dengan serbuk kunyit-garam, ayam goreng berempah & ayam goreng tepung), saya menggunakan 'air fryer' sahaja untuk menggoreng ayam goreng ketumbar ni sambil menyiapkan kerja-kerja yang lain.

Overall, gandingan ayam goreng & sos pencicah ni memang ngam. Macam biasa, saya cuma makan ayam goreng & pencicahnya begitu sahaja tanpa nasi untuk makan malam sebentar tadi. Lepas ni, saya nak bersenam sekejap sebelum sambung menjahit sehingga tengah malam nanti.

Selamat mencuba 🙂.

Ayam Goreng Ketumbar

Bahan-bahan:

4-6 sdb biji ketumbar (sangai)* 
1 labu bawang besar*
4-6 ulas bawang putih* 
4-6 sdb minyak masak*
4-6 sdb tepung beras
1-1½ sdt garam
1 ekor/ 8-12 ketul ayam

Cara Penyediaan:
- Sangai biji ketumbar sehingga terbit bau.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor) & kisar sehingga hancur.
- Masukkan bahan kisar, tepung beras & garam ke dalam bekas ayam. Gaul sekata & perap sekurang-kurangnya 1 jam (saya perap seharian).
- Goreng ayam seperti biasa dalam minyak yang panas sehingga masak pada bahagian luar & dalamnya. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Saya goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 20-25 minit/ sehingga masak. Balik-balikkan ayam setiap 7 minit.

Sos Pencicah Ala Thai

Bahan-bahan:

1-2 sdb beras (sangai & kisar/ tumbuk)
4 ulas bawang putih* 
4 biji cili merah* 
8-12 biji cili padi*
1 pokok daun-akar ketumbar*
½ cawan air suam
2-3 sdb gula kabung Thai (saya guna gula merah)
2-3 biji limau nipis (perah & ambil jusnya)
2-3 sdb sos ikan
1 labu bawang besar (hiris dadu)
Daun ketumbar

Cara Penyediaan:
- Sangai beras sehingga keperangan. Tumbuk/ kisar beras yang telah disangai sehingga menjadi serbuk. Ketepikan.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam pemproses makanan (food processor) & kisar mengikut kesukaan masing-masing. Ketepikan.
- Campurkan air suam, gula merah, jus limau nipis, sos ikan, bahan kisar, beras yang telah disangai & ditumbuk, hirisan bawang serta daun ketumbar ke dalam mangkuk. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Rabu, 23 Oktober 2024

Daging Dendeng Pertama Saya


Daging dendeng pertama saya 🙂.

Menu ni merupakan salah satu menu yang ada dalam 'to-do-list' adik saya untuk saya masak. Sebelum ni, adik saya pernah beli daging dendeng Khairulaming & dia sukakannya. Cuma daging dendeng yang dia beli tu merupakan versi yang pertama & pihak Khairulaming masih belum 'adjust' resipi mereka serta rasanya sedikit manis. Jadi, dia 'request' supaya saya masakkan daging dendeng sama seperti produk keluaran Khairulaming dengan sedikit pengubahsuaian. Walaupun pada ketika itu mulut saya berkata ,"Boleh sangat. Benda mudah je nak masak. Small matter je tu" tapi dalam hati saya berkata, "Eh budak ni, macam-macam pulak syaratnya" 😅. Dia nak hasil daging dendeng yang dimasak tidak terlalu kering/ basah, tidak terlalu pedas, tidak terlalu manis, potongan daging yang tidak tebal & dagingnya mesti 'melt in mouth' sama sebiji seperti daging dendeng Khairulaming.

Sebagai seorang yang susah untuk menghampakan permintaan daripada orang lain 🤭, saya pun baca beberapa resipi daging dendeng dengan teliti & menonton beberapa video untuk menyediakannya. Akhirnya, saya gabungkan resipi daging dendeng hasil perkongsian Khairulaming & Che Nom untuk menghasilkan daging dendeng versi saya.

Setelah selesai memasak, saya panggil adik saya untuk merasa jika ada apa-apa lagi yang terkurang dari segi rasa. Perkataan pertama yang keluar dari mulut dia, "YUMMY". Perkataan kedua pula, "Enak, enak. Daging dia melt in mouth. Macam ni la yang kita nak". Thank god. Alhamdulillah. Allah permudahkan urusan saya. Perasaan saya pada ketika itu, puas hati, sama seperti perasaan yang mak-mak di luar sana rasa apabila anak-anak, suami & keluarga memuji hasil masakan mereka. Hilang segala rasa penat memasak 💖.

Kami makan daging dendeng ini bersama dengan nasi putih & untuk sayurnya pula, saya masakkan menu kegemaran kami berdua iaitu masak lemak putih labu dengan bayam. Seperti biasa, saya kena kawal nafsu makan walaupun rasa seperti hendak menambah nasi. Tak apalah. Jika panjang umur, lain kali, setelah saya capai berat yang disasarkan, saya masak lagi & pada ketika itu bolehlah saya makan dengan sepuas hati tanpa risau jika berat badan naik kembali ☺️.


Selamat mencuba 🙂.

Idea lain untuk hidangan daging & sayur: Daging masak hitam & masak lemak cili padi pucuk ubi kayu


Daging Dendeng

Bahan-bahan:
1 kg daging
Air secukupnya

½ cawan kicap manis

12 ulas bawang kecil/ 4 labu bawang besar* 
8 ulas bawang putih* 
2 inci halia* 
15 tangkai cili kering*
2 batang serai*

2 batang serai (carik)
2 cawan air rebusan daging
½ cawan kicap manis
½ cawan kicap masin 
4 helai daun limau purut
10 biji cili padi merah (pilihan)

10 ulas bawang kecil (untuk dijadikan bawang goreng)

Cara Penyediaan:
- Masukkan daging yang telah dibersihkan & air secukupnya ke dalam periuk/ periuk tekanan. Rebus daging sehingga empuk.
- Setelah daging empuk, keluarkan dari air rebusan, sejukkan & hiris nipis. Tumbuk daging dengan menggunakan lesung batu supaya ia menjadi lebih nipis. Simpan sedikit air rebusan daging.
- Gaulkan daging yang telah ditumbuk dengan kicap manis. Perap seketika (saya perap semalaman).
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak secukupnya. Goreng daging yang telah diperap seketika sehingga kelihatan sedikit kering. Angkat & ketepikan.
- Tumis bahan kisar & serai sehingga kering dengan menggunakan lebihan minyak gorengan daging.
- Masukkan air rebusan daging, kicap manis, kicap masin & daun limau purut. Biarkan seketika sehingga cecair tinggal ½ dari isipadu asal.
- Masukkan daging yang telah digoreng & cili padi. Kacau rata. Biarkan cecair mengering (mengikut kesukaan masing-masing) & daging masak sebati bersama dengan bahan-bahan yang lain. Perasakan dengan garam jika perlu.
- Akhir sekali, taburkan dengan bawang goreng. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Saya goreng bawang dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 120°C selama 15-17 minit. Kuis-kuiskan bawang goreng setiap 5 minit.


Masak Lemak Putih Labu dengan Bayam

Bahan-bahan:
1 biji bawang besar*
1 sdb ikan bilis* 
½ sdt serbuk lada hitam kasar (pilihan)
1 biji (300 g) labu (potong kepada ketulan kecil)
1 helai daun kunyit (pilihan)
2 cawan air
1 cawan santan pekat 
1 ikat (300 g) bayam
1 biji cili merah (hiris)

Cara Penyediaan:
- Tumbuk/ kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Masukkan bahan kisar, lada hitam, labu, daun kunyit, air & santan ke dalam periuk. Masak dengan api sederhana sehingga labu empuk. Sesekali, kacau kuahnya supaya santan tidak pecah minyak.
- Setelah labu empuk, masukkan bayam & cili merah. Perasakan dengan garam secukupnya. Masak seketika sehingga bayam layu. Sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 17 Oktober 2024

Repui (Streusel/ Crumble) Kacang Pecan


Sedikit pesanan. Jadilah manusia yang berilmu. Ambillah sedikit masa setiap hari untuk membaca buku/ suratkhabar/ website/ jurnal/ penulisan berilmiah. Boleh juga menonton video/ rancangan yang bermanfaat serta memberi faedah & mengambil tahu mengenai sesuatu yang baru walaupun bukan dalam bidangnya. Biarlah pengetahuan yang kita perolehi seimbang dalam bab dunia & akhirat. Jangan sampai semua perkara yang terjadi di dunia ini dikatakan propaganda. Terutama buat wanita. Biarlah tidak cantik di mata manusia, asalkan ilmu penuh di dada. Janganlah semata-mata jadi wanita yang cantik bak puteri & bidadari di mata manusia, tetapi naif & kosong. Tingkatkan martabat diri kita dengan menjadi manusia yang berilmu 💖.

Baiklah. Hari ni, saya nak kongsikan satu benda dalam kategori makanan yang boleh diletakkan di atas permukaan kek serta dapat memberi rasa & tekstur yang berbeza, terutamanya untuk kek yang dipanggil 'tea cake' atau 'coffee cake' & juga mufin.

STREUSEL pun dia, CRUMBLE pun dia & dalam Bahasa Melayu dipanggil REPUI.

Ini merupakan kali pertama saya hendak membuat kek yang mempunya repui di permukaannya. 2-3 hari saya mencari resipi di Google & YouTube. Macam-macam sukatan bahan yang saya jumpa & ada yang menghasilkan repui yang ekstra manis. Sedang saya runsing mencari resipi repui yang terbaik & kena dengan selera, satu hari, saya terbaca satu 'posting' di group MAHN. 'Posting' tu berkongsi resipi repui. Bila saya baca, sukatan bahan-bahan yang digunakan agak meyakinkan & saya banyak bertanya kepada individu yang berkongsi resipinya sebelum mencuba. Jadi, inilah hasilnya. Saya suka dengan resipi yang dikongsikan. This recipe gonna be my keeper recipe! Terima kasih, Pn. Sabarina Saad.

Repui (streusel/ crumble) yang saya buat ni, mengandungi kacang pecan. Jika tidak suka/ mahu tukar pada penggunaan kacang yang lain/ mahu tambahkan sedikit serbuk kayu manis/ mahu menggunakan resipi yang original tanpa kekacang, boleh sahaja. Ikutlah selera & kreativiti masing-masing. Resipi ini cukup untuk digunakan bagi menutup keseluruhan permukaan atas kek yang bersaiz 7-8 inci.

Selamat mencuba 🙂.

Repui (Streusel/ Crumble) Kacang Pecan

Bahan-bahan:
50 g (½ cawan) kacang pecan panggang 
50 g (⅓ cawan) tepung gandum
50 g (¼ cawan) gula perang
50 g (3½ sdb) mentega sejuk dari peti ais

Cara Penyediaan:
- Masukkan kesemua bahan ke dalam pemproses makanan (food processor). Kisar sekejap-sekejap (pulse) sebanyak 7-10 detik.
- Simpan repui ke dalam bekas kedap udara di dalam peti sejuk. Sedia untuk digunakan pada bila-bila masa.

Nota:
- Repui ini boleh juga disediakan dengan meramas mentega sejuk bersama dengan bahan-bahan lain sehingga sebati.

Isnin, 14 Oktober 2024

Asam Rebus Bendi


اللَهُمَّ اخْتِمْ لنا بِحُسْنِ الْخَاتِمَة وَلاَ تَخْتِمْ عَلَيْنَا يَا الله بِسُو الخَاتِمَة

"Ya Allah, matikanlah kami dalam keadaan husnul khatimah dan janganlah kamu matikan kami dalam keadaan su’ul khatimah."

🤲🏻

Disebabkan esok merupakan hari timbang untuk hari terakhir bagi minggu ke-20, bulan ke-4 program diet saya, jadi menu makan malam ni saya masak sesuatu yang mudah sahaja. Asam rebus bendi ni, boleh jadi lauk untuk yang berdiet & boleh juga jadi lauk pemusnah diet 😅.

Nak sediakannya, mudah sahaja & ada pelbagai cara. Saya kongsikan cara saya. Bagi penggunaan cili, saya gunakan cili kering. Tapi, boleh juga jika hendak menggunakan cili merah. Bahan protein yang menyedapkan kuah pula saya gunakan sedikit belacan & ikan bilis. Tapi, boleh juga jika hendak menggunakan salah satu dari bahan-bahan yang saya gunakan. Saya juga masukkan sedikit daun kesum untuk menaikkan aroma asam rebus ni & sebab ada dalam pasu tanaman saya. Tapi, kalau tak ada stok/ tak mahu letak pun tak apa. Masaklah mengikut citarasa masing-masing.

Semoga cepatlah turun berat saya untuk mencapai sasaran akhir yang berbaki lagi 10 kg & semoga 20 kg berat yang telah turun, tidak kembali lagi (setakat ini, masih konsisten). Baiklah. Saya nak pergi bersenam untuk sesi malam pula 💖.

Kisah perjalanan saya sepanjang menurunkan berat badan (bahagian 1): https://www.facebook.com/share/p/YKsBbHD2LAy2gNiK/

Selamat mencuba 🙂.

Asam Rebus Bendi

Bahan-bahan:

2 biji bawang kecil*
2 ulas bawang putih*
Secubit (1 sdt) belacan*
Secubit ikan bilis*
5-7 tangkai cili kering (rebus & buang biji)*
2 cawan (500 ml) air
1 keping asam gelugur 
Sedikit daun kesum 
10-15 batang kacang bendi

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan sedikit air.
- Masukkan bahan kisar, air, asam gelugur & daun kesum ke dalam periuk. Masak sehingga mendidih & hilang bau cili.
- Masukkan bendi. Biarkan bendi masak sehingga lembut (mengikut kegemaran masing-masing). Perasakan dengan sedikit gula (½ sdt) & garam. Sedia untuk dihidangkan.

Ahad, 13 Oktober 2024

Kerabu Telur Dadar


"Hati akan jauh lebih tenang ketika kamu percaya bahawa segala yang Allah takdirkan pasti jauh lebih baik dari apapun yang pernah kita rencanakan". Baiklah. Kita faham. Terima kasih 🙂.

Malam ni, saya sediakan menu makan malam yang mudah untuk dibuat. Saya ratah begitu sahaja. Kalau nak makan dengan nasi bersama lauk-pauk yang lain pun boleh juga. Resipi kerabu telur dadar ni, saya pernah kongsikan pada tahun lepas. Kalau nak gantikan dengan telur mata kerbau pun boleh. Rasanya enak & secukup rasa. Ada rasa pedas, masam, manis & masin. Mujur saya masih boleh beringat & dapat mengawal diri dari tidak makan secara berlebihan 😃.

Baiklah. Saya nak pergi bersenam sekejap. Ada lagi 10 kg untuk 'dihapuskan' 💪🏻.

Selamat mencuba 🙂.

Kerabu Telur Dadar

Bahan-bahan:

4 biji telur (A)
1 sdt garam

4 ulas bawang putih*
4 biji cili merah*
8 biji cili padi*
1 pokok daun ketumbar*
1-2 sdb gula perang*

1 biji bawang besar (hiris)
½-1 batang lobak merah (parut/ potong kepada potongan julienne)
1-2 biji tomato (potong dadu)
1-2 pokok daun ketumbar (hiris)

2-3 sdb sos ikan
2-3 biji limau nipis

1 genggam kacang tanah yang telah digoreng (kisar)

Cara Penyediaan:
- Campurkan telur & garam. Pukul sehingga sebati.
- Goreng telur & jadikan telur dadar yang nipis.
- Gulung telur dadar, hiris & ketepikan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Satukan hirisan telur dadar, bawang besar, lobak merah, tomato, daun ketumbar & bahan kisar.
- Perasakan dengan sos ikan & perahkan limau nipis. Gaul rata.
- Taburkan dengan kacang tanah. Sedia untuk dihidangkan.

Sabtu, 5 Oktober 2024

Bayam Tumis Air



Hari ni, redup sahaja dari pagi & hujan mula turun pada lewat petang. Cuaca macam ni, memang membuatkan saya rasa mengantuk & nak bermalas-malasan sahaja sepanjang hari. Tapi, pagi tadi, saya berjaya paksa diri untuk bersenam. Cadangnya, selepas habis bersenam & mengemas rumah, saya nak melukis pola, menulis & memasak menu yang agak beria sedikit. Tapi, semuanya tak menjadi 😅.

Bila dah lapar, nak tak nak saya tetap kena memasak untuk diri sendiri. Jadi, saya cuma sediakan hidangan yang mudah sahaja untuk makan malam. Saya masak sup bayam/ bayam tumis air tapi saya buat versi yang agak meriah dengan bahan-bahan tambahan yang lain. Cukuplah untuk hari ni. Alhamdulillah 🤲🏻.

Sekarang, perut pun dah tak lapar lagi. Barulah saya rasa selesa & bertenaga untuk bersenam bagi sesi malam 🤸🏻‍♀️.

Selamat mencuba 🙂.

Bayam Tumis Air

Bahan-bahan:

1 biji bawang besar (hiris)
3 ulas bawang putih (hiris)
10 biji bebola ikan (saya letak lebih & potong dua 😆)
½ sdb serbuk lada hitam (kasar)
2-3 cawan (500-750 ml) air
1 batang lobak merah (potong kepada potongan batonnet)
1 ikat (300-400 g) bayam (asingkan daun & batangnya)
1 biji cili merah (hiris)

Cara Penyediaan:
- Panaskan sedikit minyak masak. Tumis hirisan bawang besar & bawang putih sehingga layu.
- Masukkan bebola ikan & serbuk lada hitam. Gaul rata & biarkan bebola sedikit keperangan.
- Masukkan pula air, potongan lobak merah & batang bayam. Biarkan sehingga kuah mendidih.
- Akhir sekali, masukkan daun bayam & hirisan cili merah. Perasakan dengan garam. Biarkan seketika. Sedia untuk dihidangkan.