Ahad, 22 September 2024

Rendang Ayam


Saya masak rendang ayam untuk menu makan malam semalam. Alhamdulillah, saya masih tak lupa diri. Masih dapat mengawal keinginan dari makan berlebihan 😅.

Tiba-tiba saya rasa nak makan rendang apabila tengok daun kunyit yang saya tanam elok membesar sihat bagai juara. Masa nak raya haritu, punyalah pokoknya macam hidup segan, mati tak mahu. Daun paling besar yang saya dapat, cuma sebesar ¾ saiz tapak tangan. Kali ni, daun yang saya dapat sebesar lebih dari sehasta. Puas hati dapat letak hirisan daun kunyit yang banyak di dalam rendang (kegemaran saya tapi bukan kegemaran adik saya) 🤩.

Resipi ni juga merupakan 'keeper recipe' saya & saya akan sediakan untuk adik-beradik setiap kali menjelang hari raya. Bahan-bahan untuk membuatnya hanya menggunakan bahan-bahan asas membuat rendang & rasanya tidak kompleks.

Selamat mencuba 🙂.


Rendang Ayam

Bahan-bahan:
6 biji bawang kecil/ 2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
2 batang serai*
10-15 tangkai cili kering*
1 inci halia*
1 inci lengkuas*
1 inci kunyit*
½ ekor ayam
1½ cawan santan pekat 
1 keping asam gelugur
1 helai daun limau purut 
2-3 sdb kerisik 
1 helai daun kunyit (hiris)
Gula merah/ gula Melaka & garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga kering.
- Masukkan ayam, santan pekat, asam gelugur, daun limau purut & gula merah. Masak sehingga ayam masak sepenuhnya & kuah sedikit mengering (mengikut kesukaan). Masak dengan api sederhana & kacau selalu supaya rendang tidak hangit.
- Masukkan kerisik & daun kunyit. Perasakan dengan garam. Kacau rata & biarkan seketika sehingga semuanya sebati sebelum dihidangkan.

Khamis, 19 September 2024

Soft Cookies


Cadangnya semalam saya nak buat soft cookies ni. Tapi pagi semalam kucing kesayangan saya mati. Elok lepas saya habis bersenam, tengok dia dah nazak. 45 minit kemudian, terus dia 'pergi' meninggalkan saya buat selama-lamanya 😭. Seharian saya menangis sampai sakit kepala. Masa tengah tulis posting ni pun, saya masih menangis teringatkan Coco yang nakal, suka mengekor ke mana saja saya pergi, mengusik, berborak & bergaduh dengan saya. Sampai sekarang saya rasa masih ternampak kelibat Coco apabila saya ke ruang tamu, bilik tidur, bilik air & dapur. Sunyinya hari ni, tak dapat dengar suara Coco yang lantang mengiau. Semoga kita bertemu lagi di akhirat kelak. I'll always love & remember you, Coco 💖.

Baiklah. Hari ni, saya cuba buat soft cookies buat pertama kalinya. I need cookies to cure my sadness 🥺. Resipinya saya rujuk resipi hasil perkongsian Tuan Adriana Arissa. Thank you, teacher. Resipi teacher memang tak pernah mengecewakan. Cuma, ada beberapa bahan yang saya ubah seperti penggunaan tepung. Saya gantikan tepung gandum & tepung jagung kepada tepung kek. Saya juga gantikan penggunaan gula pasir kepada gula kastor. Sukatan soda bikarbonat pun saya tambah lagi ¼ sudu teh & saya timbang setiap doh biskut dengan berat 60 g setiap satu.

Resepi ni 'just nice' untuk soft cookies kegemaran saya. Teksturnya rangup diluar dan 'chewy' di dalam. Insya-Allah, nanti saya nak cuba 'create' resipi untuk perisa yang lain pula 😋.


Jadi, kepada ibu & ayah, masih sempat lagi untuk salin resipi ni & cuba buat bersama dengan anak-anak tersayang di rumah sempena cuti sekolah yang masih bersisa beberapa hari saja lagi 🫰🏻.

Selamat mencuba 🙂.


Soft Cookies

Bahan-bahan (10-12 keping biskut):

125 g (½ cawan) mentega bergaram
60 g (¼ cawan) gula kastor
80 g (½ cawan) gula perang 
1 biji telur A/B
1 sdt esen vanila (saya guna creamy vanilla)
225 g (1½ cawan) tepung kek 
½ sdt soda bikarbonat
¼ sdt serbuk penaik
150 g coklat gelap/ coklat susu/ cip coklat/ kekacang


Cara Penyediaan:
- Cairkan mentega di dalam 'pan' dengan api sederhana. Biar seketika sehingga sejuk.
- Masukkan mentega cair ke dalam gula kastor & gula perang. Kacau sehingga sebati. 
- Masukkan pula telur & esen vanila. Kacau sehingga sebati dengan menggunakan 'whisk' sehingga adunan mencapai 'ribbon stage'.
 - Masukkan bahan-bahan kering (tepung kek, soda bikarbonat & serbuk penaik) ke dalam bahan basah. Kaup balik sehingga sebati dengan menggunakan spatula.
- Masukkan coklat gelap ke dalam adunan biskut. Kaup balik sehingga sekata.
- Bahagikan adunan biskut kepada beberapa bahagian. Bulatkan.
- Sejukkan adunan biskut di dalam peti sejuk sekurang-kurangnya 1½ jam.
- Setelah adunan direhatkan, bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 170°C-180°C, api atas & bawah (buka kipas) selama 15-20 minit atau sehingga sekitar biskut bertukar keperangan.
- Apabila biskut telah dibakar dengan sempurna, keluarkan dari ketuhar & biarkan seketika sebelum dialihkan ke 'wire rack'.

Nota:
- Berat ideal doh setiap biskut boleh ditimbang di antara 50-60 g setiap satu. Saya bahagikan setiap doh dengan berat 60 g setiap satu & saya dapat 10 keping biskut dengan menggunakan resipi ini.
- Saya bakar biskut pada suhu 180°C, api atas & bawah (buka kipas) selama 15 minit. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.

Rabu, 11 September 2024

Kari Ayam Kerisik


SAKIT.

Walaupun masih hidup sendiri, tapi perangai saya sama seperti segelintir mak mak. Walaupun sedang sakit, saban hari, saban bulan & saban tahun, saya tetap akan memasak untuk diri sendiri. Maklumlah, sayakan gemar makan masakan yang dimasak di rumah 🤭.

Hari ni pun sama. Saya masak kari ayam kerisik. Resipinya sama seperti resipi kari ayam yang saya pernah kongsikan sebelum ni. Cuma saya tambahan sedikit kerisik. Disebabkan dah tak mampu lagi nak berdiri, saya makan lauk sajalah malam ni. Esok, kalau rajin baru masak & makan nasi. Resipinya boleh semak di bawah 👇🏻.

Selamat mencuba 🙂.

Kari Ayam Kerisik

Bahan-bahan:

6 biji bawang kecil* 
3 ulas bawang putih* 
1 inci halia*

1 biji bawang besar (hiris)** 
2 tangkai daun kari (jika daun kecil, masukkan lebih)**
½ batang kulit kayu manis**
1 kuntum bunga lawang**
2 biji buah pelaga**
3 kuntum bunga cengkih**

2 sdb/ 1 paket kecil rempah kari ayam
1 sdb serbuk cili
½ ekor/ 4-5 ketul ayam
4-5 biji kentang
½-1 keping asam gelugur
2½ cawan air
½ cawan santan pekat
1-2 sdb kerisik
Beberapa biji tomato ceri/ 1 biji tomato

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Masukkan bahan-bahan yang bertanda **. Tumis sehingga naik bau & bawang bertukar keperangan.
- Masukkan pula bahan kisar. Tumis seketika sehingga keperangan.
- Masukkan rempah kari & serbuk cili ke dalam bahan tumisan. Tumis rempah sehingga pecah minyak. Ulang langkah yang sama 3-5 kali dengan menambah sedikit air setiap kali ulangan supaya rempah cukup masak, kari tahan lama & warna kari cantik.
- Masukkan potongan ayam, kentang & asam gelugur. Kacau rata sehingga bersalut dengan bahan tumisan. Biarkan seketika sehingga air ayam keluar & kering.
- Masukkan air. Biarkan kuah mendidih, ayam masak sepenuhnya & kentang empuk.
- Masukkan pula santan & kerisik. Kacau rata & biar kuah mendidih sekali lagi. Perasakan dengan garam secukup rasa.
- Akhir sekali, masukkan tomato. Kacau rata. Tutup api & biarkan seketika sebelum dihidangkan.

Nota:
- Kari akan semakin pekat setelah sejuk.

Selasa, 10 September 2024

Kek Lof Pandan Kelapa (Pandan Coconut Loaf Cake)


Kalau orang lain sibuk mencuba buat NY soft cookies, Thai royal cake, Thai milk bun & lain-lain dessert yang sedang viral, saya pula tengah sibuk nak mencuba buat bermacam-macam loaf cake seperti yang sering ditunjukkan oleh mereka yang saya gelar 'sifu' di dalam satu baking community group.

Setelah hampir setahun tak membuat kek, minggu lepas, saya cuba buat pandan coconut loaf cake dengan menggunakan 100% pati pandan asli yang saya buat sendiri. Hasilnya memuaskan & saya sempat berkongsi gambar di dalam group tersebut serta mendapat feedback yang positif dari 'sifu' & warga group yang lain. Tapi, ada beberapa perkara yang saya masih tidak berpuas hati & saya cuba buat lagi pada malam Sabtu yang lalu. Percubaan kali kedua ini lebih memuaskan hati saya. Warna hijau semulajadi kek yang terhasil lebih menyerlah, crumbs yang lebih perang terhasil pada bahagian luar kek & kek yang merekah pada bahagian atas membuatkan saya sangat teruja dengan hasil kali ini. Itulah kriteria yang saya mahukan untuk loaf cake yang cantik di mata saya. Tapi, untuk kek yang lain, saya tak suka jika hasilnya mempunyai bahagian yang merekah 😅.

Saya pernah kongsikan resipi pandan coconut loaf cake ini atau namanya dalam Bahasa Melayu, kek lof pandan kelapa ketika Hari Raya Aidilfitri pada tahun 2021 yang lalu. Tapi, ketika itu saya buat menggunakan resipi penuh & menggunakan bundt tin. Bagi menghasilkan loaf cake pula, saya hanya perlu menggunakan ½ dari resipi asal. Resipi ini merupakan 'keeper recipe' saya untuk membuat kek mentega. Jika pandai membuat olahan, bermacam-macam jenis kek mentega dapat dihasilkan. Kek ini kurang manis (sesuai dengan selera saya), moist & baunya wangi dengan penggunaan mentega serta 100% pati pandan asli.

Selamat mencuba ❤️.


Kek Lof Pandan Kelapa (Pandan Coconut Loaf Cake)

Bahan-bahan (Loyang 7x3x3 inci):

125 g mentega 
100 g gula kastor (saya guna 90 g)
120 g telur/ 2 biji telur A 
125 g tepung kek (ayak) 
1 sdt serbuk penaik  (ayak)
30 g (2 sdb) santan
30 g (2 sdb) pati/ mendapan jus pandan
20 g (4 sdb) emping kelapa Hawaii (Hawaiian coconut flakes)

Cara Penyediaan:
- Sediakan loyang berukuran 7x3x3 inci. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Panaskan ketuhar pada suhu 160°C/ 170°C.
- Pukul mentega & gula kastor sehingga warnanya pucat & berkrim dengan menggunakan 'mixer'.
- Masukkan telur satu per satu. Pukul selama 1 minit untuk setiap telur dengan kelajuan paling tinggi.
- Masukkan bahan kering - cecair - bahan kering - cecair - bahan kering. Kaup balik dengan spatula sehingga adunan sebati & tidak berketul.
- Tuang adunan kek ke dalam loyang yang telah desediakan. Ratakan adunan.
- Hentak loyang 2-3 kali & bakar adunan kek pada suhu 160°C/ 170°C selama 50-55 minit/ sehingga kek masak pada rak tengah. Selepas 20 minit dari masa mula membakar, keluarkan kek dari ketuhar & toreh (slit) permukaan kek dengan pisau untuk mendapatkan kesan merekah (pilihan).
- Setelah kek masak, sejukkan kek terlebih dahulu sebelum dipotong supaya dapat menghasilkan potongan kek yang kemas.


Nota:
- Saya bakar kek pada suhu 165-170°C untuk mendapatkan kesan perang pada bahagian luar kek. Suhu yang digunakan bergantung pada keadaan ketuhar masing-masing.
- Saya timbang & sukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik untuk resipi ini.