Sabtu, 29 Oktober 2022

Nasi Goreng 'Leftover' Sambal Belacan


Saya ni jarang sangat breakfast. Selalunya, setakat minum air kosong je sebelum makan tengahari/ petang.

Tadi, sambil-sambil kemas fridge, terpandang lebihan sambal belacan. Sikit sangat. Dalam 2-3 sudu je. Saya pun masak la nasi. Lepas nasi masak, terus buat nasi goreng.

Dulu-dulu, bila weekend arwah mak selalu masak breakfast nasi goreng yang simple macam ni. Guna apa yang ada je. Saya yang suka makan ni, semua benda pun saya kata sedap walaupun benda tu simple 🙂.

Selamat mencuba ❤️.

Nasi Goreng 'Leftover' Sambal Belacan

Bahan-bahan:

1 pot beras
1 pot air
2-3 sdb sambal belacan
2 biji bawang kecil
4 ulas bawang putih
1 biji telur 
Sedikit sos ikan

Cara Penyediaan:
- Masak nasi seperti biasa dengan nisbah beras & air yang sama (jika tiada nasi sejuk).
- Gaul nasi dengan sambal belacan.
- Hiris bawang kecil & bawang putih.
- Panaskan sedikit minyak masak. Tumis hirisan bawang sehingga layu.
- Masukkan telur. Hancurkan.
- Seterusnya, masukkan nasi. Perasakan dengan sos ikan. Gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

Isnin, 24 Oktober 2022

Ayam Masak Halia


Menu untuk lunch & dinner saya hari ni, ayam masak halia. Akhirnya, dapat jugak resipi yang best untuk dimakan dengan nasi.

Nak masak hidangan ni, kena pastikan ada halia yang banyak untuk menaikkan rasa ayam tu. Kalau tak, mungkin akan rasa muak. Lagi satu, minyak bijan tu akan menambahkan lagi keenakan ayam masak halia ni. Terima kasih K. Shiela d'Dapoq sudi share resipi ni ❤️.

Hidangan ni, secara authentic nya tak pedas. Kalau nak pedas, tambahkan cili padi atau makan je dengan sambal belacan. Boleh guna apa-apa bahagian ayam. Tapi, kali ni, saya guna dada ayam je sebab nak habiskan stok ayam dalam freezer 😁.

Selamat mencuba ❤️.


Ayam Masak Halia

Bahan-bahan:

½ ekor (500-600 g) ayam/ 4-5 ketul bahagian ayam
½ sdb serbuk lada putih
½ sdb kicap masin

½-¾ cawan halia (hiris nipis baru sukat)

3-4 ulas bawang putih (cincang)
2 inci halia (hiris)
½ biji bawang kuning (hiris)
5 tangkai cili kering
½ sdb serbuk lada putih
1 sdb sos tiram
½ sdb cuka
½-1 cawan air
1 sdt minyak bijan
Daun bawang (potong 1 inci)

Cara Penyediaan:
- Gaul ayam dengan serbuk lada putih & kicap masin.
- Panaskan minyak masak. Goreng halia yang telah dihiris nipis sehingga keperangan & garing. Angkat & ketepikan.
- Goreng ayam sehingga ¾ masak. Angkat & ketepikan.
- Buangkan sedikit minyak masak. Tumis bawang putih sehingga keperangan.
- Masukkan halia, bawang kuning & cili kering. Tumis sehingga naik bau.
- Masukkan pula ayam yang telah digoreng, serbuk lada putih, cuka & air. Gaul rata & biarkan ayam masak sepenuhnya. Perasakan dengan garam.
- Titiskan minyak bijan & masukkan daun bawang. Gaul rata.
- Taburkan dengan halia goreng. Sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 21 Oktober 2022

Lama Tak Masak


Dah lama teringin nak makan daging masak hitam ni. Cari-cari resipi, terbekenan dengan resipi dari YouTube K.Yan. Dah selalu sangat saya try resipi beliau & ternyata sedap sebab tak kedekut bahan. Tapi, macam biasalah, saya olah sikit mengikut citarasa saya. Ada bahan rahsia yang digunakan untuk memekat & menyedapkan masak hitam ni. Tak rugi mencuba.

Selamat mencuba ❤️.


Daging Masak Hitam

Bahan-bahan:

500 g daging lembu (hiris melawan urat)
½ cawan kicap manis
¼ cawan kicap masin
2 biji bawang besar (hiris)
1 biji bawang besar*
3 ulas bawang putih*
1 inci halia*
10 tangkai cili kering*
1 batang kulit kayu manis
2 kuntum bunga lawang
3 biji buah pelaga
4 biji bunga cengkih
1-2 cawan air
½ sdb asam jawa + sedikit air
1 sdb kismis hitam

Cara Penyediaan:
- Perap hirisan daging dengan kicap manis & kicap masin.
- Panaskan minyak masak, goreng hirisan bawang besar sehingga layu & keperangan. Toskan minyak & ketepikan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Tumis bahan kisar & 4 sekawan sehingga pecah minyak.
- Masukkan daging & kicap yang diperap. Tambahkan air. Masak sehingga daging empuk. Kacau sesekali supaya tidak hangit.
- Kisar bawang goreng bersama dengan kismis hitam.
- Apabila daging telah empuk, masukkan air asam jawa serta bawang goreng & kismis yang dikisar. Gaul rata & biarkan seketika sebelum dihidangkan.

Nota:
- Sukatan kicap boleh ditambah/ dikurangkan mengikut kesesuaian.
- Dalam resipi ini, saya tidak menambah gula & garam kerana sudah cukup rasanya.


MLCP pucuk ubi kayu ni, memang favourite saya. Kali ni, saya buat versi pior orang nismilan. Resipi ni agak pedas. Kalau tak tahan pedas, kurangkan je cili padi tu.

Selamat mencuba ❤️.


Masak Lemak Cili Padi Pucuk Ubi Kayu

Bahan-bahan:
1 ikat (250 g) pucuk ubi kayu
4 inci kunyit*
20 biji cili padi*
Segenggam ikan bilis*
Sedikit air
1 keping asam gelugur
2 cawan (500 ml) santan sederhana pekat
Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Didihkan air. Rebus pucuk ubi seketika.
- Selepas itu, tapis & bilas pucuk ubi dengan air paip.
- Perah pucuk ubi yang telah dibilas & potong daunnya supaya mudah untuk dimakan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan sedikit air.
- Masukkan bahan kisar & asam gelugur ke dalam kuali. Masak seketika sehingga hilang bau cili.
- Masukkan pula pucuk ubi & santan. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Kacau sesekali supaya santan tidak pecah & berketul. Perasakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.