Khamis, 19 Disember 2024

Kacang Bendi Tumis Cili & Telur


Menu saya untuk hari ini. Saya masak 1 menu yang ringkas sahaja disebabkan saya sibuk sepanjang hari. Bersenam pun belum lagi 😅.

Selepas saya berkongsi resipi ayam goreng mamak 'air fryer' tempoh hari, saya dapat ramai 'followers' baru & ada di antaranya berminat untuk mengetahui cara saya menurunkan berat badan dari 85 kg ke 59 kg (terkini). Selamat berkenalan buat semua 'followers' baru.

Sebenarnya, sejak bulan kedua, saya sudah mula menulis tentang perjalanan saya untuk menurunkan berat badan. Cuma, pada ketika itu mungkin tiada sesiapa yang berminat untuk membaca kerana belum nampak hasilnya lagi. Tidak mengapalah. Insya-Allah, saya akan ulang tulis & berkongsi semula pengalaman yang saya lalui sebelum ini.

Berbalik pada resipi ini, ada sesetengah orang gagal untuk memasak kacang bendi tumis dengan baik & hasilnya menjadi berlendir. Saya juga pernah gagal pada suatu ketika dahulu kerana masih kurang pengalaman & ilmu dalam bidang masakan. Jika ingin mengetahui cara memasak kacang bendi tumis tanpa gagal, boleh baca tip yang saya kongsikan pada ruangan nota di bawah.

Selamat mencuba 🙂.

Kacang Bendi Tumis Cili & Telur

Bahan-bahan:

1 labu bawang besar*
4 ulas bawang putih*
4 tangkai cili merah*
1 sdt belacan/ sejemput ikan bilis (saya guna belacan)*

1-2 biji telur 

16 batang kacang bendi (potong serong)

Cara Penyediaan:
- Kisar kering/ tumbuk kasar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak masak. Masukkan bahan kisar. Tumis sehingga kering & garing.
- Ketepikan bahan tumisan. Masukkan telur yang telah dipukul. Biarkan telur masak sedikit pada bahagian bawahnya beberapa saat. Sorong & tarik telur perlahan-lahan dengan sudip supaya telur menjadi telur hancur yang cantik. Ulang langkah ini beberapa kali. Selepas itu, gaul telur hancur dengan bahan tumisan.
- Masukkan pula kacang bendi. Perasakan dengan garam (jika perlu). Gaul rata seketika. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Bagi mengelakkan kacang bendi tumis berlendir, bilas & tus kacang bendi terlebih dahulu sebelum dihiris/ dipotong. Selepas itu, JANGAN bilas semula kacang bendi tersebut & bolehlah terus dimasak.

Isnin, 16 Disember 2024

Ayam Goreng Mamak Air Fryer


Saya telah berjaya hilangkan 25 kg seperti sasaran awal yang saya buat. Tetapi, saya masih perlu untuk kawal pengambilan makanan untuk melengkapkan lagi 2 sasaran tambahan yang saya buat semasa sedang berdiet. Dalam masa terdekat, saya tiada 'dateline' yang dikejar. 'Just go with the flow' sama seperti ketika saya berdiet sebelum ini. Jadi, saya lupakan seketika menu telur dadar 'air fryer' & salad sayur-sayuran yang saya makan sepanjang minggu lepas. Tak sangka, resipi telur dadar 'air fryer' yang saya kongsikan tempoh hari, mendapat sambutan dalam kalangan pengguna Threads yang sedang berdiet seperti saya. Semoga bermanfaat & dapat membantu kalian untuk menurunkan berat badan sambil menikmati makanan yang enak.

Hari ini, saya makan ayam goreng mamak & semestinya digoreng dengan menggunakan 'air fryer'. Banyak ketul juga yang saya makan ketika berbuka puasa tadi.

Alhamdulillah untuk rezeki pada hari ini.
Saya kongsikan sekali lagi resipi ayam goreng mamak versi saya walaupun sudah banyak kali saya kongsikan sebelum ini di media sosial. Semoga dapat membantu kalian untuk menyediakannya sendiri di rumah & makan sepuas-puasnya bersama keluarga tersayang.

Selamat mencuba 🙂.

Ayam Goreng Mamak Air Fryer

Bahan-bahan:

4-6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
1 sdb ketumbar*
1 sdb jintan putih*
1 sdb jintan manis*
1 biji telur*
4-6 sdb minyak masak*

½ cawan tepung beras**
2 sdb serbuk kari ayam**
2 sdb serbuk cili** 
1 sdb serbuk kunyit**
2 sdt garam**

1 ekor/ 8-12 ketul ayam

2-3 tangkai daun kari
Beberapa titik pewarna makanan merah (pilihan)

Cara Penyediaan:
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam pengisar/ pemproses makanan (food processor) & kisar sehingga hancur.
- Tuang bahan kisar ke dalam bahan-bahan yang bertanda **. Kacau sehingga sebati & masukkan kesemuanya ke dalam bekas ayam.
- Masukkan juga daun kari & titiskan beberapa titis pewarna merah (jika suka). Gaul rata & perap sekurang-kurangnya 1 jam (saya perap semalaman).
- Goreng ayam seperti biasa dalam minyak yang panas sehingga masak pada bahagian luar & dalamnya. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Saya goreng ayam dengan menggunakan 'air fryer' pada suhu 200°C selama 20-25 minit/ sehingga masak. Balik-balikkan ayam setiap 7-10 minit.

Sabtu, 7 Disember 2024

Ayam Brokoli Stail Cina (Chinese Chicken & Broccoli Stir Fry)


Menu makan malam saya.

Saya masak ayam brokoli tumis stail Cina (better than Chinese takeout 🤭) versi yang paling mudah sebab saya hendak habiskan brokoli yang dibeli pada bulan lepas & masih belum digunakan. Selain brokoli, boleh tambahkan sayur-sayuran lain seperti lobak merah & cendawan shitake.

Hari ini, genap sebulan saya tidak makan nasi walaupun sejak dari kecil, saya merupakan seorang 'hantu nasi'. Dahulu, saya merupakan salah seorang yang mempunyai pemikiran, 'jika sehari tidak makan nasi, mesti akan rasa tidak selesa & tidak bertenaga sehingga tidak mampu melakukan apa-apa tugasan hakiki' 😅.

No. I'm wrong. I did it & I'm survived. Alhamdulillah 🤩.

Saya tidak pernah mengamalkan diet ekstrem dengan tidak mengambil karbohidrat. Saya cuma gantikan pengambilan nasi kepada oat untuk mendapatkan pengurangan ukur lilit anggota badan seoptimum mungkin. So far so good. Saya dapat kurangkan 9 inci (jumlah pengurangan ukur lilit yang paling banyak) pada salah satu anggota badan saya. Perjalanan saya untuk menurunkan berat badan juga masih belum tamat. Saya masih ada 6-7 kg lagi untuk dihapuskan. Selain itu, saya juga sedang berusaha untuk mendapatkan bentuk badan jenis 'hourglass'. Jadi, saya kena berusaha & berkorban lebih dari biasa untuk memperoleh hasil yang saya idamkan ☺️.

Resipi ini, saya rujuk kepada perkongsian pempengaruh Mei & Kyong (Two Plaid Aprons) di Instagram. Tapi, seperti biasa, ada beberapa bahan yang saya olah mengikut citarasa saya. Jika ingin membaca resipi asal, bolehlah pergi ke laman sesawang Two Plaid Aprons.

Selamat mencuba 🙂.

Ayam Brokoli Tumis Stail Cina (Chinese Chicken & Broccoli Stir Fry)

Bahan-bahan:
1 ketul (250-300 g) isi/ dada ayam (hiris nipis)*
1 sdb tepung jagung*
½ sdt serbuk lada putih*
¼ sdt garam*
½ sdb cuka*
½ sdb minyak masak*

1 jambak (250 g) brokoli 

3 ulas bawang putih**
½ inci halia**

¼ cawan kicap masin***
¼ cawan air***
½ sdb minyak bijan***
1 sdb gula***
1½ sdb tepung jagung***
½ sdb emping cili (pilihan)***

Cara Penyediaan:
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam mangkuk. Gaul rata & perap selama 10-15 minit.
- Didihkan air di dalam periuk. Setelah air mendidih, tutup api. Masukkan hirisan brokoli. Celur brokoli selama 30 saat - 1 minit. Angkat brokoli & masukkan ke dalam air sejuk untuk menghentikan proses memasak. Tapis & ketepikan. 
- Seterusnya, cincang bahan-bahan yang bertanda **. Ketepikan.
- Campurkan kesemua bahan yang bertanda *** di dalam mangkuk. Kacau sehingga tepung jagung larut.
- Panaskan sedikit minyak masak. Goreng (sear) ayam sehingga masak sepenuhnya. Keluarkan ayam.
- Dengan menggunakan lebihan minyak menggoreng ayam (tambah minyak masak jika tidak mencukupi), tumis bawang putih & halia sehingga naik bau.
- Masukkan campuran sos yang telah disediakan. Biarkan seketika sehingga sos memekat & berkilat.
- Selepas itu, masukkan ayam yang telah digoreng & brokoli yang telah dicelur. Kacau rata. Sedia untuk dihidangkan.

Nota:
- Boleh tambahkan lebih banyak sayur-sayuran seperti lobak merah & cendawan shitake.