Sabtu, 23 Disember 2023

Masak Lemak Cili Padi Pucuk Ubi Kayu


Lauk hari ni. Resipi & cara penyediaan sama saja macam yang pernah saya kongsikan sebelum ni. Tapi, kalau nak masukkan daging salai, itik salai, ayam salai/ ayam & ikan salai, saya akan tambahkan sebatang serai.

Hati-hati bagi yang tak makan pedas. Boleh kurangkan jumlah penggunaan cili padi ye 😁.

Selamat mencuba ❤️.


Masak Lemak Cili Padi Pucuk Ubi Kayu

Bahan-bahan:

1 ikat (250 g) pucuk ubi kayu
4 inci kunyit*
20 biji cili padi*
Segenggam ikan bilis*
Sedikit air
1 keping asam gelugur
2 cawan (500 ml) santan sederhana pekat
Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Didihkan air. Rebus pucuk ubi seketika.
- Selepas itu, tapis & bilas pucuk ubi dengan air paip.
- Perah pucuk ubi yang telah dibilas & potong daunnya supaya mudah untuk dimakan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda * dengan sedikit air.
- Masukkan bahan kisar & asam gelugur ke dalam kuali. Masak seketika sehingga hilang bau cili.
- Masukkan pula pucuk ubi & santan. Masak dengan api sederhana sehingga mendidih. Kacau sesekali supaya santan tidak pecah & berketul. Perasakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 14 Disember 2023

Kerabu Telur Dadar


Menu dikala penyakit malas nak masak datang. Nak makan ratah saja boleh, nak dijadikan lauk untuk dimakan dengan nasi pun boleh 😅.

Selamat mencuba ❤️.


Kerabu Telur Dadar

Bahan-bahan:

4 biji telur (A)
½ sdt garam

3 ulas bawang putih*
3 batang cili merah*
6 biji cili padi*
1 pokok daun ketumbar*
1 sdb gula perang*
1 genggam kacang tanah yang telah digoreng (pilihan)*

1 biji bawang besar
½-1 batang lobak merah
1-2 biji tomato
1-2 pokok daun ketumbar
2 sdb sos ikan
2 biji limau nipis

Cara Penyediaan:
- Campurkan telur & garam. Pukul sehingga sebati.
- Goreng telur & jadikan telur dadar yang nipis.
- Gulung telur dadar, hiris & ketepikan.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Satukan bahan kisar, hirisan telur dadar, bawang besar, lobak merah, tomato & daun ketumbar.
- Perasakan dengan sos ikan & perahkan limau nipis. Gaul rata. Sedia untuk dihidangkan.

Jumaat, 29 September 2023

Ikan Masak Taucu


Masak awal tak kalut 😅.
Nanti tak ada la kami adik beradik bergaduh lapar tak ada benda nak makan time tengah tengok Sukan Asia 😂.

Ok. Harini saya masak lauk nostalgia yang almarhum mak selalu masak masa saya kecil dulu, tahun 90an. Lauk ni jugak, lauk yang familiar bagi orang Perak. Ada yang panggil masak taucu. Ada jugak yang panggil gulai taucu. Ikut sukalah nak sebut yang mana. Dulu-dulu, mak selalu masak dengan ikan temenung. Kuah dia pulak, kena buat lebih sebab saya sejenis yang suka makan stail banjir dengan lauk ni. Nak masak pun tak susah. Bahan-bahan pun cuma guna bahan basic dalam masakan. Cuma kena sedikit berhati-hati tentang kegunaan garam. Lepas dah masukkan ikan goreng barulah adjust untuk tambah/ tak perlu lagi garam. Takut nanti, terlajak masin pula 😁.

Selamat mencuba ❤️.


Ikan Masak Taucu

Bahan-bahan:
5-6 ekor ikan kembung/ cencaru/ kayu/ tenggiri/ keli
1 sdt serbuk kunyit
1 sdt garam
2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 biji cili merah/ hijau/ padi (belah 2 bahagian)
4-5 sdb taucu
4 cawan air
2 keping asam gelugur
1-2 batang timun

Cara Penyediaan:
- Lumur ikan dengan serbuk kunyit & garam. Goreng sehingga masak (Air fryer: 200°C, 15-20 minit).
- Hiris bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak masak, tumis bahan-bahan yang bertanda * & cili sehingga layu.
- Masukkan taucu, kacau rata.
- Masukkan air & asam gelugur. Biarkan sehingga mendidih.
- Akhir sekali, masukkan ikan yang telah digoreng & potongan timun. Biarkan seketika. Jika perlu, perisakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.

Selasa, 5 September 2023

Sambal Tumis Sotong Petai


Sambal tumis sotong petai untuk hari ni. Lama benar tak masak sotong. Last masak masa sebelum COVID 19 melanda. Itu pun tak berapa nak jadi elok sebab tak tau teknik lagi. Jadi cair sambalnya 😅.

Sotong yang saya gunakan kali ni bersaiz kecil. Setiap ekor saya potong 2 sahaja. Kalau potong banyak bahagian, nanti dah masak jadi kecil pula. Petai pun cuma dapat beli yang bermata kecil. Tak apa lah. Asalkan ada, dapat masak elok² & lepas rasa teringin nak makan sambal sotong petai, alhamdulillah. Sotong tu, nak gantikan dengan udang pun boleh 👍.

Selamat mencuba ❤️.


Sambal Tumis Sotong Petai

Bahan-bahan:

500 g sotong (+-15 ekor sotong bersaiz kecil)
6 biji bawang kecil*
4 ulas bawang putih*
15 tangkai cili kering (buang biji & rebus)*
½ sdb belacan (pilihan)*
Secubit asam jawa + air
Petai
1-2 biji bawang besar
Gula secukupnya
Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Masukkan sotong yang telah dibersihkan & dipotong ke dalam kuali. Goreng tanpa minyak sehingga separuh masak. Tujuannya untuk mengeluarkan air sotong supaya sambal tidak berair. Keluarkan sotong & asingkan air yang terhasil.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Ulang langkah yang sama 3-4 kali supaya sambal masak sepenuhnya, warna sambal cantik & sambal tahan lebih lama.
- Masukkan air asam jawa, air sotong yang telah diasingkan & gula. Masak sambal sehingga hampir kering.
- Masukkan sotong, petai & hirisan bawang besar serta perasakan dengan garam. Kacau rata & masak seketika sehingga sotong masak. Siap untuk dihidangkan.

Khamis, 25 Mei 2023

Kari Udang


Edisi udang yang masih belum habis lagi 😁.

Kali ni, saya masak kari udang. Sebenarnya, saya nak cuba masak udang masala. Tapi tak apalah. Next time bila pasaraya Lotus buat sale udang murah lagi, baru saya cuba masak 🙂.

Resipi kari udang ni sama saja macam resipi kari ikan, kari sardin & kari ketam yang pernah saya masak sebelum ni. Cuma, untuk kari udang & ketam saya suka masukkan daun ketumbar di akhir masakan.

Selamat mencuba ❤️.


Kari Udang

Bahan-bahan (5-6 hidangan):

3 biji bawang kecil* 
3 ulas bawang putih* 
1 inci halia*
1 biji tomato*
1 sdb halba campur**
1 biji bawang besar (hiris)**
1-2 tangkai daun kari**
2 sdb/ 1 paket kecil rempah kari ikan
1 sdb serbuk cili
Sedikit air
2 biji kentang 
1 cawan air + ½ sdb asam jawa
500 g (25-30 ekor) udang bersaiz sederhana
½ cawan santan pekat
1 batang cili hijau (hiris)
Daun ketumbar (hiris)

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Masukkan bahan-bahan yang bertanda **. Tumis sehingga naik bau & bawang keperangan.
- Masukkan pula bahan kisar. Tumis seketika sehingga keperangan.
- Bancuh rempah kari & serbuk cili dengan sedikit air. Masukkan ke dalam bahan tumisan. Tumis rempah sehingga pecah minyak. Ulang langkah yang sama 3-5 kali dengan menambah sedikit air setiap kali ulangan supaya rempah cukup masak, kari tahan lama & warna kari cantik.
- Masukkan kentang. Biar seketika sehingga kentang empuk.
- Masukkan air asam jawa. Biar seketika sehingga mendidih.
- Masukkan pula udang & santan. Kacau rata & biar sehingga udang masak.
- Akhir sekali, taburkan dengan hirisan cili & daun ketumbar. Tutup api & biarkan seketika sebelum dihidangkan.