Jumaat, 30 September 2022

Asam Pedas Ayam


Comfort food!

Tiba juga turn nak masak asam pedas. Sejak dua menjak ni, selalu sangat hujan. Daun kesum & daun limau purut yang saya tanam pun bukan main subur merimbun. Bunga kantan je masih tak berbunga lagi 😅.

Resipi ni memang kena dengan selera saya. Rasanya cukup masam & kuahnya pun pekat. Ayam tu, boleh juga jika nak digantikan dengan ikan/ daging tetel. Kalau nak masukkan terung/ kacang bendi pun boleh juga. Saya terlupa. Dah siap ambil gambar & nak makan, baru teringat ada kacang bendi dalam peti sejuk. Saya masukkan juga kemudian.

Selamat mencuba ❤️.

Asam Pedas Ayam

Bahan-bahan:

1 ekor/ 8-10 ketul ayam
12 biji bawang kecil/ 3 biji bawang besar*
6 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 inci kunyit/ 1 sdt serbuk kunyit*
25-30 tangkai cili kering (buang biji)*
1 sdb lada hitam*
3 batang serai (ketuk)
1L air
3 sdb asam jawa + sedikit air
Segenggam/ secekak daun kesum
4 helai daun limau purut
1-2 kuntum bunga kantan
Terung/ kacang bendi/ jeruk sawi/ kimchi
2-3 biji tomato 
Gula & garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Masukkan bahan kisar & serai. Tumis sehingga pecah minyak. Ulang 3-5 kali supaya warna kuah cantik, asam pedas tahan lebih lama & tidak sakit perut apabila makan. Masukkan juga gula & garam ketika menumis.
- Masukkan ayam. Kacau rata & biarkan seketika.
- Masukkan pula air, air asam jawa, daun kesum & daun limau purut. Biarkan kuah mendidih.
- Renehkan kuah & biarkan sehingga ayam masak sepenuhnya.
- Akhir sekali, masukkan kacang bendi & tomato. Biarkan seketika. Sedia untuk dihidangkan.

Rabu, 28 September 2022

Sambal Kelapa/ Sambei Nyor


Nikmat!

Dinner nasi putih, sambal kelapa & bendi celur je. Berselera sungguh ❤️.

Orang kata, nak sedap kena tumbuk. Tapi, disebabkan saya malas nak buat dapur berselerak & nak elak tangan gatal terkena biji cili, saya kisar guna food processor je. Resipi ni boleh diubah suai mengikut selera & tahap kepedasan masing-masing ya.

Selamat mencuba.

Sambal Kelapa/ Sambei Nyor

Bahan-bahan:

5 batang cili merah*
10 biji cili padi*
½ inci belacan/ 4 sdb ikan bilis*
3 biji limau kasturi (ambil jusnya)*
½ biji (100 g) kelapa parut putih
Garam & gula secukupnya

Cara Penyediaan:
- Tumbuk dengan menggunakan lesung batu/ kisar dengan menggunakan food processor bahan-bahan yang bertanda *.
- Masukkan kelapa parut & perasakan dengan garam & gula secukupnya. Tumbuk lagi/ kisar sekejap-sekejap (pulse) beberapa kali sehingga sebati. Sedia untuk dihidangkan.

Khamis, 22 September 2022

Ayam Masak Bawang


Hidangan ni, saya masak dengan menggunakan resipi hasil perkongsian Kak Yan di YouTube beliau dengan sedikit olahan.

Nak masak ayam masak bawang ni, memang kena gunakan banyak bawang. Dah nama pun ayam masak bawang kan 😁.

Tapi, sangat berbaloi untuk dicuba. Lagi satu bahan yang wajib ada, rempah garam masala.


Bagi peminat nasi kandar & lauk pauk kedai mamak, boleh lah cuba resipi ni. Sedap tau. Selamat mencuba ❤️.


Ayam Masak Bawang

Bahan-bahan:

1 ekor/ 10-12 ketul potongan ayam
1 sdb serbuk kunyit
1 sdt garam

4 biji bawang besar*
6 biji bawang kecil*
2 tangkai daun kari

6 biji bawang kecil**
6 ulas bawang putih**
2 inci halia**
1 batang kulit kayu manis***
2 kuntum bunga lawang***
3 biji buah pelaga***
4 biji bunga cengkih***
1 helai daun pandan***
2 sdb serbuk cili****
1 sdt serbuk jintan putih****
1 sdt serbuk jintan manis****
½ sdt garam masala****
½-1 cawan air 
2 sdb sos tomato*****
2 sdb sos cili*****
2 sdb sos tiram*****
2 sdb gula pasir/ gula perang/ madu
Garam secukup rasa

Cara Penyediaan:
- Lumur ayam dengan serbuk kunyit & garam. Panaskan minyak masak. Goreng ayam sehingga ¾ masak. Ketepikan.
- Hiris nipis bahan-bahan yang bertanda *.
- Goreng hirisan bawang besar dalam minyak yang sama sehingga layu & keperangan. Angkat & toskan minyak yang berlebihan.
- Goreng hirisan bawang kecil & daun kari dalam minyak yang sama sehingga garing. Angkat & toskan minyak yang berlebihan.
- Buangkan sedikit lebihan minyak goreng. Kisar bahan-bahan yang bertanda **. Tumis bahan kisar bersama dengan bahan-bahan yang bertanda *** sehingga naik bau.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda **** dengan sedikit air. Masak sehingga rempah masak & pecah minyak.
- Masukkan pula ayam & bawang besar yang telah digoreng. Gaul rata.
- Masukkan air & bahan-bahan yang bertanda *****. Gaul rata. Biarkan seketika sehingga ayam masak dengan sempurna.
- Perasakan dengan gula & garam.
- Taburkan dengan ½ bahagian bawang kecil & daun kari yang telah digoreng. Gaul rata.
- Akhir sekali, taburkan dengan baki bawang kecil & daun kari goreng. Sedia untuk dihidangkan.

Sabtu, 17 September 2022

Kari Daging


Daging korban ni, jiran saya bagi masa Hari Raya Aidiladha beberapa bulan yang lepas. Bila nak masak, kena plan betul-betul supaya kami dua beradik dapat makan bersama. Hari ni, bila kami berdua free & ada di rumah, baru saya masak.

Saya dapat 1 kg daging & 1 kg tulang. Disebabkan saya malas nak fikir menu untuk tulang tu, saya masukkan saja dalam kari ni.

Saya tak ada pressure cooker & tak perlu pun nak ada sebab masak pun sesekali je. Jadi, step nak memasak kari ni nampak agak panjang. Tapi, saya puas hati sangat dengan hasilnya. Kalau nak makan sedap, jangan kedekut bahan & masak ala kadar je. Kentang tu, boleh je nak tukarkan dengan rebung/ rias (umbut) pisang. Tulang tu pulak, tak nak letak pun tak apa. Boleh skip step merebus tulang.

Selamat mencuba.


Kari Daging

Bahan-bahan:
1.0 kg daging/ 1.0 kg tulang + 500 g daging lembu
2 biji bawang besar*
6 ulas bawang putih*
4-5 sdb/ 2 paket kecil serbuk kari ayam & daging
2 sdb serbuk cili

8 biji bawang kecil**
6 ulas bawang putih**
3 inci halia**
6 tangkai daun kari***
2 batang kulit kayu manis***
4 kuntum bunga lawang***
6 biji buah pelaga***
8 biji bunga cengkih***

Air rebusan tulang lembu/ air secukupnya
1 sdb asam jawa + sedikit air
1 cawan santan
2-3 sdb kerisik/ 2 paket kecil
6 biji kentang

Cara Penyediaan:
- Tulang: Rebus tulang dengan air. Buang keladak yang terhasil & teruskan merebus sehingga air rebusan jernih & daging pada tulang empuk.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda*.
- Perap daging yang telah dihiris dengan bahan kisar, rempah kari & serbuk cili selama 30 minit - 1 jam.
- Hiris nipis bahan-bahan yang bertanda**.
- Panaskan minyak masak. Tumis bahan yang telah dihiris & bahan-bahan yang bertanda *** sehingga keperangan.
- Masukkan tulang yang telah direbus & daging yang diperap bersama dengan bahan perapan. Gaul rata & biarkan rempah masak.
- Tambahkan air rebusan tulang sama paras dengan tulang & daging. Biarkan sehingga mendidih & masak sehingga daging empuk (tambah air lagi jika daging belum empuk).
- Masukkan air asam jawa, santan & kerisik. Kacau rata.
- Masukkan juga kentang & perasakan dengan garam. Biarkan seketika sehingga kentang empuk. Sedia untuk dihidangkan.