Jumaat, 29 September 2023

Ikan Masak Taucu


Masak awal tak kalut 😅.
Nanti tak ada la kami adik beradik bergaduh lapar tak ada benda nak makan time tengah tengok Sukan Asia 😂.

Ok. Harini saya masak lauk nostalgia yang almarhum mak selalu masak masa saya kecil dulu, tahun 90an. Lauk ni jugak, lauk yang familiar bagi orang Perak. Ada yang panggil masak taucu. Ada jugak yang panggil gulai taucu. Ikut sukalah nak sebut yang mana. Dulu-dulu, mak selalu masak dengan ikan temenung. Kuah dia pulak, kena buat lebih sebab saya sejenis yang suka makan stail banjir dengan lauk ni. Nak masak pun tak susah. Bahan-bahan pun cuma guna bahan basic dalam masakan. Cuma kena sedikit berhati-hati tentang kegunaan garam. Lepas dah masukkan ikan goreng barulah adjust untuk tambah/ tak perlu lagi garam. Takut nanti, terlajak masin pula 😁.

Selamat mencuba ❤️.


Ikan Masak Taucu

Bahan-bahan:
5-6 ekor ikan kembung/ cencaru/ kayu/ tenggiri/ keli
1 sdt serbuk kunyit
1 sdt garam
2 biji bawang besar*
4 ulas bawang putih*
2 inci halia*
2 biji cili merah/ hijau/ padi (belah 2 bahagian)
4-5 sdb taucu
4 cawan air
2 keping asam gelugur
1-2 batang timun

Cara Penyediaan:
- Lumur ikan dengan serbuk kunyit & garam. Goreng sehingga masak (Air fryer: 200°C, 15-20 minit).
- Hiris bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan sedikit minyak masak, tumis bahan-bahan yang bertanda * & cili sehingga layu.
- Masukkan taucu, kacau rata.
- Masukkan air & asam gelugur. Biarkan sehingga mendidih.
- Akhir sekali, masukkan ikan yang telah digoreng & potongan timun. Biarkan seketika. Jika perlu, perisakan dengan garam. Sedia untuk dihidangkan.

Selasa, 5 September 2023

Sambal Tumis Sotong Petai


Sambal tumis sotong petai untuk hari ni. Lama benar tak masak sotong. Last masak masa sebelum COVID 19 melanda. Itu pun tak berapa nak jadi elok sebab tak tau teknik lagi. Jadi cair sambalnya 😅.

Sotong yang saya gunakan kali ni bersaiz kecil. Setiap ekor saya potong 2 sahaja. Kalau potong banyak bahagian, nanti dah masak jadi kecil pula. Petai pun cuma dapat beli yang bermata kecil. Tak apa lah. Asalkan ada, dapat masak elok² & lepas rasa teringin nak makan sambal sotong petai, alhamdulillah. Sotong tu, nak gantikan dengan udang pun boleh 👍.

Selamat mencuba ❤️.


Sambal Tumis Sotong Petai

Bahan-bahan:

500 g sotong (+-15 ekor sotong bersaiz kecil)
6 biji bawang kecil*
4 ulas bawang putih*
15 tangkai cili kering (buang biji & rebus)*
½ sdb belacan (pilihan)*
Secubit asam jawa + air
Petai
1-2 biji bawang besar
Gula secukupnya
Garam secukupnya

Cara Penyediaan:
- Masukkan sotong yang telah dibersihkan & dipotong ke dalam kuali. Goreng tanpa minyak sehingga separuh masak. Tujuannya untuk mengeluarkan air sotong supaya sambal tidak berair. Keluarkan sotong & asingkan air yang terhasil.
- Kisar bahan-bahan yang bertanda *.
- Panaskan minyak masak. Tumis bahan kisar sehingga pecah minyak. Ulang langkah yang sama 3-4 kali supaya sambal masak sepenuhnya, warna sambal cantik & sambal tahan lebih lama.
- Masukkan air asam jawa, air sotong yang telah diasingkan & gula. Masak sambal sehingga hampir kering.
- Masukkan sotong, petai & hirisan bawang besar serta perasakan dengan garam. Kacau rata & masak seketika sehingga sotong masak. Siap untuk dihidangkan.