Ahad, 2 Jun 2024

Bingka Pandan/ Bengkang Pandan


M A M A  I  L O V E  Y O U  πŸ’ž 

"Kalau kita cakap pasal mak, kita akan mula rindukan dia" - Your Honor, 2018

Rabu, 02-06-2010, 12.35 am.

Hari ni, genap 14 tahun almarhum mak pergi buat selama-lamanya dari dunia ini. Masa mak meninggal, saya baru habis tahun ke-2 di universiti & pulang ke rumah tak sampai seminggu untuk cuti semester. 2010 - kini. Setiap hari merupakan hari yang suram & sunyi buat saya. Paling terasa sunyi, setiap tahun ketika hari lahir mak, hari kematian mak, hari lahir saya & pada malam hari raya. Air mata saya pasti mengalir ekstra pada hari-hari ini sebab ada sesuatu yang ingin saya buat & bualkan dengan mak tapi saya dah tak ada peluang. Rindunya dekat mak. Rindu yang tak dapat nak diungkapkan. Semoga kita bertemu semula di akhirat kelak. Ada banyak sangat benda Dek nak cerita dengan mak. Al-Fatihah buat almarhum mak, Saerah binti Abd. Rashid πŸ«‚.

Kelmarin, saya buat bingka pandan atau orang Perak panggil bengkang pandan. Hari ni, baru datang sedikit kerajinan untuk saya menulis & berkongsi resipi. Resipi bingka ni merupakan 'keeper recipe' saya. Resipi asalnya milik Kak @shiela.d.dapoq. Tapi, saya olah sedikit supaya kena dengan citarasa saya & sesuai dengan saiz loyang yang saya gunakan. Masa bulan Ramadan, PKP tahun 2020, saya dah pernah kongsikan resipinya juga πŸ‘ŒπŸ».

Saya ikut resipi & semua tips yang Kak Shiela kongsikan dalam penulisannya di blog. Alhamdulillah menjadi & yang paling saya suka, bingka saya tak 'collapse' di bahagian tengah selepas dikeluarkan dari ketuhar ❤️.

Highly recommended recipe πŸ’―.

Macam biasa, bila bab kuih berperisa pandan ni, saya memang tak akan menggunakan perisa pandan/ emulco & pewarna makanan. Barulah rasanya kena dengan selera saya & warnanya cantik. Jadi, saya akan menggunakan daun pandan yang agak banyak iaitu sekitar 7%-10% dari resipi yang saya buat. Dalam hal ni, saya boleh kesan kalau kuih tu diperbuat dengan menggunakan 100% pandan asli/ campuran perisa pandan & pandan asli/ 100% perisa pandan. 

Sounds complicated kan πŸ˜….

Itulah saya yang sebenar. Kalau boleh, semua benda yang saya buat kena bersukat & 'precise'. Anda kena cuba resipi bingka ni sebab hasilnya sangat sedap, 'melt in mouth' & cantik. Bab penggunaan daun pandan tu pula, anda gunalah dalam 5-6 helai sahaja jika tiada daun yang banyak & takut tak kena dengan citarasa. Bijan pun saya letak lebih sebab saya memang suka bingka yang ada banyak bijan di permukaannyaπŸ‘πŸ».

Selamat mencuba πŸ™‚.


Bingka Pandan/ Bengkang Pandan

Bahan-bahan (Loyang 7x7x2 inci):

80 g (⅓ cawan) marjerin*
180 ml (¾ cawan) santan*
180 ml (¾ cawan) susu cair*
310 ml (1¼ cawan) jus pandan*
3 biji telur*
230 g (1½ cawan) tepung gandum*
150 g (⅔ cawan) gula pasir* (saya guna 125 g)
½ sdt garam halus*
Bijan putih secukupnya
Marjerin secukupnya

Cara Penyediaan:
- Cairkan marjerin.
- Masukkan bahan-bahan yang bertanda * ke dalam mangkuk. Kacau dengan whisk sehingga sebati. Boleh juga gunakan mesin pengisar. Kisar adunan sehingga sebati +-30 saat.
- Oleskan marjerin disekeliling loyang. Alaskan dengan kertas pembakar.
- Tapis adunan ke dalam loyang.
- Bakar di dalam ketuhar yang telah dipanaskan pada suhu 150°C-160°C, api atas & bawah selama 70 minit/ sehingga kuih masak.
- Selepas 10 minit pertama, taburkan bijan ke atas bingka. Teruskan membakar sehingga masak. Pada 10 minit terakhir, ubah ketetapan ketuhar dengan menggunakan api atas sahaja bagi mendapatkan permukaan yang garing.
- Setelah bingka masak & masih panas, oleskan dengan sedikit marjerin pada permukaannya.
- Biarkan bingka seketika di dalam ketuhar yang direnggangkan pintunya sedikit. Tujuannya supaya permukaan bingka tidak terlalu 'jatuh'.
- Sejukkan bingka (2-4 jam) sebelum dipotong & dihidangkan.


Nota:
- Dalam resipi ini, saya menyukat bahan-bahan dengan menggunakan sukatan metrik.
- Saya menggunakan 100 g (15 helai) daun pandan.
- Boleh gantikan penggunaan susu cair dengan santan.
- Jika suka, boleh juga tambahkan sedikit kulit kayu manis semasa mengisar daun pandan.